Thursday 9 July 2009

Wala' dan Baiah - Oleh Ust Ahmad Adnan Fadzil (Pimpinan Pas Perlis)


Wala’

Tidak ada satu kalimah dalam bahasa Melayu yang dapat mengungkapkan secara keseluruhan makna wala’. Secara tepatnya kalimah wala’ terangkum di dalamnya beberapa pengertian iaitu;

1. Memberikan kasih-sayang
2. Memberikan ta’at-setia yang tidak berbelah-bagi
3. Mengangkat sebagai pemimpin,
4. Menjadikannya sebagai teman-rapat atau sekutu,
5. Memberi kepercayaan,
6. Tempat mencurahkan bantuan dan pertolongan

Allah berfirman;

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَ رَسُوْلُهُ وَ الَّذِيْنَ آمَنُوْا الَّذِيْنَ يُقِيْمُوْنَ الصَّلاَةَ وَ يُؤْتُوْنَ الزَّكَاْةَ وَ هُمْ رَاْكِعُوْنَ وَ مَنْ يَتَوَلَّى اللهَ وَ رَسُوْلَهُ وَ الَّذِيْنَ آمَنُوْا فَإِنَّ حِزْبَ اللهِ هُمُ الْغَاْلِبُوْنَ
“Sesungguhnya orang yang harus kamu berikan wala’ kamu kepada mereka hanyalah Allah, RasulNya dan orang-orang beriman yang mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka tunduk-patuh (kepada hukum-hakam Allah). Dan sesiapa yang memberikan wala’nya kepada Allah, Rasul dan orang-orang beriman, maka sesungguhnya golongan (yang mendokong agama) Allah itulah yang pasti menang”. (al-Maidah: 55)

Dalam ayat di atas, Allah menegaskan bahawa wala’ dari seorang muslim hanya boleh diberikan kepada tiga golongan iaitu;

1. Allah
2. Rasulullah
3. Mukminin (orang-orang beriman)

Namun tidak semua orang yang mengaku beriman harus diberikan wala’ kepada mereka. Ini kerana Allah mengikatnya dengan tiga syarat iaitu;
1. Yang menunaikan solat,
2. Yang mengeluarkan zakat,
3. Yang tunduk-patuh kepada Syari’at Allah.

Dalam suasana hari ini, wala’ kepada orang-orang beriman secara umumnya merangkumi beberapa pengertian;

1. Wala’ kepada kelompok orang-orang beriman iaitu memberi kesetiaan kita kepada ummah mukminin. Contohnya; dalam pertembungan antara kuasa Islam dan kuffar hari ini, jiwa, perasaan dan hati-sanubari kita adalah bersama dengan kelompok beriman walau di mana saja mereka.

2. Wala’ kepada jama’ah atau kelompok orang beriman yang memperjuangkan Islam iaitu dengan menyertai jama’ah tersebut dan menjadi sebahagian dari anggotanya.

3. Menta’ati pemimpin Islam yang menta’ati Allah sama ada pemimpin umum sekelian kaum muslimin (iaitu Khalifah) atau pemimpin jama’ah yang menerajui gerakan Islam.

Sabda Rasulullah s.a.w.;

ثلاثة لا تسأل عنهم: رجل فارق الجماعة وعصى إمامه ومات عاصيا، وأمة أو عبد أبق من سيده فمات، وامرأة غاب عنها زوجها وقد كفاها مؤونة الدنيا تزوجت بعده، فلا تسأل عنهم
“Tiga golongan jangan engkau bertanya tentang mereka (kerana mereka termasuk dalam orang-orang yang bakal musnah) iaitu;
1. Orang yang berpisah dengan jamaah dan menderhakai imamnya serta mati dalam maksiat,
2. Hamba perempuan atau lelaki yang lari dari tuannya lalu menemui kematian,
3. Seorang perempuan yang suaminya keluar bermusafir dan telah dicukupinya biaya keduniaannya lalu ia bertabarruj sesudahnya (untuk menarik perhatian lelaki lain).
(Riwayat Imam at-Thabrani, al-Hakim dan al-Baihaqi dari Fadhalah bin ‘Abid r.a.)

