Tuesday 11 November 2008

Pemerkasaan Wasilah Tarbiyyah - Ust Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS


Muqaddimah


Demi sesungguhnya, bahawa menyampaikan da’wah itu merupakan suatu kewajiban adalah suatu hakikat yang pasti seperti yang dituntut oleh Syara’.[1] Selanjutnya kita juga difahamkan bahawa pelaksanaan prinsip-prinsip da’wah itu dapat dilakukan melalui dua keadaan: secara fardiyy (perseorangan)[2] dan jama’iyy (berkumpulan/kolektif). Nas yang yang terkuat menunjukkan bahawa pelaksanaan da’wah secara jama’iyy adalah fardu ‘ayn yang mesti dilaksanakan oleh setiap ummat Islam sehingga tertegaknya Din dan Hakimiyyah Allah di atas muka bumi ini.


Aspek selanjutnya dalam da’wah ialah bagaimanakah sesuatu Jama’ah Islam itu dapat menyusun organisasinya (tanzim) secara teratur[3] dan kemas ke arah mencapai matlamat yang telah digariskannya. Kita juga dapati kelemahan dan kegagalan kebanyakan Jama’ah Islam di dunia pada masa kini adalah berpunca daripada kelemahan aspek pengurusan organisasinya. Berjaya-tidaknya sesuatu Jama’ah Islam amat bergantung kepada bagaimana pimpinan (Qiyadah) dan pengikutnya (Jundiyyah) mengendalikan penyusunan tanzim organisasi Jama’ah itu.


Sehubungan dengan itu, wasilah utama untuk tercapainya penyusunan tanzim sebegini, tidak lain dan bukan ialah tarbiyyah harakiyyah Islamiyyah. Ini adalah kerana tarbiyyah merupakan perkara asas yang paling integral dan nadi penggerak kepada pendokong harakah Islamiyyah. Tanpa pentarbiyyahan menurut manhaj yang secukupnya daripada jamaah, seseorang da’i itu boleh tersasar daripada landasan manhaj yang dilaluinya. Ia akan terkeluar daripada jalan dakwahnya yang asli. Sesungguhnya tarbiyyah merupakan essence yang terpenting dalam pembinaan seorang insan haraki, pembentukan watak seorang qiyadah (pimpinan) jamaah sejak dari dahulu, semasa dan juga pada masa akan datang.


PAS dan Nizam Tarbawiyy


Sejak penubuhannya pada tahun 1951,[4] PAS telah semakin matang melalui liku-likunya sebagai sebuah jamaah harakah Islamiyyah. Kepemimpinan Ulamak yang kita bina sejak muktamar tahun 1982 dan terus kukuh sehingga kini adalah hasil daripada sistem pentarbiyyahan yang diasaskan oleh Tok-Tok Guru kita yang sedia ada. Umpamanya, YB Dato’ Seri Tuan Guru Presiden sendiri pernah membentangkan kertas dasar tarbiyyah berjudul, “Nizam Am Tarbiyyah” selaku Pengerusi Lajnah Tarbiyyah, diikuti oleh kertas “Nizam Khas – Program Tarbiyyah” dan “Panduan Usrah” oleh Ustaz Yahya Othman.[5]


Begitu juga, buku kecil Usrah dan Matlamatnya[6] pernah diterbitkan diikuti pula oleh Manhaj Daurah Tadribiyah.[7] Usaha seterusnya disoroti oleh beberapa penerbitan lain yang ditulis dan dihimpunkan oleh kalangan pimpinan kita yang giat membina khazanah dan bahan-bahan tarbiyyah[8] untuk kegunaan jamaah khususnya sebagai bahan rujukan usrah di peringkat universiti dalam dan luar Negara. Tindakan PAS untuk menyusun bahan-bahan tarbiyyahnya sendiri bersumberkan kitab-kitab muktabar para ulamak haraki termasyhur luar negara seperti pimpinan al-Ikhwanul Muslimin[9] dan juga karangan ulamak tempatan dalam jamaah sendiri amat diperlukan dan bermanfaat sebagai rujukan kepada ahli dan pendokong PAS. Dengan cara sedemikian, kekayaan ilmu dan pengalaman ulamak luar negara dapat diadunkan dan disesuaikan oleh para ulamak tempatan ke dalam iklim dan acuan dakwah setempat yang lebih realistik dan praktikal. Inilah konsep dakwah sebenar yang dituntut oleh islam.[10]


Tidak syak lagi bahawa PAS sebagai sebuah jamaah harakah Islamiyyah yang bergerak aktif dalam politik kepartaian terutama apabila musim pilihanraya menjelang tiba.[11] Di kawasan DUN atau parlimen itulah terserlah ujian pertama daripada tarbiyyah yang diperolehi. Keadaan ini menuntut PAS untuk menyediakan asas tarbiyyah yang kukuh kepada ahli dan pimpinannya. Sesungguhnya tanpa berpandukan ilmu dan tarbiyyah yang ampuh lagi mantap, anggota dan pimpinan PAS tidak dapat memacu dan menggerakkan PAS lebih jauh lagi untuk menghadapi mehnah (ujian) dan fitnah yang semakin mencabar.


Penglibatan serius kita di medan poltik terbuka tidak menjadi alasan untuk kita abaikan tarbiyyah. Kesibukan berpolitik bukanlah sebab untuk kita tidak menghadiri usrah di Cawangan, Kawasan, Negeri dan Pusat. Kesibukan memegang portfolio sebagai Ahli Parlimen (MP) atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukanlah lesen bahawa tarbiyyah sudah tidak perlu lagi. Malah sebagai MP dan ADUNlah, jamaah perlu pertingkatkan tarbiyyah mereka supaya memahami dan mematuhi arahan pimpinan parti!


Demikianlah peri pentingnya nizam tarbiyyah harakiyyah diterapkan di hati sanubari dan akal budi setiap daripada ahli dan pimpinan kita. Semua komitmen ini pastinya menggilap keilmuan, menuntut kesabaran kita dan paling penting, doa dan munajat kita kepada Allah SWT selaku sumber sebenar kekuatan kita.


