Tuesday 15 September 2009

Membina Hubungan Keinsanan Secara Tabie dan Zaati


Alhamdulillah, Dewan Pemuda Pas Negeri Pahang (DPPNP) baru sahaja mengadakan program Berbuka Puasa dan Ramah Mesra bersama Exco Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) bertempat di Pusat Tarbiyah (PUTRA) Balok, dalam kawasan Indera Mahkota pada 13hb September 2009. Program yang bermula seawal 3.30 petang itu didahului dengan mesyuarat DPPNP, edaran bubur lambuk di pelbagai lokasi bazar Ramadhan, penyerahan bantuan fakir miskin, dialog bersama DPPP selepas maghrib, solat terawih berjamaah di dataran PUTRA dan ditutup dengan Ceramah Umum oleh Ustaz Suhaimi (KP DPPNP), Sdr Sani (DPPP), Ustaz Nasaruddin Tantawi dan Ustaz Azman Syafawi. Kehadiran melibatkan Exco DPPNP, AJK DPP Kawasan-kawasan, ahli-ahli PAS serta masyarakat awam



Di kesempatan ini, saya ingin menarik perhatian kita kepada ucapan ringkas Ketua Pemuda Pas Pusat, Ustaz Nasaruddin Tantawi yang agak keuzuran peti suaranya ketika sesi dialog pemuda bersama exco DPPP selepas solat maghrib.



Dalam sesi ucapan tersebut, beliau memberi penekanan dan pengarahan kepada seluruh jentera pemuda PAS di semua peringkat kepada dua titik penting. PERTAMA, dalam rangka menunaikan tuntutan realiti masakini serta membentuk paradigma baru sebagai “KERAJAAN MENANTI”, usaha meneruskan legasi warisan kepimpinan Sdr YB Salehuddin Ayub yang sangat baik berhubung meluaskan "engagement" dengan semua pihak sama ada badan-badan politik, NGO dan seluruh golongan masyarakat akan terus diperkasa dan diperluaskan dengan lebih hebat. KEDUA, walaubagaimana pun, dalam kesungguhan kita meluaskan usaha menghimpun sokongan dan gerak kerja politik, aktiviti AMAL TARBAWI seperti Usrah, Tamrin, Mukhayyam, Ijtimak Tarbawi, Qiamullai dan seumpamanya hendaklah terus diperkasa dan diberi penekanan dengan lebih serius serta berfokus. Sekiranya boleh beliau meminta aktiviti amal tarbawi ini dijadikan satu agenda khusus di dalam mesyuarat pemuda di semua pihak.



Ucapan yang ringkas itu sangat menarik perhatian saya. Yang pertama adalah penekan beliau (semestinya juga DPPP yang dipimpin oleh beliau) terhadap persoalan TARBIYAH. Di Negeri Pahang, isu TARBIYAH ini adalah topik yang maha penting dan sangat diberi perhatian oleh pelbagai peringkat organisasi parti dewasa ini khususnya Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan Pas Pahang, Lajnah Tarbiyah Dewan Ulama Pas Pahang, Lajnah Tarbiyah Dewan Muslimat Pahang dan tidak ketinggalan, Akademi Tarbiyah dan Kepimpinan Pemuda (ATKP) DPPNP yang diberi amanah atas pundak saya sekali lagi untuk sesi ini. Topik ini telah banyak kita perbahaskan dan akan terus kita bangkitkan sehinggalah aktiviti AMAL TARBAWI itu membudaya di kalangan ahli PAS, lantaran PAS adalah sebuah jamaah dan gerakan Islam.



Namun, yang ingin saya bincangkan bersama pada kali ini ialah berkaitan topic pertama iaitu usaha “engagement” atau membina hubungan yang meluas dengan pelbagai peringkat serta golongan masyarakat. Pada pandangan saya (yang pastinya serba kekurangan ini), usaha MEMBINA HUBUNGAN dengan sesiapa pun haruslah bersifat TABI’E dan ZAATI. Yang saya maksudkan dengan Tabie dan Zaati ialah, hubungan itu berlangsung dalam keadaan yang sebenar, bukan dibuat-buat, seperti “lakonan”, juga tidak dilihat berkepentingan dan berbentuk program atau aktiviti semata-mata. Tetapi, ia mestilah sesuatu yang menjadi tabiat dan sifat yang melekat dengan zat setiap anggota atau jentera pemuda pAS itu sendiri. Inilah yang saya maksudkan dengan hubungan secara Tabie dan Zaati.