Bai’ah

Bai’ah bermaksud perjanjian atau sumpah setia untuk menyatakan kesediaan untuk selalu mematuhi dan setia dengan janji yang diikrarkan. Contoh bai’ah yang berlaku semasa Rasulullah s.a.w.;

1. Bai’ah ar-Ridhwan
2. Bai’ah ‘Aqabah (pertama dan kedua)

Setelah kita meyakini pemimpin kita dengan menepati konsep wala’ yang ditetapkan oleh Syara’ tadi, maka wajib kita memberi bai’ah kepadanya sama ada secara langsung atau secara tidak langsung. Secara langsung ialah dengan melafazkan ikrar kesetiaan dan ketaatan di hadapannya. Secara tidak langsung ialah dengan mentaatinya dalam segala arahan yang diberikan -selagi tidak menyanggahi Syara’- walaupun tanpa dilakukan ikrar dihadapannya.

Seorang muslim adalah individu yang sentiasa diikat dengan bai’ah. Sabda Rasulullah;

من خلع يداً من طاعة لقي اللَّه يوم القيامة ولا حجة له، ومن مات وليس في عنقه بيعة مات ميتةً جاهليةً
“Sesiapa yang merungkai ketaatannya (dari pemimpin yang adil), ia akan bertemu Allah di hari kiamat dengan tanpa hujjah baginya. Sesiapa yang mati dalam keadaan tiada bai’ah di tengkuknya, ia mati sebagai mati jahiliah”. (Riwayat Imam Muslim dari Ibnu ‘Umar r.a.)

Pada zaman Rasulullah s.a.w., sekelian para sahabat memberi bai’ah mereka kepada Rasulullah s.a.w.. Adapun selepas zaman baginda, umat Islam wajib memberi bai’ah kepada pemimpin-pemimpin yang dilantik di kalangan mereka. Sabda Rasulullah s.a.w.;

إذا خرج ثلاثة في سفر فليؤمروا أحدهم
“Apabila keluar tiga orang dalam satu perjalanan, maka hendaklah mereka mengangkat salah seorang sebagai pemimpin”. (Riwayat Imam Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.)

Jika dalam urusan duniawi (iaitu urusan musafir) Rasulullah mengarahkan supaya dilantik pemimpin, maka lebih-lebih lagi dalam urusan agama dan perjuangan Islam. Institusi kepimpinan amat penting kepada perjuangan dan gerakan Islam. Kerana itu, menjadi kewajipan ke atas setiap ahli gerakan Islam untuk memberi bai’ah yang tidak berbelah bagi kepada pemimpin jamaah.

Jika dilihat kepada bai’ah yang diambil oleh Rasulullah dari golongan Ansar (melalui bai’atul Aqabah pertama dan kedua), ada dua bentuk bai’ah yang mesti menjadi kelaziman setiap ahli harakah iaitu;

1. Bai’ah untuk sentiasa berpegang-teguh dan beramal dengan setiap ajaran Islam,

2. Bai’ah untuk bersungguh-sungguh memperjuang dan mempertahankan Islam hingga ke titisan darah yang terakhir.

Menurut riwayat Ubadah bin Shamit, salah seorang sahabat yang menyertai bai’atul Aqabah pertama pada tahun ke 12 nubuwwah; dalam bai’ah tersebut Rasulullah s.a.w. mengambil bai’ah dari Ansar dalam perkara berikut;

1.Tidak menyengutukan Allah dengan sesuatu apa pun.
2.Tidak mencuri, berzina dan membunuh anak.
3.Tidak mengadakan dakwaan palsu di tengah-tengah masyarakat.
4.Tidak mengengkari Rasullullah di dalam perkara makruf.

