Tuesday 23 June 2009

Sajak Kesetiaan ; Dedikasi Buat Pimpinanku..


Tok Guru, (Nik Abdul Aziz)


Semoga Allah memuliakan dikau Tok Guru…

Yang sesekali tertinggi suara pada anak didikmu, demi Islam…

Yang merendah diri bertemu muka dalam syura ukhuwwah…

Penuh ikhlas menarik kembali tutur bicara yang terlajak…

Sungguh! Hatimu sangat mulia…

Tokoh sepertimu seorang dalam berjuta-juta…

Semoga Allah melahirkan lagi ramai pemimpin sepertimu…

Kami bangga ber-Mursyid-kan Tok Guru…

Teruslah mendidik kami… teruslah menasihati kami…


Tuan Guru, (Abdul Hadi Awang)

Semoga Allah memuliakan dikau Tuan Guru…

Ketenanganmu dalam menghadapi kritikan…

Keteguhan jiwamu dalam menempuh badai fitnah…

Keterbukaan dan kelapangan dadamu adalah qudwah…

Serulah kami anda dikau terasa berkeseorangan…

Akan kami sahut panggilanmu dengan penuh kesetiaan…

Dikaulah tokoh Murabbi sepanjang zaman…

Dikaulah mujahid, mujtahid dan mujaddid kami…

Teruslah memimpin kami… teruslah membimbing kami…


Ustaz, (Nasharudin Mat Isa)

Semoga Allah memuliakan dikau ustaz…

Meninggalkan jawatan demi sebuah perjuangan…

Warisan Fadhil Noor dalam ketajaman usul fiqh…

Apa yang telah berlaku hanyalah ribut dan badai…

Yang memperkasakanmu dalam meneruskan warisan kepimpinan…

Dikau benar, dalam memilih untuk senyap dan berdiam…

Walaupun dikau berhak bersuara selaku pimpinan pilihan ramai…

InsyaAllah, gigih menjejaki teladan 2 Tok dan Tuan Guru…

Dikaulah pemimpin masa hadapan…


Tok Guru, Tuan Guru dan Ustaz,

Terima kasih kerana dengan izin Allah, telah merungkaikan kami…

Dari belitan jejaring fitnah yang sangat meresahkan ini…

Kalian adalah qudwah dalam ukhuwwah dan kesetiaan…

Buat kalian, terimalah bai’ah ini ;

WalLahi, Wabillahi, WatalLahi,

Kami dengan ini sesungguhnya berjanji setia..

Untuk dengar dan taat kepada kalian…

Pada perkara yang kami suka atau tidak…

Dalam keadaan kami cergas atau malas..

Selama mana bukan pada perkara-perkara maksiat…


SUNGGUH! BAHTERA INILAH YANG PALING SELAMAT…


Monday 22 June 2009

Berita Baik - Tidak ada lagi bincang kerajaan perpaduan - Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 22 Jun - Majlis Presiden Pakatan Rakyat hari ini menegaskan pihanya menolak sebarang usaha membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendieri menyatakan, dalam isu Kerajaan Perpaduan, Umno telah menjalankan fitnah yang jahat dan dengan itu pihaknya bertegas tidak lagi mahu membincangkan pembentukan kerajaan tersebut.

Apa yang diusahakan sebelum ini disalah tafsir oleh kepimpinan Umno/BN untuk memfitnah PAS dan Pakatan Rakyat semata-mata memecahbelahkan hubungan pakatan, katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media bersama Sekretariat Majlis Presiden Pakatan Rakyat di Bilik Ketua Pembangkang, Bangunan Parlimen hari ini.

Turut hadir ialah, Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub; Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali dan Dato' Seri Nizar Jamaluddin.

Sementara di pihak KeADILan, Presiden, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan, Dr Syed Husin Ali; Naib Presiden, Azmin Ali dan Sivarasa Rasiah; anggota MT KeADILan, Saifuddin Nasution, dan di pihak DAP pula, Setiausaha Agungnya, Lim Guang Eng; Dato' Ngeh Ko Ham.

Sementara itu, Anwar yang membacakan kenyataan mewakili Pakatan Rakyat menyebut, akatan Rakyat menolak pengwujudan kerajaan perpaduan.

"Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan persekutuan akan datang," katanya.

Majlis pimpinan Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan kerajaan Perpaduan dengan Umno/BN, yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan serta tindakan terdesak Umno mengugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat, tegas Anwar.

Menyokong pandangan itu, Salahuddin Ayub pula menyatakan kenyataan tersebut sebenarnya adalah muktamad dan ini bermaka tidak akan ada lagi 'unity talk' dengan Umno.