Memperkasa Prinsip ‘Amal Jama’iyy Untuk Menepati Tujuan Tarbiyyah


Semasa merasmikan Muktamar Dewan Pemuda pada bulan Ogos 2008 yang lalu di Ipoh, saya telah menekankan betapa pentingnya prinsip-prinsip ‘amal jamai’iyy diperkasakan terutamanya oleh kalangan pemuda selaku barisan pelapis pimpinan. Dalam kesempatan ini, perkara yang sama akan ditegaskan semula. Ketahuilah ikhwah yang dikasihi sekalian, ‘amal jama’iyy adalah asas dan teras (main core) pergerakan jamaah kita. Tujuan dan matlamat jamaah boleh tersasar jika ahli dan pimpinan tidak teguh berpegang kepada prinsip ‘amal jama’iyy. Ahli dan pimpinan mesti ditarbiyyahkan supaya memahami dan menghayati ‘amal jama’iyy.


‘Amal Jamai’yy sebenarnya bukan sekadar suatu keperluan semasa tetapi sebenarnya ia adalah suatu tuntutan syar‘iyyah sebagaimana diisyaratkan oleh Allah SWT dalam ayat:


“Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat, yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah daripada kemungkaran; merekalah orang-orang yang berjaya.” (Ali ‘Imran: 104)


Ayat tersebut jelas mengandungi arahan dan kaedah dakwah secara berjamaah melalui medan rakyat, yakni kalimat al-ummah. Status berjamaah ini pula dipertegaskan lagi dalam satu ayat yang lain,


“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti bangunan yang tersusun kukuh.” (As-Saff: 4)


Kalimat bunyanun marsus dalam ayat di atas , bukan sekadar pernyataan bersifat tasybih ‘am (perbandingan umum) sahaja, tetapi lebih mengkhusus kepada pembentukan ciri-ciri jamaah harakah Islamiyyah itu sendiri. Ini memperlihatkan satu ikatan yang amat rapat di dalam barisan du’at yang tersusun rapi, akliah dan ruhaniahnya sekali, semangat dan iltizamnya, langkah dan gerakannya menuju kepada matlamat yang telah digariskan.[12]


‘Amal Jama’iyy menuntut semua kegiatan dakwah dilakukan secara kolektif bersumberkan manhaj yang sahih lagi besih, disusun dalam satu organisasi yang terancang ke arah mencapai tujuan dan matlamat yang telah digariskan oleh jamaah.[13] Kegiatan jama’iyy tidak semestinya dilakukan oleh suluruh anggota jamaah. Ia boleh dilakukan oleh sebahagian anggota malah oleh seorang anggota sahaja pun asalkan kegiatan tersebut diputuskan dan dalam pengetahuan pimpinan jamaah. Setiap kegiatan mestilah syar’iyy dalam semua segi. Jika terdapat nas yang jelas, mesti dipatuhi sepenuhnya. Jika tidak, keputusan syura dipegang sebagai panduan jamaah yang amat jelas, terikat dan tidak boleh dilangkaui. Tanzim dan takhtit merupakan intipati terpenting dalam pelaksanaan prinsip ‘amal jama’iyy berdasarkan kaedah fiqhiyyah:


“Apa-apa yang dengannya terlaksanalah sesuatu yang wajib, maka perkara itu turut menjadi wajib”


Keperluan tanzim (penyusunan organisasi) dari segi syara’ diperjelaskan menerusi sebuah hadith Rasulullah SAW yang memerintahkan perlantikan seorang ketua dalam perjalanan yang disertai tiga orang. Istinbat daripada hadith ini amatlah jelas – jika perjalanan dalam sekadar tiga orang diwajibkan perlantikan seorang ketua, apatah lagi sebuah jamaah harakah yang menuju ke arah himpunan barisan pendokong Islam hampir sejuta orang tidak lama lagi, insya’ Allah.


Terangkum di dalam istilah tanzim tersebut juga, empat aspek utama yang amat perlu dititikberatkan, iaitu:


(i) Pemimpin ( الأمارة )

(ii) Syura ( الشورى )

(iii) Ketaatan ( الطا عة )

(iv) Kesetiaan ( البيعة )


Sesungguhnya, berjaya atau tidaknya pengurusan sesuatu jamaah itu mencapai matlamatnya amat bergantung pada keupayaan barisan pimpinan mengendalikan teraju kepemimpinan organisasi itu dan kesetiaan anggotanya menyokong kepemimpinan. Terlalu banyak nas al-Qur’an dan Hadith tentang perlunya organisasi mempunyai pemimpin yang cekap serta kepemimpinan yang baik. Oleh itu amat penting bagi sesebuah jamaah itu melantik kalangan yang benar-benar berkeupayaan untuk melaksanakan sesuatu amanah kepemimpinan. Pada dasarnya pemimpin perlu memiliki sifat-sifat quwwah dan amanah, perlu mewarisi sifat benar, tabligh dan bijaksana. Ingatlah pesanan Rasulullah SAW bahawa:


“Apabila dilantik seseorang untuk sesuatu tugas yang bukan ahlinya, maka nantilah saat kehancurannya!”


Sahabat Nabi SAW, Abu Zar al-Ghifari bertanyakan Nabi SAW mengapa beliau tidak diberikan sesuatu jawatan yang penting pada zaman baginda SAW? Nabi menjawab dengan jawaban di atas dengan maksud bahawa Nabi tahu tugas itu tidak sesuai untuk Abu Zar dan tidak terpikul olehnya.


