Thursday 23 December 2010

Kertas Kerja Tarbiyah (4) Majlis Nuqaba' Pemuda Kebangsaan

KERTAS KERJA DASAR

PAS SEBAGAI HARAKAH ISLAMIYAH:

PERANAN DAN TUNTUTAN

Sebelum membaca artikel ini, saudara perlu tahu;

1. Kertas kerja ini adalah untuk memperkenalkan maksud gerakan Islam dan peranannya secara umum . Untuk tujuan pembentangan, hendaklah ditumpukan kepada butiran yang dihitamkan sahaja. Para ahli usrah dikehendaki membaca dan memahami sepenuhnya sebagai kerja rumah.

2 – Saudara akan melihat peranan gerakan Islam yang lebih luas yang melangkaui maksud dan peranan sebuah pertubuhan politik atau pertubuhan – pertubuhan lain yang menggambarkan kesempurnaan dakwah Islam.

3 – Saudara perlu tahu kedudukan PAS sebagai gerakan politik dan dakwah.

4 – Saudara perlu memahami dengan jelas peranan setiap ahli gerakan Islam demi menjayakan misi agung Islami di dalam memimpin umat manusia sejagat.


Pengenalan

PAS hari ini sedang bergerak laju. Kelajuannya seiring dengan perubahan politik negara yang dilihat sedang mengalami proses transformasi yang akan, setidak - tidaknya mengeluarkannya daripada politik lama yang bersifat diktator dan kuno kepada politik baru yang lebih bebas, telus dan adil, jika tidak pun sampai mampu mengubah kerajaan dan pemerintahan sedia ada yang semakin lemah dan gagal.

Selain kesan positif yang diharapkan untuk PAS di dalam memperolehi sokongan rakyat yang lebih besar, seterusnya diterima rakyat untuk memperkenalkan dan melaksanakan Islam sebagai cara hidup yang satu dan ideal untuk negara ini, sedikit kesilapan hasil kegelojohan dan ketidak telitian mungkin juga akan mengheret PAS ke dalam kancah konflik politik dan pertikaian yang akan merugikan dan melambatkan perjalanan PAS menuju matlamatnya.

Justeru adalah baik jika pengemaskinian kefahaman ahli PAS terhadap matlamat, peranan PAS selain tuntutan semasanya diberi keutamaan dan diperdalamkan.

Kertas ini akan mengupas peranan PAS sebagai sebuah harakah Islamiyyah atau gerakan Islam dengan memperincikan keutamaan yang harus dilaksanakan demi mengekalkannya terus relevan sebagai harapan umat yang akan menjadi kenyataan.

Maksud Harakah Islamiyah

Harakah Islamiyah difahami sebagai sebuah gerak kerja ( amal ) massa ( sya’biy ) secara berkumpulan ( jamaie ) yang tersusun ( munazzam ) dengan matlamat kembali kepada Islam untuk memimpin masyarakat dan mengarah seluruh aspek kehidupan.

Ia mestilah sebuah gerak kerja yang berterusan, bukan sekadar ceramah dan kata – kata atau tulisan dan buku walaupun ianya juga penting, tetapi ia hanya satu juzuk daripada gerak kerja yang dimaksudkan.

Maksud firman Allah; “Dan katakanlah, beramallah kamu semua, pasti Allah, rasulNya dan orang – orang beriman akan melihat amalan kamu.” – al Taubah:105

Ia juga mestilah sebuah gerakan rakyat yang tertegak di atas kesedaran dan kerelaan sendiri daripada keimanan teguh kepada Allah dan mengharapkan ganjaran daripadaNya, bukan daripada manusia.

Kesedaran diri itu adalah berpunca daripada wujudnya pergolakan di dalam diri mereka akibat pertembungan dan percanggahan di antara iman mereka yang mendalam terhadap kebenaran dan kekuatan agama Islam dengan realiti kehidupan umat yang menunjukkan sebaliknya.