Malah Salahuddin kelihatan gembira dengan perkembangan itu yang seterusnya dilihat akan membuatkan Umno kelemasan.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Mahfuz pula memberi analogi bahawa 'Umno kini kehilangan tabung oksigen' apabila isu kerajaan perpaduan ini telah ditamatkan dengan kenyataan pimpinan pakatan.

Kenyataan itu juga sebagai satu usaha menutup talian hayat yang ada pada Umno/BN yang selama ini mengucar-kacirkan pakatan dnegan penyelewengan isu kerajaan perpaduan, ujarnya.

Berita Baik - Kenyataan Bersama Pakatan Rakyat

Kenyataan Akhbar
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat
22 Jun 2009


Pendirian Pakatan Rakyat Berkenaan Isu Kerajaan Perpaduan


Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat telah mengadakan pertemuan di Pejabat Ketua Pembangkang hari ini Isnin 22 Jun dan mengambil keputusan berikut.


1. Semua parti dalam Pakatan mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang akan datang.


2. Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO / Barisan Nasional yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak UMNO untuk menggugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat.


3. Pada masa yang sama Pakatan Rakyat mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan pihak kerajaan Barisan Nasional bagi membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat seperti usaha pemulihan ekonomi, meningkatkan kualiti pendidikan, mengembalikan semula integriti institusi kehakiman, memansuhkan Akta Keselamtan Dalam negeri, skandal RM 12.5 bilion projek KPFZ, salahguna kuasa kepimpinan polis sementara kes jenayah semakin meningkat, membanteras rasuah dan menjana urustadbir yang baik, menjalankan pilihanraya yang bebas dan adil, membubarkan DUN Perak serta menjalankan pilihanraya dengan segera bagi menyelesaikan krisis rampasan kuasa negeri Perak.


Dato' Seri Anwar Ibrahim
Dato' Seri Abdul Hadi Awang
Lim Kit Siang



Friday 19 June 2009

Ya Allah, Rungkaikanlah Belitan Jaring Fitnah Ini

Assalamualaikum wrt wbt

Menitis air mata bila dihadapkan dengan badai fitnah ini…

Menghadapi kebejatan UMNO pun tidak pernah sesukar ini…

Tewas PRU 2004 sekalipun tidak terasa sepedih ini…

Hatta dirampas Perak pun tidak sampai serungsing ini…

Sangat sukar bila terlihat benang-benang ukhuwwah seolah terkoyak di depan mata… Sungguh, demi Allah tak sanggup rasanya melihat tokoh-rokoh yang sangat disayangi, dikagumi dan dihormati.. tiba-tiba seperti hilang hormat antara satu sama lain… seperti hilang kasih antara sesama mereka… seperti tiada cinta selama ini… Berbaloikah terputus simpulan sayang atas alasan berbeza pandangan?

Apakah hubungan yang terbina sekian lama hanyalah ikatan diplomatik politik semata-mata? Tiada langsung UKHUWWAH?

Benarkah apa yang berlaku kini? Ataukah aku hanya bermimpi?

Ya Allah, sedarkanlah aku dari lena ini..tiada upaya aku untuk menerima igauan mimpi se-ngeri ini…

YA ALLAH, PIMPINLAH PEMIMPINKU UNTUK MERUNGKAI FITNAH INI..

YA ALLAH, PELIHARALAH HATIKU AGAR TERUS TETAP MENYAYANGI DAN MEMPERCAYAI MEREKA...

YA ALLAH, ANDAI FITNAH INI DISEBABKAN KHILAF SEMATA2, LAPANGKANLAH HATI DI ANTARA MEREKA...

YA ALLAH, ANDAI FITNAH INI DISEBABKAN BATU API DAN PENGADU DOMBA, LAKNATILAH MEREKA YA ALLAH...

YA ALLAH, ANDAI FITNAH INI DISEBABKAN PROPAGANDA MUSUH, BINASAKANLAH MEREKA...