Dengan wujudnya qiyadah (pemimpin), maka mesti lahir pula ketaatan yang penuh tertib dan adab oleh ahli yang telah bersetuju melantik pemimpin tersebut. Dengan demikian barulah terbentuk saff Jama’ah Harakah Islamiyyah yang mampu menangani perjuangan dan memikul beban da’wah. Di sinilah letaknya persoalan at-Ta’ah dan al-Wala’ (kesetiaan). Al-Wala’ yang kita maksudkan bukanlah setia mematuhi membabi buta kepada Jama’ah atau pimpinan. Ia adalah kesetiaan kepada Islam yang diterjemahkan melalui Jama’ah Islam yang kita sokong, iaitu PAS berdasarkan prinsip dan kaedah syara’ sedia ada. Dengan demikian terlaksanalah suatu bay’ah ahli terhadap Pimpinannya. Janji setia itu dimahkotakan dengan ahli mengikut Pimpinan penuh setia dan bergerak di atas dasar syara’. Ini bermakna, jika pimpinan memberikan arahan kepada ahli, ahli wajib menurut arahan tersebut selagi arahan tidak bercanggah dengan hukum yang jelas walaupun mungkin ada ahli tidak bersetuju atau menyukai arahan tersebut.[14]


Di dalam sejarah Islam itu sendiri kita telah melihat banyak contoh ketaatan, di antara lain umpamanya, bagaimana di dalam sebuah peperanga, Panglima Khalid al-Walid telah dipecat oleh Amirul Mukminin dan diarahkan oleh Khalifah ’Umar al-Khattab supaya mematuhi Abu ‘Ubadah al-Jarrah sebagai ketuanya walaupun jelas Khalid al-Walid lebih senior daripada Abu ‘Ubadah. Dan kita perdengarkan jawapan balas Khalid al-Walid;


“Demi Allah, sekiranya Amirul Mukminin telah melantik seorang perempuan menjadi ketua saya sekalipun, necaya saya akan mendengar dan mematuhinya!”[15]


Apabila bercakap mengenai ketaatan dan wala’ kepada pimpinan jamaah, sejarah Islam telah melakarkan, sebagaimana yang telah diceritakan oleh Zaid bin Thabit bahawa:


“Pada hari Perang Uhud, Rasulullah SAW telah mengutuskan supaya saya (yakni Zaid bin Thabit), mencari Sa’ad ibnu ar-Rabi’. Sabda beliau (SAW) kepada saya: ‘Jika anda menemuinya, maka sampaikanlah salam saya kepadanya dan bertanyalah kepadanya, bagaimanakah perasaan yang dia alami.’ Kata Zaid: Maka saya pun berjalan mengeliling orang-orang yang telah terbunuh syahid, sehingga saya menemuinya (Sa’ad). Padanya terdapat tujuh puluh liang tikaman lembing, tetakan pedang dan lontaran panah. Maka sayapun berkatalah kepadanya: ‘Wahai Sa’ad, bahawa Rasulullah SAW telah menyampaikan salam beliau kepadamu dan meminta anda khabarkan bagaimana perasaan yang sedang anda alami?’ Maka sahut Sa’ad: Ke atas Rasulullah SAW, sejahteraan (salam) dan katakanlah kepada beliau: ‘Wahai Rasulullah! Saya mendapati bau syurga. Dan katakanlah pula kepada kaum saya (orang-orang Ansar) bahawa tidak ada keuzuran bagimu di sisi Allah selagi mana mata kamu dapat berkelip [bermaksud kamu tidak dapat mengelakkan diri daripada memikul tanggungjawab terus membantu Nabi SAW selagi mana kamu masih hidup]. Setelah itu Sa’ad pun terus menghembuskan nafasnya yang terakhir.”[16]


Jamaah Harakah Islamiyyah

KepimpinanBersifat Fardiyyah atau Jama’iyyah?


Inilah di antara persoalan yang sering ditimbulkan oleh beberapa kalangan pendokong harakah Islamiyyah pada masa kini. Sesungguhnya para fuqaha’ harakiyy telah menjelaskan bahawa pada dasarnya, kepemimpinan dalam sesebuah jamaah Islamiyyah haruslah bersifat fardiyyah (perseorangan) kerana bentuk inilah yang diungkapkan oleh lafaz daripada nas-nas yang terdapat dan juga oleh petunjuk yang diperlihatkan dalam sunnah Rasulullah SAW. Kepemimpinan fardiyy akan meperlihatkan keberkesanan arahan, pengurusan yang efektif dan tindakan yang serta-merta.


Betapapun demikian, dalam melaksanakan arahan tersebut Amir jamaah seringkali juga melakukan syura dengan seluas mungkin dan ini memperlihatkan tindakan jama’iyy dengan melibatkan segolongan seniors dalam barisan kepimpinan. Ini biasanya terjadi dalam kes-kes besar yang melibatkan dasar dan memerlukan pendapat yang paling rajih supaya keputusan yang diambil adalah menyeluruh dandipertangungjawabkan oleh seluruh barsian kepimpinan. Inilah bentuk kepemimpinan harakah islamiyyah yang paling tepat dan selamat.[17]


Pelaksanaan syura yang meluas, menurut sebahagian besar pimpinan harakiyy, adalah wajib[18] dan sebahagian fuqaha’ berpendapat pula Amir jamaah mesti ilzam dengan keputusan syura.[19] Kaedah pelaksanaan syura ini pula adalah berdasarkan prinsip pendapat yang paling kuat (al-ra’yu al-rajih) di kalangan mereka yang bersyura. Kaedah ini dpegang berdasarkan alasan bahawa salah satu nas yang berhubungan dengah syura meletakkan ia bersampingan dua rukun Islam yang utama, iaitu solat dan zakat[20] sehingga memberikan konotasi bahawa pentingnya syura seakan-akan syarat asasi sebagai seorang Muslim-Mkumin! Selain itu, amalan syura juga adalah perintah langsung daripada Allah SWT berdasarkan ayat 159 daripada surah Ali ‘Imran.


Pelaksanaan syura yang meluas di kalangan ahli Jama’ah adalah cara terbaik untuk mengelakkan Jama’ah tergelicir daripada landasan kebenaran. Sistem syura merupakan komponen terpenting dalam tanzim, di mana, tanpanya cacatlah perjalanan organisasi Jama’ah itu. Keputusan syura mestilah binding dan dipatuhi oleh semua peringkat anggota hatta oleh Amir sekalipun. Pernah disebutkan di dalam banyak hadith bagaimana digambarkan bahawa Rasulu’Llah SAW adalah orang yang paling kerap melakukan syura lalu amalan ini dicontohi oleh para sahabat.[21] Membiarkan Amir membuat keputusan bersendirian boleh memudharatkan jamaah dan menjadikan jamaah terlalu autokratik.