Maka berlakulah satu kebangkitan dan revolusi di dalam diri yang bertitik tolak dari rasa kasih terhadap agamanya, rasa cuainya diri dan umat disekelilingnya di dalam melaksanakan kewajiban terhadap ugama di dalam berhukum dengan syariat Allah, menyatukan umat di atas kalimah tauhid, membebaskan tanah air Islam daripada segala bentuk penjajahan luar di samping mengembalikan kerajaan khilafah Islamiah untuk memimpin umat seluruhnya.

Justeru gerakan Islam mestilah bersifat rakyat, sukarela dan tersusun gerak kerjanya.

Adapun gerak kerja atau program rasmi Islam oleh pihak kerajaan ataupun agensinya, walaupun ia mungkin turut menyumbang ke arah kebaikan agama dan umat, tetapi ia tidak boleh dianggap sebagai sebuah gerakan Islam. Ini kerana ia bergerak di atas upah dan gaji, dilaksankan oleh pegawai yang mungkin tidak ikhlas, tidak ahli dan tidak amanah, selain terikat dengan kehendak dan telunjuk politik pemerintah. Ia juga sering bertentangan dengan kehendak dan aspirasi umat sehingga mereka telah dicap sebagai ulama kerajaan ( ulama’ al sulthah ). Semua ini menjadikan projek Islam kerajaan tidak akan mampu menjadi amal sebuah gerakan Islam.

Justeru perlu difahami bahawa jika gerakan Islam telah menguasai sesebuah kerajaan, maka segala program kerajaan hendaklah menjadi jentera yang akan melancarkan segala gerak kerja Islam yang telah disusun rapi oleh gerakan Islam tersebut demi mencapai matlamatnya yang murni dan agung.

Dalam bahasa hari ini disebut sebagai ‘parti menguasai kerajaan’.

Harakah Islamiyah juga mestilah sebuah gerakan yang berkumpulan dan bertanzim. Ia tidak menerima gerak kerja ramai yang ikhlas tetapi berselerak walaupun amalannya tetap diterima Allah.

Maksud firman Allah; “Dan tidaklah Allah akan mensia –siakan iman kamu ( amalan kamu ). Sesungguhnya Allah amat pengasih lagi penyayang terhadap manusia.” – al Baqarah: 143

Lihat juga al zalzalah: 7,8 dan Aali Imran: 195

Kemestian ini disebabkan oleh dua faktor utama iaitu agama dan realiti. Adapun ugama, maka ia disebabkan Islam menyeru kepada jamaah dan menolak bersendirian dan terpencil.

‘Tangan Allah di atas jamaah’. ‘Barang siapa memencil diri, dia akan terpencil di neraka’. ‘Orang mukmin saling kuat menguat’. Islam menyeru ‘berkerja sama melakukan kebajikan dan taqwa’ dan menyuruh untuk ‘saling mewasiat dengan kebenaran dan keabaran’.

Adapun realiti, maka ia disebabkan oleh hakikat bahawa sesuatu hasil itu tidak akan sempurna kecuali jika dilakukan secara bersama. kerja yang besar idak akan sempurna kecuali melalui usaha yang saling bergandingan. Sebelah tangan tidak boleh bertepuk.

Maksud firman Allah; “Sesungguhnya Allah menyukai orang – orang yang berperang di jalanNya dalam satu saf yang tersusun seolah – olah mereka bagai sebuah bangunan yang kukuh.” – al Shaff:4

Gerakan yang bertanzim bermaksud hendaklah ianya diterajui kepimpinan yang bertanggung jawab, dibina di atas asas yang kukuh dan kefahaman yang jelas, menggariskan hubungan di antara kepimpinan dan akar umbi yang diikat dengan syura yang wajib dan mesti didengari selain ketaatan yang jelas dan mesti.

Islam dalam apa bentuk pun tidak mengenal jamaah tanpa tanzim hatta dalam perkara yang kecil seperti halnya dalam solat berjamaah yang bermula dengan saf yang rapi dan berterusan dengan ketaatan penuh kepada imam yang benar sehinggalah rukun salam.

Bagaimana PAS Sebagai Sebuah Parti Politik?