YA ALLAH, TOLONGLAH KAMI

YA ALLAH, TOLONGLAH JAMAAH KAMI

YA ALLAH, TOLONGLAH PEMIMPIN KAMI


Luahan rasa dan doa,

Anak kecil yang bingung, menilai perbalahan orang tuanya…

Friday 12 June 2009

Amanat Tuan IBrahim- Naib Presiden PAS




Muktamar PAS ke 55 baru berakhir, kenikmatan berjamaah masih terasa, bagaimana pertemuan para pejuang Islam di satukan sebentar dalam muktamar indah bagi yang tidak pernah menjadi matlamat menyertai PAS. Amanah besar yang sangat ana bimbangi, dan terus terang siang malam ana berdoa agar ana tidak dibebani dengan am,anah besar ini, setelah ana tidak upaya menolak pencalunan yang besar dari perwakilan. Kini ana sering munajat doa sebagaimana yang pernah diungkapkan oleh Saidina Umar “ Ya Allah, Engkau telah bebankan aku dengan bebanan yang berat di dunia, maka ringankanlah bebananku di akhirat.”

Muktamar telah berlalu, kepimpinan telah dipilih. Marilah kita menyatukan saf perjuangan bagi menghadapi musuh kita yang satu. Muktamar nbagi menyatakan pandangan dan kritikan, kita telah lalui, penjelasan dari pimpinan telah pun di buat, mungkin ada yang berpuas hati, dan mungkin ada yang belum berpuas hati dengan jawapan; bahkan pemilihan pun mungkin ada yang sedih dan ada yang gembira. Terkadang penyokong lebih bersedih daripada yang bertanding. Namun Islam mengajar kita agar menerima keputusan dengan dada yang terbuka, jamaah telah buat keputusan. Rasulullah bersabda “ Umatku tidak akan sepakat dalam perkara kesalahan’, dan “ Pertolongan Allah akan dating dengan jamaah”.

Selepas muktamar media masih memainkan isu yang dijangka boleh memecahkan kita, kita harus faham sepak terajang media musush, adalah malang kalau kita yang tahu media musuh, tetapi masih percaya kepada berita yang disebarkan oleh musush. Seluruh ahli dan pimpinan PAS mesti menjadikan HARAKAH sebagai media rasmi parti. Sebarang isu yang berbangkit, mestilah dirujuk kepada kenyataan rasmi pimpinan dalam harakah. Agar kita tidak terjerumus dalam perangkap yang dimainkan oleh musuh.

Kita punya tanggungjawab sebagai gerakan dakwah bagi menyelamatkan rakyat dari kemurkaan Allah, ruang dakwah menyebabkan kita mesti menarik mereka kepada Islam, kita tidak seharusnya menutupi ruang dakwah ini. Kita mempunyai penyokong yang berjuta orang, tetapi sebahagian mereka hanya menjadi pemerhati kepada perjuangan, kita mesti menarik mereka, agar bersama dalam perjuangan Islam. Kita juga mesti membetulkan system yang berjalan dalam Negara. UMNO mampu mempertahankan kejayaan kerana system yang tidak betul ini ujud. Kita berusaha kea rah tersebut. Namun saya tegaskan bahawa kita tidak akan biarkan jamaah kita menjadi kuda tunggangan UMNO/BN.

Kita punyai masa depan gemilang dalam Pakatan Rakyat, kita diterima oleh bukan Islam untuk bersama dengan PAS bukan parti lain. Ini keyakinan yang perlu kita bina. Kita mestilah mampu mengambilalih kepimpinan melayu dari UMNO dan membawa mereka kepada landasan Islam. Perjuangan kita bukan sekadar menyelamatkan mereka di dunia, tetapi lebih jauh nasib mereka di akhirat; bilamana mereka bertahun-tahun meredai kemungkaran tajaan UMNO/BN samada secara sedar atau tidak.. Negara dipimpin oleh pimpinan yang korup, kita perlu menggantikan dengan kepimpnan yang soleh dan bertaqwa.

Yakinlah para pimpinan mengenali siapa UMNO lebih dari kita. Pimpinan kita meyedari tipu helah UMNO dalam perjuangan mereka yang lama dari kita. Adalah malang seandainya ahli merasa ragu-ragu dengan presiden dan Timbalan Presiden. Semua dasar parti di kawal oleh syura, dan semua perkara pokok akan diputus dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat. Andai ada yang cuba membawa jamaah kearah bertentangan, yakinlah mereka tidak akan dapat bertahan lama dalam jamaah, samada jamaah akan meyingkirkannya atau Allah akan mengeluarkan mereka dari jamaah ini-insyaAllah. Berilah keyakinan dan wala’ pada pimpinan, dan awasilah perangkap musuh yang ada dikeliling kita , dan jangan kita menjadi juru cakap musuh dalam jamaah bagi melihat berpecahkan jamaah ini.