Keindahan bersyura akan dirasai secara automatik apabila ahli berasa yakin dengan perjalanan dan matlamat Jama’ah serta berasa amat senang dengan kepemimpinan barisan pimpinan Jama’ah. Inilah akhlak dan adab berjamaah[22] yang kita mahukan. Inilah bentuk saff Jama’ah yang sedang kita usahakan sehingga lahirnya Jundiyyah yang menepati syarat-syarat Hizbu’Llah seperti yang termaktub di dalam al-Qur’an, surah al-Ma’idah, ayat 54-56,


“Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa yang murtad di kalangan kamu, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasih kepada-Nya; mereka bersifat rendah diri dengan orang-orang mu’min dan bersikap tegas terhadap orang-orang kafir, mereka berjihad bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan mereka yang mencela. Yang demikian itu adalah Limpah Kurniaan Allah yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas Limpah Kurniaan-Nya lagi meliputi Ilmu-Nya.

Sesungguhnya, pemimpin (Wali) bagi kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang Mu’min, iaitu mereka yang mendirikan Sembahyang, mengeluarkan zakat, dan mereka yang ruku’ merendah diri (patuh kepada Allah).

Dan barangsiapa yang menjadikan Allah dan Rasul-Nya dan orang-orang Mu’min sebagai penolongnya, demi sesungguhnya Hizbu’Llah itu pasti mendapat kemenangan.” (Surah al-Ma’idah: 54-56)


Peri Pentingnya Aspek Perancangan

Dalam Tanzim Jamaah


Bahawa betapa pentingnya sesebuah jama’ah Harakah Islamiyyah menyusun dan memperkemaskan tanzim Jama’ahnya, telah banyak kali dibahaskan oleh para ulamak haraki termasuklah al-Imam Hasan al-Banna sendiri[23] yang telah menyusun suatu sistem tarbiyyah Ikhwan yang amat berkesan. Usaha gigih beliau disambung dengan tekun oleh Syaikh Hasan Hudaybi , al-Ustaz Mustafa Masyhur[24], al-Ustaz Sa`id Hawwa[25] dan al-Ustaz Fathi Yakan[26] (sekadar menyebut beberapa nama sahaja[27]). Di dalam al-Qur’an, Allah SWT telah menyebutnya beberapa kali, di antara lainnya termasuklah ayat yang telah kita ungkapkan di awal kertas ini:


“Sesungguhnya Allah SWT amat mengasihi orang-orang yang berperang pada jalan-Nya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka seperti sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (As-Saff: Ayat 4)


Asy-Syahid Syed Qutb dalam Tafsir Fi Zilal al-Qur’annya telah menguraikan dengan terperinci ruh dan tuntutan sebenar yang disyariatkan oleh Islam di dalam ayat tersebut di mana Allah SWT mewajibkan Islam ditegakkan secara berencana dan berjamaah dalam satu tanzim yang tersusun rapi laksana sebuah bangunan kukuh yang dimithalkan dengan sususan saff angkatan perang.[28]


Ahli dan pimpinan perlu djuga ditarbiyyah supaya menitikberatkan aspek-aspek pengurusan tanzim jamaah dan yang paling penting ialah aspek perancangan dalam jamaah. Terdapat enam (6) kriteria utama dalam perancangan sesuatu organisasi, iaitu:-


(i) Analisis suasana persekitaran

(ii) Penentuan matlamat

(iii) Menyediakan input/alternatif

(iv) Menentukan input/alternatif

(v) Pelaksanaan

(vi) Pengawalan


Kita dapat menganalisis keenam-enam kriteria di atas dengan mengambil satu kisah yang amat menarik yang menjelaskan kepada kita bagaimanakah sebuah jamaah Islam disusun di bawah pimpinan seorang ketua. Di dalam al-Qur’an, surah an-Naml ayat 15 – 44, telah dikisahkan bagaimana Nabi Allah Sulaiman AS telah berda’wah dan menyusun bala tenteranya untuk menghadapi kerajaan yang tidak tunduk patuh kepada Allah SWT, iaitu Kerajaan Saba’ pimpinan Maharani Balqis.


Pada permulaan cerita itu telah dikisahkan bahawa Nabi Allah Sulaiman AS telah menyusun bala tenteranya yang terdiri daripada jin, manusia dan burung untuk menyerang tentera Balqis yang engkar terhadap Allah SWT dan seruan Nabi Sulaiman AS supaya tidak menyembah matahari dan cakerawala, sebaliknya beriman kepada Allah SWT. Di dalam tanzim Nabi Allah Sulaiman AS itu, kita melihat bagaimana Nabi membuat semakan (check-list) persiapan saff Jundu’Llahnya dan mengesan ketidakhadiran burung Hud-Hud (Belatuk). Baginda AS mengecam tingkahlaku Hud-Hud itu yang gagal mematuhi arahan baginda AS selaku Ketua Tentera. Hampir-hampir Nabi AS ingin mengambil tindakan disiplin ke atas Hud-Hud (dengan menyembelihnya) tetapi Hud-Hud yang berada tidak jauh dari situ, yang mendengar kemarahan pimpinannya lalu bergegas segera, (mungkin diberitahu oleh sahabatnya) datang menyembah membawa berita bahawasanya ketidakhadirannya bukan disengajakan malah ia telah mengintip kekuatan bala tentera Maharani Balqis.[29]


Kita saksikan di peringkat cerita ini bagaimana Nabi Allah Sulaiman AS amat memahami kekuatan bala tenteranya dan menganalisis suasana persekitarannya:


(i) Siapakah yang terpilih menganggotai tenteranya;

(ii) Cukupkah bilangan tenteranya;

(iii) Tindakan disiplin akan diambil kepada yang engkar;

(iv) Keperihatinan Nabi tentang keluhan Raja Semut yang meminta semut-semut sekalian menyembunyikan diri takut-takut kalau dipijak oleh bala tentera Nabi Sulaiman AS;

(v) Kebolehan Hud-Hud membela diri.