Jelas bahawa bai’ah tersebut hanya menyentuh aspek pengamalan dengan ajaran Islam, tanpa melibatkan perjuangan atau peperangan. Namun dalam bai’ah berikutnya iaitu bai’atul ‘Aqabah kedua pada tahun ke 13 nubuwwah, kandungan bai’ah ialah;

1. Dengar dan patuh kepada arahan nabi s.a.w. sama ada diwaktu rajin atau malas.
2. Memberi nafkah (kepada perjuangan) sama ada di waktu senang atau susah.
3. Melaksanakan amar makruf dan nahi munkar.
4. Bangun menegakkan agama Allah tanpa menghirau celaan sesiapa pun.
5. Memberi pertolongan kepada Nabi s.a.w. apabila baginda sampai di Madinah dan mempertahannya sama seperti mempertahankan diri sendiri, isteri dan anak-pinak.
(Riwayat dari Jabir r.a.).

Nyatalah kepada kita bahawa tanggungjawab seorang muslim bukan hanya beramal dengan Islam, tetapi juga mempertahan dan mengangkat martabat Islam dengan segala pengorbanan yang ada. Jadi, bai’ahnya terhadap harakah juga semestinya merangkumi dua hal tersebut.

rujuk - http://koleksi-alqalam.blogspot.com/2008/07/wala-dan-baiah.html

Sunday 5 July 2009

Sajak Kesetiaan (Versi Youtube)


Assalamualaikum wrt wbt

Merayau-rayau dalam blog kawan-kawan, jumpa yotube ni. Sajak ana telah di youtube-kan. Alhamdulillah, ok juga...


Saturday 4 July 2009

Pedoman Ilahi Dalam Manhaj Tarbiyah Samawi


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تُطِيعُوا فَرِيقًا مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ يَرُدُّوكُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ كَافِرِينَ (100) وَكَيْفَ تَكْفُرُونَ وَأَنْتُمْ تُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ آيَاتُ اللَّهِ وَفِيكُمْ رَسُولُهُ ۗ وَمَنْ يَعْتَصِمْ بِاللَّهِ فَقَدْ هُدِيَ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ (101) يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ (102) وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ (103) وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (104) وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ ۚ وَأُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ (105)

100. Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.

101. Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran) dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad s.a.w)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya dia telah beroleh petunjuk hidayat ke jalan yang betul (lurus).

102. Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

103. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya.

104. Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

105. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah) dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar. [Aali Imran]

Beberapa Pengajaran Ringkas Ayat-Ayat Di Atas

1. Asbab An-Nuzul kepada ayat-ayat di atas adalah berikutan PERBALAHAN yang semakin membesar di kalangan umat Islam selaku anggota jamaah Nabi s.a.w. dari kalangan Aus dan Khazraj hasil dari perancangan jahat Yahudi-Nasrani yang cemburu melihat PERPADUAN ERAT di kalangan mereka hasil dari tarbiyah Nabi s.a.w.

HARI INI, perancangan jahat UMNO - Media Murahan – Perisik Upahan memecah belahkan kesatuan PAS melalui blog-blog, media cetak dan elektronik milik mereka

2. Antara modal yang digunakan sebagai umpan oleh Yahudi ialah memperbesarkan sedikit perbezaan kelompok, puak atau kecenderungan yang ada di kalangan mereka. Seperti di zaman sebelum datang Islam dahulu, mana yang lebih hebat antara moyang Aus atau moyang Khazraj.

HARI INI, mereka cuba pecahkan Jamaah PAS dengan wujudkan kelompok Profesional-Ulamak, Erdogan-Erbakan, Pro Muqabalah-Anti Muqabalah, Pro UG - anti UG dan sebagainya.