Tingkatkanlah hubungan dengan Allah, jadilah sirah Rasulullah s.a.w sebagai asas dalam perjuangan ini dan bersabarlah di atas perbezaan pandangan, dan hargailah pandangan yang berbeza yang lahir dari hati yang ikhlas. Rapatilah saf perjuangan, dan gunalah sedikit masa tengah malam dan awal pagi untuk memohon kekuatan dari Allah.
Salam perjuangan.


Akhukum FiLLah
Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tidak Akan Bergabung Dengan UMNO

Ucapan Presiden PAS teramat jelas mengatakan "TIDAK AKAN BERGABUNG DENGAN UMNO". Namun, masih lagi ada suara-suara jahat yang mengatakan bahawa PAS HENDAK BERGABUNG DENGAN UMNO.

Semoga ALLAH memberi pengajaran sepatutnya kepada orang yang membuat fitnah itu.

Dengar ucapan PRESIDEN PAS ini, dan teliti, bahagian mana yang mengatakan bahawa PAS ingin bergabung dengan UMNO!



-

Catatan Teman2 Selepas Muktamar - Mari Kenali Unity Government

Oleh: allahummahdina

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Segala puji bagi Allah Tuhan sekelian alam. Selawat dan salam buat Nabi Muhammad saw, keluarga dan para sahabat dan juga yang mengikuti jejak langkahnya sehingga hari akhirat.

DS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah pun melontarkan idea unity goverment yang menggemparkan. Ramai terpingga2. Ada yang berkata Hadi perlu perjelaskan padahal kenapa sibuk marahkan kalau belum jelas.

Banyak orang menolaknya tanpa diberikan hujjah2 yang baik. Nyatakan di mana baik dan buruknya. Ambil keputusan bersama. Tapi ini tidak berlaku. Masing2 dengan tuduhan yang tidak berasas. Penuh dengan pransangka buruk. Oleh itu, di sini suka saya berkongsi dengan para pembaca budiman luahan saya.

Sebelum saya pergi lebih jauh suka saya nyatakan ciri kerajaan perpaduan dan sedikit perbezaan dengan kerajaan campuran Antaranya ialah ;

1. Perdana Menteri dilantik oleh suara terbanyak ahli parliment daripada mana-mana parti manakala kerajaan campuran ialah biasanya dilantik daripada parti yang terbanyak kerusinya.

2. Perdana Menteri ini boleh bertukar bila2 masa saja mengikut suara terbanyak ahli parliment.

3. Ahli kabinet juga dibentuk mengikut suara parliment bukannya parti2 tertentu kerana bila masuk ke dalam parliment ia seolah2 bermaksud semuanya menjadi ahli parti kerajaan.

4. Masing-masing parti masih mengikut haluannya sendiri

5. Tiada pembangkang tapi bukan pula tidak boleh membangkang.

6. Biasanya diadakan kerana keperluan mendesak atau menghadapi satu2 isu yang besar seperti perang atau kemelesetan ekonomi yang teruk. Kerajaan campuran pula tidak semestinya ditubuhkan kerana menghadapi isu2 besar.

Pastinya kerajaan perpaduan ini mestilah mengikut acuan malaysia setelah melalui pelbagai perbincangan. Maka tak hairanlah kenapa DS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tidak memperincikannya. Ini kerana ia perlu kepada pendetailan bersama-sama antara parti yang terlibat.

Kalaulah secara terperinci ianya datang daripada DS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pasti namanya kerajaan DS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang atau kerajaan PAS dan pastinya semua parti akan menolaknya. Bagi saya DS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengambil langkah tepat dengan tidak memperincikannya tetapi hanya memberi konsep antaranya kerajaan tiada pembangkang dan bagi menghadapi kemelot politik dan ekonomi yang teruk.

DS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang nampak teragak2 pada mulanya kerana saya rasa ianya seolah2 menjadi kejutan kepada sesetengah pemimpin lalu mengeluarkan kenyataan yang kurang berhemah (saya rasa pada lahirnya) tetapi setelah selang beberapa ketika, ketenangan dan keberanian datang kembali.

Biasalah mana2 idea yang besar pasti juga mendatangkan kritikan yang banyak (adalah malang pemimpin PAS tidak bersatu hati dalam perkara ini. Kalau orang yang kebanyakan saya tak sedih kerana mereka pasti kekurangan ilmu agama yang dapat mendidik mereka tapi tidak wajar kalau ianya adalah pemimpin gerakan Islam!! Mereka mesti alim asas2 agama kerana ilmu fardhu kifayah sudah menjadi ilmu fardhu ain buat mereka..kalau tolak mesti semuanya menolak..kalau terima semuanya mesti menerima walaupun di sana ada beberapa perkara yang tidak puas hati).