Selanjutnya Nabi Sulaiman AS telah secara terus terang menyatakan matlamatnya ingin menyampaikan Risalah Islam atau jika Maharani Balqis engkar, Nabi AS akan menyerang. Mesej warkah yang diutuskan jelas menyatakan Da’wah yang dibawanya agar maharani Balqis dan seluruh rakyatnya menyembah Allah SWT. Surat tersebut diarahkan untuk dibawa oleh Hud-Hud sendiri, sebagai ujian apakah Hud-Hud berkata benar atau ia termasuk di kalangan golongan mereka yang berdusta. Amat jelas kandungan surat tersebut apabila Nabi berkata:


Pengiriman warkah oleh Nabi merupakan alternatif terbaik Nabi AS kepada Balqis sebelum Nabi menyerangnya jika kandungan surat itu ditolak. Pemergian Hud-Hud terbang membawa warkah Nabi, kesungguhan Nabi akan menyerang, tawaran membawa Singgahsana Balqis di hadapan mata Nabi oleh ‘Ifrit yang ditolak oleh Nabi sebaliknya menerima tawaran seorang yang mempunyai ilmu daripada Kitab Allah SWT jelas menunjukkan kepada kita bahawa Nabi amat serius dan terus melaksanakan rancangannya. Ingatlah Hud-Hud diminta balik segera setelah melaksanakan tugasnya menyampaikan warkah (kemudian kamu berundurlah daripada mereka, dan [nantilah untuk] melihat apakah jawapan yang mereka balaskan kembali). Amat jelas bahawa Nabi Sulaiman AS menggunakan strategi terbaiknya untuk melaksanakan serangan, amat berhati-hati, memberi peluang terakhir kepada musuh untuk bertaubat kembali kepada Allah SWT tetapi tetap teguh dengan pendirian asal untuk menyerang jika mereka engkar.


Cerita menarik ini juga memperlihatkan kawalan yang cukup baik dan kemas dilakukan oleh Nabi Sulaiman AS dalam menyusan tanzimnya sebagai berikut:


(i) Mengawal anggota tenteranya: burung, Jin dan manusia;

(ii) Mengawal dirinya dengan sentiasa mengingati Allah;

(iii) Mengawal diri dan tenteranya apabila berhadapan dengan musuh.


Penolakan Nabi AS terhadap tawaran hadiah oleh Maharani Balqis membuktikan keupayaannya istiqamah dengan perjuangannya. Jelasnya, prinsip perjuangan organisasi Islam tidak boleh digadaikan dengan apa jua bentuk pujukan.


Satu aspek yang perlu kita pelajari daripada kisah ini juga ialah bagaimana pihak musuh juga merencana dan membuat persiapan untuk menghadapi Jama’ah Islam. Maharani Balqis meminta pandangan pembesar-pembesarnya bagaimanakah cara terbaik untuk menghadapi tentera Nabi Sulaiman AS. Dan setelah dimaklumkan bahawa Nabi Sulaiman merupakan seorang Raja yang gagah lagi perkasa, beliau memilih kaedah lembut, iaitu dengan memberikan tawaran hadiah dan godaan. Pada fikiran Balqis, itulah kaedah terbaik untuk melembutkan hati Nabi Sulaiman AS agar membatalkan hasratnya untuk menyerang. Inilah strategi musuh yang mesti kita pelajari agar kita tidak mudah terperangkap dan tertipu. Ingatlah pesan Sayyidina ‘Ali Abi Talib bahawa :


“Perencanaan batil (musuh) yang tersusun kukuh hampir pasti menumbangkan kebenaran (Islam) yang kucar-kacir”.


Dalam kisah di atas adalah jelas kepada kita bahawa ketaqwaan Nabi Sulaiman AS, kemurahan hatinya, ketegasan kepemimpinannya, keberaniannya menghadapi musuh dengan tidak ada rasa takut atau boleh dipujuk-rayu dan ketelitiannya merencana dan menyusun bala tenteranya membolehkan baginda beroleh kejayaan. Inilah model tarbiyyah yang hendak kita terapkan dalam PAS. Inilah di antara sifat-sifat Jundu’Llah[30] yang perlu ada dalam Jama’ah Islam untuk beroleh kejayaan.


Tarbiyyah Pada Du’at dan

Cabaran Yang Menanti Di Hadapan


Dengan mengambil kisah Nabi Allah Sulaiman AS sebagai contoh, dapatlah kita simpulkan bahawa sesebuah jamaah harakah yang berjaya itu mesti memiliki sifat-sifat berikut:


(i) memiliki ‘ilmu dan tarbiyyah yang sahih;

(ii) matlamat perjuangan yang jelas;

(iii) tanzim yang tersusun kemas;

(iv) manhaj perjuangan yang jelas;

(v) barisan kepemimpinan yang berkeupayaan;

(vi) pengikut yang faham, taat dan istiqamah;

(vii) Disiplin yang tegas untuk ahli di pelbagai peringkat.


Dalam pertembungannya dengan musuh-musuh Islam, jama’ah Islam harus meneliti batas keupayaannya. Harus diingat: kekalahan dalam sesuatu pertembungan boleh ditafsirkan sama ada perencanaan musuh terlalu baik ataupun penyusunan organsiasi kita yang lemah. Dan kelemahan kita dapat berlaku melalui tiga cara : kelemahan dalaman yang sangat rumit atau ancaman luar yang terlalu hebat atau barangkali juga kedua-duanya sekali. Dalam hal ini pimpinan wajib meneliti bersungguh-sungguh segala permasalahan tanzim Jama’ah. Pimpinan mestilah mempunyai keupayaan mengesannya dari peringkat awal lagi dan sekurang-kurangnya dapat mengawal keadaan. Berdasarkan pengalaman beberapa Jama’ah Islam, adalah didapati masalah dalaman amat rumit untuk diselesaikan begitu sahaja. Kepemimpinan yang bercelaru menyebabkan organisasi lemah dan pengikut tidak dapat dikawal. Dalam hal ini al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna telah mengingatkan kepada seluruh anggota Al-Ikhwan apabila beliau berkata:


“Saya tidak bimbangkan keadaan kamu dan ancaman musuh-musuh Islam, tetapi apa yang saya bimbangkan ialah diri kamu sendiri. Saya tidak takutkan ancaman orang-orang Inggeris terhadap kamu, atau orang Amerika atau Rusia atau lainnya. Yang saya takutkan ialah kamu melakukan dua perkara:

(a) Kamu mengenepikan Allah, lalu Allah mengenepikan kamu;

(b) Kamu berpecah belah sesama sendiri, maka kamu tidak akan berguna lagi.