Membina hubungan yang sebenar, haruslah datang dari HATI. Sesuatu yang datang dari hati, tempat jatuhnya juga pada hati. Tabiat suka dan sangat berminat untuk membina hubungan yang positif dengan sesiapa sahaja memerlukan perubahan sikap. Perubahan sikap pula memerlukan pengorbanan dari setiap kita. Firman Allah s.w.t. :

إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ ۗ

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” [Ar-Ra’du:11]



Ia melibatkan kemahiran peribadi kita dalam berkomunikasi dan berinteraksi. Kemahiran, sebahagiannya diperolehi dengan latihan dan sebahagiannya melalui pengalaman. Dalam konteks masyarakat setempat (tempat kita menetap), kita mesti dirasakan hadir dan bersama dengan masyarakat. Tidak wajar kita ditanggap seumpama orang luar yang datang menghulurkan bakti kepada mereka secara bermusim seperti ada kepentingan tertentu. Lihatlah bagaimana Allah s.w.t. menyifatkan Rasulullah s.a.w. di dalam Al-Quran, surah At-Taubah ayat 128

لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”



( رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ)



Inilah contoh Daie yang diutuskan oleh Allah s.w.t. untuk menjadi ikutan kita. Dia lahir dari denyut nadi rakyat dan di tengah-tengah masyarakat itu sendiri bukan datang dari mana-mana istana kayangan, bukan dari empuknya singgahsana mana-mana kaisar dan buka juga dari dunia elit mana-mana bangsawan. Ia sangat merakyat dan hidup bermasyarakat. Ia membina hubungan dari HATI yang sangat tulus, merasai keperitan mereka, menginginkan kebaikan mereka dan sangat belas simpati serta sayangkan mereka. Baginda s.a.w. adalah DUTA PENYELAMAT dan KASIH SAYANG (Rahmatan lil-alamin).



Saya sangat percaya kepada kepentingan menjalinkan hubungan yang bersifat tabie dan zaati ini. Ia adalah sifat yang melekat dengan tabiat dan zat lalu menghasilkan sikap yang sangat disenangi. Mekanisme-nya sangat banyak ; mudah menghadiahkan senyum, ringan mulut menyapa, ramah mesra, ringan tulang, merendahkan diri, prihatin dengan majlis dan aktiviti kemasyarakatan seperti kenduri-kendara, majlis zikir dan ilmu di masjid atau surau, solat berjamaah, pengurusan jenazah, melibatkan diri dengan komiti masyarakat seperti KRT, JKKK, JK masjid, Rela, NGO’s, PIBG, badan Khairat, badan Kebajikan dan sebagainya adalah sebahagian dari contoh aktiviti kemasyarakatan yang boleh dijadikan rutin kepada penggerak Pas di mana-mana kawasan.



Biarlah masyarakat dan rakyat benar-benar merasai keikhlasan, keberadaan dan kewujudan kita di celah-celah mereka bukan mengenali kita sebagai orang politik yang datang membantu mereka di musim-musim pilihanraya bagi menarik undi semata-mata dan kemudiannya berlalu meninggalkan mereka seperti angin lalu. Lisanul hal afsahu min lisanil maqal – tingkah laku dan sikap yang menyenangkan lebih cepat menghasilkan hubungan baik berbanding pidato dan ceramah.



( قلب سليم )


Marilah kita selaku angkatan saff pemuda Pas, dengan ini bersama-sama berusaha meneladani keperibadian Rasulullah s.a.w. dalam membina hubungan. Kita bukan hanya inginkan undi mereka semata-mata. Kita juga inginkan hati mereka. Kepingan hati yang sejahtera.