Mereka berkata BN penuh dengan kejahatan dan kekejian. Apakah hanya ini alasan sehingga kita tak boleh berurusan dengan mereka. Strategi kita mestilah kadang-kadang menyerang, kadang-kadang memujuk, kadang menawarkan sesuatu dan sebagainya mengikut kesesuaian. “janganlah kecenderungan kamu kepada sesuatu kaum itu menyebabkan kamu tidak berlaku adil kepada mereka” janganlah kita terburu-buru menolak atau menerima sesuatu perkara kerana terburu-buru itu daripada syaitan.

Antara hikmah DS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tidak memperincikan walaupun sudah menerangkan konsep ialah ;

1. Strategi, ia tidaklah boleh didedahkan. Inilah pentingnya thiqah dan wala’. Percaya dan yakin kepada pemimpin kerana bukan semua perkara boleh didedahkan kepada umum. Tapi ini tak berlaku kerana mereka tak percaya dan tidak berserah kepada pemimpin bahkan di kalangan pemimpin besar sekalipun tidak menunjukkan teladan yang baik. Sehingga ia menjadi senjata musuh pula. (Bagi saya Datuk Tuan Guru Menteri Besar perlulah taat kepada Presiden dan Presiden mesti taat kepada Majlis Syura, kalau Datuk Tuan Guru Menteri Besar ingin menegakkan pendapatnya maka sayugialah Datuk Tuan Guru Menteri Besar memanggil ahli majlis Syura dan membuat keputusan dan bercakap atas kapasiti Majlis Syura bukannya atas kapasiti peribadi atau Mursyidul Am-maaf insan yang kerdil ini mahu mengajar Datuk Tuan Guru Menteri Besar). Mereka mengambil contoh peperangan siffin sedangkan pepecahan berlaku kerana mereka tidak wala’ dan thiqah kepada Ali ra. Mereka tidak patuh kepada pemimpin mereka. Hati2 mereka bersama kamu tapi pedang2 mereka bersama musuh.

2. Memberi peluang kepada semua parti politik agar hendaklah bersama2 merangka kerajaan. Bersama2 menentukan peluang dan keperluan yang perlu dicapai. Banyak sejarah perang Rasulullah saw membuktikan setelah tiada jalan melainkan perang barulah berlakunya peperangan. Pada peperangan Uhud Nabi saw tidak mengejar tentera musuh walaupun tentera Quraisy berundur. Hanya kejar olok2 agar musuh merasai kekuatan Islam.

3. Bagi rakyat bersuara juga memberi pandangan. Biasalah mereka yang bersuara ini punyai pelbagai latar belakang, ada yang beremosi, ada yang fasik, ada yang kafir harbi dan sebagainya. Cuma masalahnya terdapat pemimpin PAS yang tidak seiya dan sekata dalam melontarkan pandangan. Sepatutnya mereka menyokong dengan hujjah ilmu yang jelas. mana2 yang tidak puas hati rujuk kepada Presiden. Jangan menampakkan mereka tidak ada thiqah dan wala’. Kalau mereka begini apalah yang ingin diharapkan sangat daripada ahli.

Inyaallah akan bersambung di lain kali..Segala yang baik itu datang daripada Allah dan yang buruk itu saya memohon keampunan Allah.

disalin dari - http://www.tranungkite.net/v9/modules.php?name=News&file=article&sid=366

Wednesday 10 June 2009

Catatan Teman2 Selepas Muktamar - Muzakarah ; Antara Hukum dan Perasaan

Oleh: Ustaz Termizi Mohd Din

Walaupun agak keletihan setelah mengikuti Muktamar PAS kali ke 55 yang berlangsung hampir 3 hari termasuk bertugas sebagai Unit Amal, namun hati merasa puas dan makin bersemangat. Ucapan sekalung tahniah kepada seluruh kepimpinan yang telah terpilih bagi menganggotai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bagi sesi 2009-2011. Walaupun pelbagai kontroversi dan suasana yang negatif telah digembar-gemburkan oleh media, namun perjalanan Muktamar masih dapat ditangguhkan dalam keadaan damai serta harmoni.

Sepanjang berlangsungnya muktamar, agak sukar untuk saya mendengar perbahasan yang benar-benar berkualiti dan serasi dengan agenda Islam Memimpin Perubahan sebagaimana yang digagaskan oleh YB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya. Hanya segelintir sahaja yang mampu untuk menarik perhatian perwakilan dan pemerhati dengan idea-idea yang bernas untuk memasarkan Islam kepada masyarakat.