Sesungguhnya jalan da’wah itu memang berliku dan tidak pernah dihampar dengan bunga-bunga yang harum, tetapi jalan yang susah dan panjang.[32] Bukankah Allah SWT telah menegaskan sifat segala ujian dan cabaran da’wah itu sendiri :


“Alif…Lam…Mim…. Adakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: “Kami telah beriman” padahal mereka tidak duji lagi? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka. Maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan orang-orang yang berdusta.” (Al-Ankabut: 1–3)


Amatlah penting bagi kita yang berada di atas jalan da’wah ini, memelihara keaslian da’wah, memelihara martabat Islam yang dibawa dan memelihara kesucian nama Jama’ah Islam yang kita anggotai ini supaya kita, Jama’ah dan Islam yang kita bawa ini tidak menjadi bahan ketawa dan fitnah orang lain. Dalam pertemuan khas di dalam suatu mu’tamar yang menghimpunkan belia-belia Islam seluruh dunia suatu ketika dulu, al-Ustadh Mustafa Masyhur telah menggariskan beberapa bentuk penyelewengan yang dilakukan oleh para du’at dan mujahid da’wah itu sendiri, di antara lainnya termasuklah:


(i) Menyeleweng dari landasan asal dan kefahaman tentang Islam dan Jama’ah;

(ii) Tidak mengutamakan aspek Tarbiyyah;

(iii) Mendedahkan Jama’ah kepada orang luar;

(iv) Mengenepikan Syura dan nasihat;

(v) Mengutamakan kulit bukan isinya - banyakbertengkar tetapi sedikit kerja;

(vi) Berjalan mengikut kaki tanpa panduan yang sahih;

(vii) Cenderung kepada masalah furu’ dan mengenepikan dasar.[33]


Tarbiyyah – Asas Kejayaan Jamaah


Oleh sebab memahami bahawa jalan da’wah itu amat berliku dan dipenuhi ranjau berduri, maka al-Imam Hasan al-Banna telah menggariskan rukun-rukun da’wahnya, peringkat-peringkatnya di mana Rukun Faham sahaja mempunyai dua puluh (20) buah huraian daripada sepuluh (10) Rukun Bay’ah [34] sebagai asas-asas dan dasar fiqh ad-Da’wah yang wajib (dari segi hukum ‘amal jama’iyy) diikuti oleh setiap mujahid da’wah. Sesungguhnya, antara yang Haq dan batil, ada pertentangannya yang nyata. Ia memerlukan kesabaran dan ketekunan memikul bebanan yang berat. Ia memerlukan kemurahan hati, pemberian dan pengorbanan tanpa mengharapkan hasil yang segera tanpa putus asa dan putus harapan. Yang diperlukan ialah usaha dan kerja yang terus menerus dan hasilnya terserah kepada Allah pada waktu yang akan ditentukan-Nya.[35]


Sesungguhnya tiada panduan dakwah yang lain, selain panduan yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT di dalam al-Qur’an. Dan tiada jalan dakwah yang lebih sahih daripada jalan yang telah direntasi sendiri oleh baginda Rasulullah SAW yang diperlihatkan daripada sirahnya yang bersih lagi jernih. Di sinilah ilmu dan tarbiyyah memainkan peranan terpenting untuk membentuk insan haraki yang bakal menjadi Jundullah yang bekerja keras untuk jamaah Islam, Parti Islam.


Di dalam sebuah jamaah harakiyyah seperti PAS ini, maka Usrah dan Tamrin merupakan dua bentuk latihan tarbiyyah yang terpenting buat ahli dan kepimpinan PAS di samping majlisimjlis ilmu dan siri ceramah yang diadakan. Semua ahli PAS wajib menghadiri usrah. Di dalam unit usrahlah ahli dididik, permasalahan dirongkai dan terbinalah ukhuwwah yang terikat kuat. Ahli usrah yang telah ditarbiyyah oleh para naqib akan bersedia menghadapi perjuangan membina benteng pertahanan Islam laksana bunyanun marsus yang disebut di dalam al-Quran. Melalui tamrinlah, latihan dan persediaan digarap sebelum bertempur di medan pilihanraya.


Usrah sebagai unit tarbiyyah terpenting berperanan mendidik ahli dan menyediakan barisan kepimpinan akan datang. Melaluinya, jamaah dapat:


(i) Mentarbiyyah ahli supaya memiliki rasa tanggungjawab di hadapan Allah SWT;

(ii) Mentarbiyyah ahli supaya sentiasa bermuqabah terhadap Allah SWT;

(iii) Mewujudkan hubungan langsung ahli kepada al-Qur’an dan sunnah Nabi SAW.


Kesemuanya ini akan membentuk perwatakan ahli ke arah beriltizam dengan akhlak al-Qur’an dan menjauhi maksiat. Maka akan berkembanglah unit-unit usrah ini dalam gabungan usrah yang lebih besar di peringkat negeri melaui program bulanan di mana keluarga usrah bertambah besar. Ukhuwwah Islamiyyah yang dipupuk menjadi semakin kukuh dan mantap. Demikianlah, unit-unit usrah tadi akan berhimpun pula dalam program tamrin yang diadakan dari masa ke semasa untuk membentuk dan menyelaraskan fikrah ahli ke arah menuju matlamat jamaah.


Penutup


Demikianlah pemerkasaan aspek tarbiyyah yang jamaah ingin lahirkan. Jamaah Islam sebagai sebuah organisasi wajib meletakkan al-Qur’an, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas sebagai sumber sahih rujukan dan dasar perjuangan. Amalan syura yang berkesan pula akan membantu pimpinan mengemudi organisasi dengan cekap dan mendapat keredhaan Allah SWT. Gabungan tenaga di antara barisan pimpinan yang bijak dan pengikut yang setia di bawah manhaj yang tersusun kukuh akan menghasilkan natijah yang diharapkan dan bakal melahirkan Hizbu’Lah yang dinantikan. Sebarang usaha yang dilakukan di luar kaedah-kaedah tersebut harus ditolak dan tidak dapat diterima sebagai ‘amal-‘amal Islam kerana bagi Islam, “tujuan tidak menghalalkan cara”. Hanya dengan sedemikian Rahmat Allah SWT akan bersama-sama kita dan nun jauh di sana……Janji Allah SWT menanti kita.

Allahu ‘alam bissawab.