Satu persoalan yang sering ditimbulkan mengenai PAS adalah kedudukannya sebagai sebuah parti politik dilihat lebih menyerlah berbanding sebagai sebuah gerakan Islam.

Sebenarnya ianya tidak bertentangan, bahkan kita perlu melihatnya sebagai satu kelebihan jika dilaksanakan tuntutannya dengan tepat dan berkesan. Perhatikan sebabnya;

Pertama, PAS lahir daripada krisis politik semasa di Malaysia di saat negara sedang berjuang untuk kemerdekaan. Kelahirannya di atas pentas politik adalah cukup tepat untuk mengimbangi penguasaan golongan sekular di dalam UMNO dan BN yang berusaha memenangi dan merosakkan akidah rakyat dengan ideologi kebangsaannya.

Kedua, PAS adalah kelangsungan gerakan dakwah dan gerakan anti penjajahan yang dipelopori oleh para ulama sebelumnya. Para ulama yang berjuang menentang penjajah sebenarnya telah merujuk kepada gerakan tajdid Islam yang berpusat di Negara Arab dan Turki. Justeru peranan awalnya sebagai gerakan haraki adalah jelas.

Ketiga, dalam gerakan Islam, tarbiyah dan fikrah ibarat enjin yang mengerakkan jentera daripada dalam sedangkan tayar dan steringnya adalah politik. Justeru keaktifan PAS di dalam politik hendaklah dilihat sebagai kekuasaannya menguasai masyarakat dan tidak menjadi sebab kepada terpinggirnya lapangan lain terutama tarbiyah dan fikrah.

Keempat, dengan berdaftar sebagai sebuah parti politik, PAS mampu bergerak dalam medan yang lebih luas berbanding sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan non partisan.

Kelima, Gerakan Islam seluruh dunia hari ini telah mula memajukan diri di dalam politik hatta gerakan al Ikhwanul Muslimun di Negara - negara Arab. Maka PAS telah dilihat lebih terkedepan mengharungi dan mendepani politik tanah air.

Keenam, Jika PAS hanya gerakan politik yang bersifat ‘mesra sekular’, sudah pasti PAS telah berkubur di Malaysia bersama berkuburnya parti – parti politik pembangkang yang lain dek tekanan dan kezaliman pemerintah. Tetapi sebaliknya, PAS kekal. Ini adalah kerana kekebalannya yang merujuk kepada kekebalan sebuah gerakan Islam yang dibajai ruh Islami daripada al Quran dan al hadis.

Peranan Harakah Islamiyah

Sebuah harakah Islamiyah seperti PAS mestilah memainkan peranan yang utama di dalam gerakan tajdid Islami dan mengembalikan semula hak Islam untuk memimpin kehidupan seluruhnya selepas berjaya menghilangkan segala halangan yang menghalang.

Maksud tajdid;

Tajdid al din adalah satu istilah nabawy daripada hadis al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam sendiri: “Sesungguhnya Allah pasti akan mengutuskan untuk umat ini, di hujung setiap seratus tahun, orang yang ( man ) akan memperbaharui ( tajdid ) untuk mereka akan agama mereka.” – Riwayat Abi Daud dan al Hakim daripada Abi Hurairah dengan isnad yang sahih.

Walaupun kebanyakan ulama melihat bahawa kalimah man’ itu merujuk kepada individu, tetapi beberapa ulama terkemuka seperti Ibn al Athir dan al Hafiz al Zahabi pula melihat ianya bukanlah satu kemestian, bahkan ianya mungkin bermaksud satu kumpulan ulama yang bersama – sama membawa tajdid agama.

Dan, alangkah benarnya jika kumpulan ulama yang melakukan tajdid ini membentuk satu madrasah atau gerakan pemikiran dan amal yang tersusun dan saling bahu - membahu. Inilah syarah terhadap al hadis di atas yang paling baik dan realiti ( waqiey ) untuk kebangkitan umat Islam hari ini mengikut pandangan al Syeikh Yusuf al Qaradhawi.

Apakah yang perlu ditajdidkan?