Sebab itulah, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menegur perwakilan yang membuat perbahasan agar menyentuh soal bagaimana untuk menambahbaikkan PAS agar dapat mempromosikan Islam dan menyampaikan mesejnya kepada masyarakat secara lebih berkesan dalam ruang lingkup suasana politik semasa. Tuan Guru menegur ucapan yang disampaikan oleh perwakilan yang banyak bertumpu kepada memperkenalkan dan berkempen tentang PAS kepada pimpinan serta ahli PAS. Ia adalah perkara yang sepatutnya tidak berlaku dalam muktamar PAS yang agak terhad masanya.

Suatu ketika dahulu mereka bertemu dan berdebat … muzakarah

RUNDINGAN DENGAN UMNO

Antara isu yang hangat diperkatakan sepanjang Muktamar ini adalah idea kerajaan perpaduan dan rundingan dengan UMNO yang dilontarkan oleh Tuan Guru Presiden. Selepas bermuktamar, masih lagi ia diperbincangkan sedangkan Tuan Guru Presiden telah memberikan penjelasan semasa ucapan penggulungan.

“Ustaz, apa pandangan tentang idea kerajaan perpaduan tu?” Saya juga ditanya tentang isu ini. Entahlah, mungkin si penyoal hendak mengenalpasti status saya, sama ada pro-muqabalah atau pro-pakatan rakyat (terpaksa menggunakan istilah ini waaupun saya tidak menggemarinya).

Saya menyoalnya kembali. “Sebelum saya menjawab, ingin saya bertanya adakah Islam membenarkan atau tidak? Kalau Islam membenarkan, kenapa saya ingin mengharamkannya?”

Mereka turut bertemu …. muzakarah

ANTARA HUKUM DAN PERASAAN

Memang tidak dinafikan, ramai yang merasa perit apabila mengenangkan pengalaman PAS bersama dengan UMNO pada tahun 1971 dan 1972. PAS akhirnya ditendang keluar oleh UMNO pada tahun 1977 dengan cara yang tidak beradab sekali. Perasaan benci kepada UMNO semakin membuak-buak lagi apabila sejarah mencatatkan kekejaman UMNO yang pernah menzalimi ulamak-ulamak, aktivis dan pejuang PAS selama ini.

Namun, janganlah pengalaman-pengalaman ini menjadikan kita meletakkan UMNO lebih teruk daripada kafir harbi sehingga tertutup semua ruang dakwah terhadap mereka. Janganlah kita mengkategorikan mereka di satu tempat yang kita tidak perlu jejaki lagi. Lupakah kita tentang sifat yang perlu ada kepada seorang daie untuk menyampaikan dakwah kepada mad’u?

Mereka bertemu dan berbincang…muzakarah

Saya tertarik dengan kata-kata Ustaz Nasharuddin Tantawi, Ketua Pemuda PAS dalam ucapan penutupnya agar sifat benci kita kepada UMNO tidak menutup ruang untuk kita menyampaikan mesej Islam kepada mereka. “Jangan membina tembok pemisah untuk dakwah kita sampai kepada mereka. Kita adalah daie”. Katanya dengan penuh bersemangat disambut dengan laungan takbir daripada perwakilan.

Perasaan terhadap UMNO tidak boleh diletakkan di hadapan. Letakkanlah al-Quran dan as-Sunnah sebagai kemudi untuk memandu kita dalam membuat penghakiman.

Rasulullah SAW mempunyai pengalaman yang jauh lebih buruk dengan kafir Quraisy Mekah berbanding pengalaman PAS bersama UMNO. Namun, sewaktu membuka kota Mekah, Baginda SAW memaafkan dan membebaskan mereka tanpa sebarang hukuman. Sabda Baginda SAW;

لا تثريب عليكم اليوم , يغفر الله لكم

”Tiada pembalasan ke atas kamu semua pada hari ini, Allah akan mengampunkan kamu” (Al-Amwal , Abu ‘Ubaiyd, 143 dengan sanad hasan tetapi Mursal) Nabi diriwayatkan juga berkata ketika itu

نصبر ولا نعاقب

” Kami sabar dan tidak akan membalas ” (Riwayat Ahmad, 5/135 ; At-Trmidizi, 4/361 ; Sohih menurut al-Hakim dan disepakati az-Zahabi)

Akhirnya, dengan uslub dakwah Baginda, akhirnya menyebabkan kafir Quraisy Mekah memeluk Islam secara beramai-ramai.