Ustaz Nasharudin Mat Isa

Timbalan Presiden PAS



[1]Lihat nas-nas mengenai kewajiban berdakwah di dalam al-Qur’an, umpamanya dalam surah Ali ‘Imran: 104 dan 110, an-Nahl: 125, as-Saff: 4 dan al-Ma’idah: 54-56. Terdapat juga sekian banyak hadith sahih yang menjelaskan kewajiban berda’wah.


[2]Sila lihat prinsip dan kaedah pelaksanaan Da’wah Fardiyyah yang telah dikupas dengan indah oleh al-Ustadh Mustafa Masyhur dalam Da’wah Fardiyyah, Kuala Lumpur: Pustaka Salam, 1985.


[3]Penegasan Allah SWT dalam surah as-Saff: 4 perlu diteliti dengan mendalam. Da’wah perlu disusun rapi secara kolektif, dirancang, dikawal dan dipimpin secara berkesan untuk mencapai matlamat yang telah digariskan.


[4]Sila lihat sejarah penubuhan PAS dalam Naharudin Mat Isa, 50 Tahun Mempelopori Perubahan – Menyingkap Kembali Perjuangan PAS 50 Tahun, Kuala Lumpur: Parti Islam SeMalaysia, 2001 dan juga The Islamic Party of Malaysia (PAS) – Ideology, Policy, Struggle and Vision Toward the New Millenium, Kuala Lumpur: PAS, 2001.


[5]Ketiga-tiga kertas kerja ini merupakan kertas kerja dasar pembinaan nizam tarbiyyah PAS secara tersusun dan didokumentasikan untuk dilaksanakan di semua peringkat keahlian. TG Hj. Abdul Hadi Awang selaku Pengerusi Lajnah Tarbiyyah ketika itu telah dipertanggungjawabkan untuk menyediakan suatu manhaj taribyyah PAS dengan tujuan untuk memantapkan dan menyeragamkan pentarbiyyahan ahli dan pimpinan.


[6]Diterbitkan oleh Lajnah Tarbiyyah dan Latihan Kepimpinan PAS Pusat.


[7]Juga diterbitkan oleh Lajnah Tarbiyyah dan Latihan Kepimpinan PAS Pusat yang sama dengan cetakan pertamanya pada bulan April, 2001.


[8]Umpamanya, pimpinan kita sendiri dengan tekunnya telah menulis bahan-bahan rujukan usrah dan tamrin yang amat bermanfaat supaya ahli dan pimpinan dapat diseragamkan fikrah mereka. Umpamanya sila lihat buku Fiqh al-harakah Dari Sirah Nabawiyyah, Shah Alam: Dewan Pustaka Fajar, 1987 karangan TG Abdul Hadi Awang dan juga kertas-kertas kerja kerja beliau seperti “Parti Allah dan Sifatnya Menurut Islam” (1983), “Ke Arah Membentuk Harakah Islamiyyah” (1983), “Tahalluf as-Siyasi (1987) dan sebagainya. Buku-buku dan kertas-kertas kerja pimpinan tertinggi seperti ini mestilah dijadikan teks bahan utama jamaah untuk dihadhamkan di dalam usrah-usrah, tamrin, seminar, konvensyen dan sebagainya.


[9]Pengalaman yang dilalui oleh jamaah harakah Islamiyyah dunia sebelum ini harus diambil iktibar oleh PAS sebagai panduan dalam bergerak. Pengalaman jamaah Al-Ikhwanul Muslimin di Mesir, Syria, Jordan dan Tunisia, Parti Milli Salamat dan Parti Refah di Turki, Jamaat-i-Islami, Pakistan, Parti Nahdatul Ulamak dan Masyumi semasa pimpinan Pak Natsir di Indonesia harus dikaji dengan mendalam untuk diaplikasikan dengan beberapa penyesuaian tempatan berdasarkan waqi’ semasa kita .


[10]Memang diakui bahawa ramai Tuan-Tuan Guru dan ulamak yang memimpin PAS pada masa kini mendapat pendidikan awal di luar Negara seperti di Mesir dan Madinah,Makkah India, Pakistan , Mesir Iraq Jordan ,Syria, Sudan, Yaman, United Kingdom dan sebagainya. Pengalaman mereka mengikuti asuhan dan didikan pimpinan gerakan Islam setempat ketika itu amat berharga sebagai persiapan asas untuk mereka curahkan apabila sampai ke tanah air. Bagaimanapun, penyesuaian kepada iklim politik di Malaysia mesti dilakukan. Mempelajari ilmu agama Islam adalah satu perkara; mengaplikasikan ilmu tersebut ke dalam suasana semasa di Malaysia, adalah satu perkara lain yang mesti dititikberatkan. Jika tidak, ulamak dan du’at sebegini akan terus “berteori keseorangan” dan dikelilingi oleh pengikutnya yang sama sekali gagal diaplikasikan kepada masayarakat setempat. Jika ini berlaku, kemungkaran akan terus berleluasa dan kebenaran dan Hukum Allah tidak akan terlaksana. Apalah ertinya jika seseorang itu telah diasuh dan dididik dengan ilmu dakwah dan kepimpinan yang tinggi tetapi beliau gagal dan tidak dapat mengaplikasikan ilmu itu kepada masyarakat luas terbentang di hadapan matanya! Malahan, ini bertentangan dan konsep ilmu yang dipelajari itu.


[11]Di dalam ucapan dasar Muktamar PAS yang ke-38 berjudul, “Meroboh Rangkaian Penindas,” di Balai Islam Lundang, Kelantan, 14 Ogos 1992 , bekas Presiden PAS yang amat kita kasihi, almarhum TG Hj. Fadzil Mohd. Noor telah menghuraikan bahawa Kita telah memenangi Kelantan menerusi proses Perlembagaan. Kita telah menerima sistem demokrasi berparlimen, sama sepertimana yang dipercayai UMNO. Oleh yang demikian, kita berharap sistem demokrasi yang diamalkan kini akan terus mengizinkan kita mewakili rakyat secara demokratik.” Inilah tema pegangan PAS dan di antara wasilah kita dalam dakwah.


[12]Lihat tafsir Syed Qutb dalam Fi Zilali’l-Quran, Jilid VII, hlm. 81.