Tajdid yang perlu dilaksanakan oleh gerakan Islam hendaklah tertumpu kepada tiga perkara utama;

Pertama, membentuk sebuah pasukan Islam yang mampu memimpin masyarakat hari ini dengan Islam yang benar dan menyeluruh dan merawati penyakit mereka dengan penawar bersumberkan Islam itu sendiri. Pasukan Islam ini hendaklah memiliki tiga sifat utama; iman yang mendalam, kefahaman yang jelas dan ikatan yang kukuh.

Kedua, membentuk pandangan umum rakyat majoriti yang menyokong pasukan Islam tersebut dan memberikan bantuan dan kasih sayang mereka kepadanya selepas mengenali matlamat perjuangan dan melihat keikhlasan dan kekuatan mereka.

Ketiga, membentuk satu iklim sejagat yang mula menerima kewujudan dan hak umat Islam selepas mereka ( non muslim ) memahami hakikat risalah dan peradaban Islam dan bebas daripada ikatan - ikatan lampau yang begitu pesimis, gelap dan tidak adil terhadap Islam disebabkan sejarah pertembungan yang berterusan di antara Islam dan kekufuran.

Pandangan umum sejagat yang positif inilah yang akan membuka dada mereka untuk menerima kehadiran dan hak umat Islam untuk menyusun kehidupan mereka berlandaskan hukum agama mereka sendiri di dalam negara umat Islam yang majoriti sebagaimana ianya bertepatan dengan seruan demokrasi yang dilaungkan oleh dunia mereka sendiri.

Keutamaan – Keutamaan Semasa Harakah Islamiyah

Medan kerja untuk gerakan Islam seperti PAS hari ini menjadi semakin luas dan adalah menjadi kewajiban ke atas pimpinan gerakan untuk mengkaji dan mendalaminya dengan penuh teliti berpandukan fakta dan statistik yang benar agar.

Di antara medan amal yang utama adalah seperti medan tarbiyah yang bertujuan membina pasukan dakwah yang cemerlng yang memiliki fikrah yang jelas, akidah yang teguh, akhlak yang baik, ibadah yang ikhlas serta manhaj perjuangan yang moden untuk menggerak dan menyatukan umat di atas tali Islam yang syumul.

Begitu juga dengan medan politik yang bertujuan membebaskan kuasa dan pemerintahan daripada tangan golongan yang lemah dan khianat kepada tangan mereka yang gagah dan amanah serta bersih daripada sifat takabbur yang mampu memimpin umat Islam dan kemanusiaan menuju kecemerlangan.

Begitu juga dengan medan ekonomi demi membangun kekayaan umat dan membebaskan diri daripada mengikut telunjuk musuh serta menanggung hutang ribawi seterusnya menubuhkan syarikat – syarikat perniagaan dan yayasan – yayasan yang akan memajukan ekonomi umat.

Selain itu adalah medan ijtima’ie dan kemasyarakatan yang bertujuan menyelami masalah umat dan membantu mereka keluar daripada kejahilan, kemiskinan dan penyakit serta menyelamatkan mereka daripada serangan golongan musuh yang menjadikan kemiskinan umat sebagai peluang menukar keyakinan dan akidah mereka.

Medan – medan amal seterusnya adalah medan dakwah dan penerangan, medan jihad, medan pemikiran dan ilmu, medan hiburan dan seni serta medan sukan dan riadhah yang semakin besar dan luas kesan dan pengaruhnya ke atas kehidupan umat Islam hari ini.

Dengan perluasan lapangan kerja yang semakin membesar dan kompleks, adalah menjadi tanggung jawab untuk kepimpinan gerakan Islam memastikan setiap medan itu dipenuhi dengan pengagihan tenaga kerja yang cukup dan seimbang bergantung keperluan di medan selain kemampuan gerakan.

Pengabaian terhadap mana – mana lapangan amal tersebut akan memberikan kesan yang kurang selain membuka ruang untuk musuh melebarkan jaringan maker mereka.