SIKAP DOUBLE STANDARD

Saya agak hairan dengan sikap sesetengah pihak yang menuduh Tuan Guru Presiden dengan pelbagai bahasa yang tidak enak sewaktu beliau mengemukakan gagasan rundingan dengan UMNO. Namun, sekiranya perkara yang hampir sama digagaskan oleh pihak lain, mereka hanya mendiamkan diri. Bahkan menyokongnya.

Sebagai contoh, perbincangan YB Husam Musa dengan Chua Soi Lek tentang isu DUN Perak. Ia bukan sahaja tidak dipertikaikan bahkan disokong dengan sepenuh hati pula. Apakah perbincangan itu bukan muzakarah?

PAS Kelantan juga telah membenarkan YB Dato’ Ibrahim Ali untuk bertanding di Parlimen Pasir Mas dengan menggunakan tiket PAS. Siapa yang tidak kenal dengan Ibrahim Ali dan kerosakan yang telah dibinanya untuk menentang PAS sebelum ini? Dan kita telah sama-sama lihat kegagalan idea ini sekarang. Ibrahim Ali bukan sahaja mengkhianati amanah PAS, bahkan secara terus-terang mengkritik PAS dan Pakatan Rakyat. Mengapa tiada pihak yang mempersoalkan kegagalan ini?

rasmi7

WALA’ DAN TAAT

Dato’ Dr. Harun Din dalam ucapan penangguhan telah mengingatkan perwakilan tentang musuh-musuh kepada perjuangan PAS. Musuh-musuh ini senantiasa wujud sama ada di luar atau dalam Jemaah sendiri.

Oleh kerana itu, beliau berpesan kepada ahli PAS supaya akur dan wala’ kepada Presiden sebagai amir atau ketua kepada Jemaah yang kita dokongi ini. Baginda SAW pernah berwasiat;

أُوْصِيْكُمْ بِتَقْوَى اللهِ عَزَّ وَ جَلَّ وَ السَّمْعِ وَ الطَّاعَةِ وَ إِنْ تََأَمَّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ فَسَيَرَى اخْتِلافًا كَثِيْرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَ سُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِيْنَ اْلمَهْدِيِّيْنَ عَضُّوْا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَ إِيَّاكُمْ وَ مُحْدَثََاتِ اْلأُمُوْرِ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلالَةٌ .

( رواه أبو داود و الترمذي و قال : حديث حسن صحيح )

“Aku berwasiat kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah Azza Wajalla , dengar dan taat sekalipun yang mengarah kamu hanyalah seorang hamba , maka sesungguhnya sesiapa yang masih hidup dikalangan kamu , ia akan berhadapan dengan konflik yang begitu hebat , dikala itu wajib ke atas kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah khulafa’ Ar Rasyidin yang mendapat petunjuk. Genggamlah ia dengan geraham dengan seerat – eratnya dan waspadalah kamu terhadap perkara – perkara yang diada-adakan maka sesungguhnya semua perkara yang diada-adakan ( yang tidak terdapat dalam syariat ) adalah sesat .”

Jangan kita meletakkan perasaan di hadapan, sehingga mengenepikan al-Quran dan Sunnah, rasional serta akhlak sebagai ahli gerakan Islam. Seumpama seorang wanita yang mengharamkan poligami kerana perasaannya walaupun dibenarkan oleh al-Quran dan Sunnah. Kita semua tahu dan sedar hukumnya. Wallahu a’lam.

(Nota; Penulis adalah Ketua Lajnah Tarbiyah, Dewan Pemuda PAS Gombak Sesi 2009 - 2011. Tulisan-tulisan beliau boleh dibaca di blognya http://termizidin.wordpress.com)

Tuesday 9 June 2009

Catatan Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-55


Assalamualaikum wrt wbt


Ada orang yang berpendapat bahawa muktamar PAS baru-baru ini sebenarnya tidak menyelesaikan perbezaan dan isu besar yang berlaku dan tersebar di kalangan ahli (sila rujuk - http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=2209). Masih ada suara-suara di kalangan perwakilan antaranya dari Shah Alam, Dewan Muslimat, Perwakilan Kelantan dan sebagainya yang masih menyentuh tentang tidak boleh langsung berbuat baik, bermuzakarah atau berbincang dengan UMNO dan dalam masa yang sama tidak bersetuju (menolak?) idea kerajaan perpaduan yang dilontarkan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Jiwa sedikit terasa damai apabila mendengar ucapan penutup Tuan Guru Presiden, ucapan Dato’ Mahfoz Omar, ucapan Ketua Dewan Ulama’ dan ucapan Ketua Dewan Pemuda yang baru. Saya menilai di sepanjang muktamar, ada perwakilan memuji idea kerajaan perpaduan di samping dalam masa yang sama berusaha menafikan berlakunya perpecahan di kalangan ulama dan professional. Kumpulan Ulama sebenarnya tidak langsung meremehkan peranan profesional dan begitu juga profesional tidak melekehkan ulamak.