[13]Untuk memahami huraian terperinci dan mendalam, sila rujuk Fiqh ‘Amal Jamai’iyy, Kuala Lumpur: Pustaka Ikhwan, 1985.


[14]Sebuah hadith sahih Rasulullah SAW riwayat Bukhari dan Muslim menyebut bermaksud “Diwajibkan ke atas orang Islam itu, dengan taat (kepada pemerintah) dalam perkara-perkara yang disukainya atau yang dibencinya kecuali jika ia diperintahkan membuat maksiat. Jika ia diperintahkan membuat maksiat, maka tidaklah wajib ia mendengar dan mematuhinya).


[15]Fathi Yakan, Masalah Dakwah dan Pendakwah, London: IIFSO, 1981, hlm: 81.


[16]Fathi Yakan, op.cit., hlm: 86-87.


[17]Lihat Yusuf al-Qardhawi, al-Hallu’l-Islamiyyu Faridatun wa Darurah, Qaherah, 1397H, hlm: 232.


[18]Lihat umpamanya tulisan Syaikh Mustafa Masyhur, Dr. Hasan al-Huwaidi, Dr. Yusuf al-Qardhawi dan Sa’id Hawwa sekadar contoh.


[19]Lihat juga karangan Sa’id Hawwa, Durus Fi al-‘Amal al-Islami dan dalam kitab terkenalnya, al-islam.


[20]Al-Qur’an, Ayat 30, Surah asy-Syura.


[21]Lihat huraian tentang pelaksanaan Syura dalam Jama’ah oleh al Ustadh Sa’id Hawwa, Durus Fi al-‘Amal al-Islami dan Syura Dalam Islam oleh Dr. Hasan al-Huwaidi, Kota Baru 1985.


[22]Sila rujuk kertas kerja penulis berjudul, “Akhlak Berjamaah” yang telah dibentangkan dalam Konvensyen PAS Sabah, 3 Mei 2002.


[23]Sila lihat kumpulan karangan al-Syahid Hasan al-Banna dalam Majmu`ah al-Rasa’ilnya.


[24]Lihat magnum opusnya, Fiqh ad-Da’wah Jld. I dan II yang telah menggariskan jalan-jalan dakwah yang amat jelas berdasarkan nas-nas al-Qur’an dan Sirah Rasulullah SAW, serta pengalaman para sahabat dan juga Jama’ah Harakah Islamiyyah khususnya al-Ikhwanu’l-Muslimun. Karangan Ustaz Mustafa Masyhur tersebut pernah dicadangkan menjadi antara teks wajib Fiqh ad-Da’wah.


[25]Kitab-kitab karangan tokoh ulamak ini mestilah didampingi dan dikaji dengan mendalam untuk memberikan fikrah yang amat jelas kepada al-akh ad-Da’iyyah yang ingin merentasi jalan da’wah yang cukup berliku ini. Kitab-kitab karangannya seperti Al-Islam, Jundu’Llah Thaqafatan wa Akhlaqan (Tentera Allah: Ilmu dan Akhlaknya), Fi afaqiyyat-Ta’alim (Ufuk Risalah Ta’alim) dan Al-Asasi Fi Tafsirnya mesti menjadi kajian barisan pimpinan kita. Karangan dan analisisnya terhadap fiqh da’wah al-Imam Hasan al-Banna terutamanya dalam al-Madkhal ila ad-Da’wah al-Ikhwanu’l-Muslimun (Pengenalan Kepada Da’wah al-Ikhwanu’l-Muslimun) amat detail lengkap dengan syarah-syarahnya. Ia mengandungi banyak petua dan analisis yang penting untuk membina seseorang da’i dan meningkatkan keupayaanya menjadi seorang mujahid dan qiyadah yang berkemampuan memimpin sesebuah Jama’ah Islam.


[26]Di antara karangan terpenting beliau termasuklah Maza Ya’ni Intima’ al-Islam (Apa Ertinya Saya Menganut Islam), Qawarib an-Najah fi Hayah ad-Du’ah (Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah), Musykilah ad-Da’wah wa Da’iyyah (Masalah Da’wah dan Penda’wah), Abjadiyyat at-Tasawwur al-Haraki li’l-’Amal al-Islami dan al-Mutasaqitun ‘ala Tariq ad-Da’wah (Golongan Yang Gugur Di Sepanjang Jalan Da’wah). Kitab-kitab ini dicadangkan untuk dibahas dan difahami secara mendalam oleh semua barisan pimpinan kita.


[27]Amat menarik sekali untuk disebutkan di sini bahawa gabungan tenaga du’at dalm tanzim al-ikhwan ini mengenengahkan mereka yang bukan sahaja arif dalam bidang pengajian Islam sebagai fuqaha’ dan ulamak sahaja seperti Hasan al-Banna sendiri dan Sa’id Hawwa, tetapi Syaikh Mustafa Masyhur adalah seorang pakar fizik manakala Fathi Yakan adalah seorang jurutera. Inilah gabungan mantap profesional dan ulamak yang komited dengan dakwah.


[28]Bagi kalangan mereka yang mampu menguraikan Tafsir, Kelas Tafsir berdasarkan teks Fi Zilal al-Qur’an oleh Syed Qutb (yang ditulis ketika asy-Syahid berada dalam penjara semata-mata kerana berdakwah) dicadangkan untuk dimanfaatkan oleh semua anggota Jama’ah. Keutamaan ditumpukan kepada surah dan ayat-ayat tertentu yang berkaitan dengan Fiqh ad-Da’wah dan manhaj tarbiyyah kita.


[29]Al-Qur’an, Surah An-Naml: 20-26.


[30]Al-marhum Ustadh Sa’id Hawwa acapkali menekankan persiapan para du’at dan Jama’ah untuk memenuhi tuntutan sebagai Jundu’Llah. Menurutnya apabila lengkap sifat-saifat Jundu’Llah pada Jama’ah, maka Allah SWT akan menganugerahkan al-Falah kepada Jama’ah. Lihat bahasan beliau dalam Jundu’Llah thaqafatan wa Akhlaqan dan Durus Fi al-‘Amal al-Islami.


[31]Diungkapkan semula oleh Dr. Yusuf al-Qardawi dalam Harakah Islamiyyah ; Suatu Tuntutan, Shah Alam: KPIITM, 1981, hal. 30-31.