3. Yang menyedihkan ialah apabila anggota jamaah Nabi s.a.w. itu turut menari mengikut rentak musuh tersebut (rujuk ayat 100).Sikap mereka seolah-olah mereka tidak pernah disampaikan Al-Quran dan tidak ada Rasul yang mentarbiyah merekA (rujuk ayat 101)

HARI INI, turut menyedihkan ialah apabila anggota jamaah PAS itu turut menari mengikut rentak musuh yang ingin memecahbelahkan mereka. Sikap mereka seolah-olah mereka tidak pernah ditarbiyah dengan tarbiyah PAS dan tidak ada Murabbi atau Naqib yang membimbing mereka.

4. Punca permasalahan timbul apabila mereka cenderung untuk berpecah dan suka memanjangkan perbalahan sedangkan perpecahan dan perbalahan adalah saudara kepada kekufuran. Dalam ayat-ayat tersebut Allah s.w.t. mengumpamakan perpecahan yang berlaku seperti kembali kepada kekufuran (jahiliyyah).

HARI INI, permasalahan seperti sukar ditamatkan kerana masih ada individu tertentu yang masih menyentuh isu yang telah ditutup dan masih memperbesarkan perkara yang telah bersetuju didiamkan. Sehingga Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim terpaksa memberi amaran tindakan tatatertib akan dikenakan jika ada lagi yang menyentuh itu tersebut.

5. Dalam ayat 101, 102 dan 103 berulang kali Allah s.w.t. memerintahkan kita agar bersungguh-sungguh kembali kepada identity dan ketulenan Islam yang bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah dan jangan berpecah belah. Jangan terikut-ikut dengan tabiat musuh yang suka berbalah dan berpecah belah.

HARI INI, kita juga perlu kembali kepada identity dan ketulenan kita sebagai sebuah Jamaah dan Parti Islam. Kita berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Jangan terperangkap dengan identity yang lain. Kita bukan Sosialis walaupun ada di antara ajaran sosialis yang kena dengan Islam. Kita bukan Demokrat walaupun demokrasi itu ada nilai yang dekat dengan Islam dan begitulah selainnya. Apabila kita mengakui bahawa kebebasan bersuara itu adalah bersesuaian dengan Islam, tidak bermakna kita boleh bebas bercakap apa sahaja. Kebebasan tidak mutlak dalam Islam. Bila kita menyokong hak asasi manusia kerana sama dengan prinsip tiada paksaan dalam agama, tidak membawa maksud kita setuju untuk orang murtad. Bila kita bersetuju boleh mengkritik dan menegur pemimpin bukan bermaksud kita boleh membelakangkan akhlak menegur dan mengkritik yang diajar di dalam Islam.

6. Ayat 104 adalah ayat beramal, berdakwah, beramar makruf nahi mungkar, berjuang dan berpolitik. Ayat ini sering dibaca oleh kita bagi menegaskan soal kewajipan bekerja secara berjamaah (ummat) dalam menegakkan Islam. Tetapi kita sering lupa kepada ayat-ayat sebelumnya yang menjadi prinsip asas dalam menggerakkan usaha perjuangan tersebut. Seiring perjuangan dakwah dan siasah yang dituntut secara berjamaah, jangan mengabaikan proses tarbiyah bagi memastikan anggota benar-benar berpegang teguh dengan Islam dan bersungguh-sungguh memelihara Ukhuwwah.

HARI INI, dalam keghairahan kita berjihad, berdakwah dan berpolitik, mengapa kita meremehkan soal ketulenan identity dan ukhuwwah. Mengapa masih ada di kalangan kita yang mengatakan bahawa.. betullah ayat tu ayat Al-Quran, tapi… Dalam keghairahan kita menjaga hati penyokong kita dalam politik, tergamak kita menyindir, memperlekeh dan melukakan hati sahabat sesama jamaah dengan kita. Bukankah menyakiti dan melukakan hati mereka sama seperti menyakiti dan melukakan hati kita sendiri? Bukankah itu tuntutan ukhuwwah? Ataukah kita hanya beranggapan pemimpin kita hanyalah sebagai pemimpin politik semata-mata? Di mana nilai ukhuwwah persaudaraan???