Secara ringkasnya, inilah yang saya faham dan simpulkan dari Muktamar kita baru-baru ini :

1. Kita akan terus bersama dan berusaha memperkasa Pakatan Rakyat (PR)sebagai hasil ijtihad kita ketika ini demi kepentingan Islam.

2. Kita akan berusaha menguatkan pelaksanaan, amalan dan nilai-nilai Islam dalam negeri-negeri Pakatan Rakyat sesuai dengan identiti kita sebagai Parti dan Jamaah Islam.

4. Kita akan terus mengasak UMNO/BN yang kini semakin lemah sehingga ia terus pupus bersama kezaliman dan penyelewengannya.

5. Kita akan terus melebarluaskan usaha dakwah samada dengan jalan muzakarah, muqabalah dan sebagainya dengan sesiapa sahaja sama ada individu, badan kerajaan, NGO atau partai politik di dalam mahu pun di luar negara hatta dengan UMNO atau mana-mana komponen BN sekali pun.

6. PAS tidak boleh menutup ruang kepada mana-mana pihak, sebaliknya terbuka untuk menerima sesiapa sahaja demi kemanfaatan Islam dan kesejahteraan insan.

7. Muqabalah atau muzakarah tersebut tidak sesekali membawa maksud kita akan bergabung dengan UMNO atau BN. Kebencian dan permusuhan kita dengan UMNO, tidak sepatutnya menjadikan kita menutup terus ruang untuk melebarkan ruang dakwah kita kepada mereka.

8. Idea Kerajaan Perpaduan adalah lontaran pandangan Dato’ Seri Tuan Guru Presiden yang futuristik. Kerajaan Perpaduan bukan dan tidak sesekali bermaksud Kerajaan Campuran PAS dan BN. Idea ini perlu diperhalusi dan diperincikan.

9. PAS tidak pernah membezakan atau mengkategorikan ahli kepada ulamak, profesional atau aktivitis. Kesemua golongan ini adalah sebaris dalam perjuangan PAS. Setiap mereka berjasa dan banyak memberi sumbangan kepada PAS.

10. Kesemua ahli dan pimpinan PAS hendaklah mentarbiyah diri dengan adab dan akhlak berjamaah. Akhlak ahli dengan pimpinan, akhlak sesama pimpinan dan sesama ahli. Anggota PAS hendaklah menanamkan sikap berbaik sangka, menjauhi tuduh menuduh, memelihara kerahsiaan, tidak menyebarkan isu rumahtangga dalaman jamaah kepada pihak luar dan tidak cepat membuat kenyataan media dan terbuka tanpa dirujuk terlebih dahulu kepada anggota atau pimpinan yang terbabit.

11. PAS menafikan sama sekali wujudnya team erdogan atau pun pro muzakarah di dalam PAS. Kewujudan pembahagian team ini adalah mainan sensasi pihak media serta fitnah liar yang disebarkan oleh musuh dari luar.

12. PAS wajib memperkasakan kembali penghayatan ukhuwwah di kalangan anggota dan di kalangan sesama pimpinan bagi mempertahankan jatidiri dari serangan musuh-musuh yang ingin memecahbelahkan kesatuan PAS yang dicemburui mereka sekian lama.

Bagaimana jawapan yang sepatutnya saya berikan apabila ada ahli di peringkat bawahan bertanya ;

“MACAMANA SAYA INGIN MEMPERPETEGUHKAN PERASAAN HORMAT DAN SAYANG SAYA KEPADA SELURUH KEPIMPINAN YANG ADA JIKA DI SEPANJANG MUKTAMAR SAYA MELIHAT SENDIRI PERTEMBUNGAN DAN PERSELISIHAN DI KALANGAN PIMPINAN YANG SEPATUTNYA DI LEVEL MEREKA, MAMPU MENGURUS PERBEZAAN TERSEBUT SESAMA SENDIRI DENGAN BAIK…”

Entahlah, saya juga bingung memikirkannya….. Semoga Allah memelihara perjuangan ini, dan membersihkannya dari mana-mana individu atau golongan yang tidak ikhlas!