7. Penekanan kepada berpegang teguh dengan ketulenan sumber memerlukan kita menghormati mereka yang ahli dan pakar dalam perkara tersebut. Ada orang yang menyangka mereka betul apabila mengkritik dan menyindir pemimpin secara terbuka di depan ramai atau dalam kenyataan media atau di dalam blog masing-masing. Menyebut dan menyentuh secara terang-terangan nama pemimpin yang mereka kritik dengan hujjah, ada sahabat yang mengkritik Saidina Umar dengan pedang – wahai Umar, jika engkau menyeleweng, pedang inilah yang akan meluruskanmu.

Hujjah tersebut diambil pengajarannya secara salah. Pengajarannya bukan bermaksud boleh mengkritik secara terang-terangan kepada pemimpin. Tetapi pengajarannya yang sebenar ialah keterbukaan jiwa seorang pemimpin yang menangani sikap ahli yang pelbagai tahapnya. Kalau semata-mata kerana Umar tidak marah, sikap lelaki tersebut boleh dianggap betul, maka lelaki badwi yang kencing dalam masjid di zaman Nabi pun boleh dianggap betul dan contoh kerana Nabi s.a.w. tidak membenarkan sahabat memukulnya lantaran ia kencing di dalam masjid.Kaedah mengkritik dan menegur pemimpin yang diajar oleh Nabi s.a.w. di dalam hadis-hadis bab menasihati Imarah atau pemimpin ialah – memegang tangannya dan membawa pemimpin tersebut bersendirian dan menegurnya. Dengan syarat pemimpin tersebut tidak melakukan KUFRAN BAWWAH – kekufuran yang terang-terangan.

Akal yang logik pun boleh menerima akhlak menegur seumpama ini. Bayangkan dalam konteks jamaah yang kecil iaitu institusi keluarga. Elokkah seorang isteri sebagai anggota keluarga yang dipimpin oleh seorang suami mengkritik dan menyindir suaminya di depan anak-anak atau di depan orang ramai? Bukankah dalam pendidikan anak-anak, demi menjaga kehormatan dan kewibawaan seorang suami dan ayah, maka si isteri sebaiknya menegurnya ketika mereka berdua-duaan? Demikian juga bukankah sangat beradab apabila ayah selaku Ulul Amri dalam konteks keluarga yang melakukan kesilapan ditegur oleh anak secara berdepan dan senyap-senyap. Elokkah seorang anak menegur dan mengklritik ayahnya di depan orang ramai apatah lagi menegur ayahnya di dalam media atau blog terbuka???

8. Pengajaran yang terakhir. Jika penyelesaian yang diarahkan oleh Allah s.w.t. dalam menghadapi kemelut perbalahan di kalangan sesama anggota jamaah Nabi s.a.w. ialah dengan suruhan berpegang teguh kepada ketulenan sumber dan memperkasakan ikatan ukhuwwah, maka demikianlah juga jalan yang mesti ditempoh oleh kita pada HARI INI. Mekanisme yang perlu diperkasa di setiap peringkat parti ialah TARBIYAH. Semua pimpinan dalam parti samada di peringkat pusat, negeri, kawasan dan cawangan mesti diwajibkan mengikut silibus dan manhaj tarbiyah kita. Semua ahli PAS (yang katanya hampir mencecah sejuta) mesti diusahakan agar semua mereka tidak terkecuali melalui proses tarbiyah mengikut silibus dan manhaj PAS walau pun setinggi mana kedudukan mereka. Ahli-ahli PAS dari kalangan bekas JIM, ABIM, Arqam, Tabligh, UMNO, Sosialis dan apa pun aliran silamnya mestilah mengikuti tarbiyah PAS dan menyerap bersama PAS sebagai sebuah Jamaah Islam bukan sekadar sebagai Parti Politik.