Empat Yang Utama

Doktor Yusuf al Qaradhawi berpendapat bahawa pemusatan dan kesegeraan hendak digerakkan kepada empat lapangan amal yang paling penting untuk diterokai dengan jayanya iaitu;

Pertama, di alam lapangan pemikiran hendaklah diberi tumpuan yang mendalam dan pencerahan yang baru ke atas beberapa kefahaman Islam yang penting. Ini dinamakan al fiqh al jadid. Di antara kefahaman yang mesti diketengahkan ialah fiqh al awlawiyah, fiqh al muazanah dan fiqh al maqasid.

Kedua, di dalam lapangan dakwah hendaklah ditumpukan kepada beberapa sektor dan kelompok masyarakat yang tertentu yang berpengaruh. Rakyat marhaen mestilah diselami kehidupan mereka. Kelompok perniagaan, bidang – bidang kewanitaan dan golongan akademik sebagai contoh adalah medan yang perlu dimedani dan dikuasai.

Ketiga, di dalam lapangan tarbiyah hendaklah ditumpukan kepada pembinaan kualiti yang tertentu ke atas kelompok kepimpinan masa depan terutama di dalam sudut fikrah dan iman. Inilah medan paling utama. Inilah kumpulan hari ini yang mengambil peranan kumpulan sahabat di zaman RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam.

Keempat, di dalam lapangan politik hendaklah ditumpukan kepada pemajuan pemikiran dan praktikalnya di dalam politik hubungan dalam dan luar negari termasuk dengan non muslim agar dapat keluar daripada masalah dalaman dan sekatan oleh pihak luar selain merealitikan maksud kealamiahan Islam. Kefahaman politik yang terlalu dibayangi ujian dan serangan musuh yang mewujudkan politik perang, politik ekslusif dan politik taqlid hendaklah diperbaharui kefahamannya agar gerakan Islam terus maju atau setidak – tidaknya tidak terus ketinggalan di dalam memahami seterusnya memimpin umat.

Penutup

PAS adalah sayap dan jentera sebuah gerakan Islam sedunia yang lahir daripada sunnah perjuangan dan tuntutan agama. Ia lahir daripada keruntuhan yang menuntut binaan baru ke atas khilafah Islamiyah. Justeru PAS mestilah memiliki segala ciri – ciri gerakan hizbuLLah demi mendapat janji kemenangan daripada Allah.

Gerakan Islam hendaklah sentiasa membuka pintu kepada lambaian tajdid Islami terutama di zaman hari ini yang semakin cepat berkembang dan berubah. Apapun yang lebih penting adalah menjaga keaslian sebuah gerakan dakwah nabawiyah untuk umat manusia sejagat.

Selepas membaca artikel ini, saudara telah memahami;

1 – Gerakan Islam adalah sebuah gerakan ke arah Islam yang sempurna dan menyeluruh sebagaimana dendangan dan tuntutan al Quran dan al Hadis.

2 – Gerakan Islam saling bersatu di seluruh dunia demi mencapai matlamat Islam membina khilafah Islamiyah yang unggul.

3 – Kepentingan tajdid Islami di dalam menyempurnakan proses pembinaan harakah dan pencapaian matlamat.

4 – Memahami politik Islam dalam konteks PAS sebagai gerakan Islam.

5 – Memahami keutamaan kerja, pengagihan tugas dan penumpuan dan kepakaran demi kesan dan hasil yang sempurna dan menyeluruh.

Panel:

1 ) Ustaz Hj Nasrudin bin Hassan Tantawi

2 ) Ustaz Hj Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz

4 ) Ustaz Hj Riduan bin Mohd Nor

5 ) Ustaz Hj Nik Mahadi bin Nik Mahmood

6 ) Ustaz Hj Mohd Asri bin Mat Daud

7 ) Ustaz Hj Zulqarnain bin Hassan

8 ) Ustaz Hj Syed Abdul Kadir bin Syed Hussin al Joofre


Friday 29 October 2010

Fatwa 'Ikut Suka PAS': Umno keliru dan terus keliru


Oleh : TG Nik Abdul Aziz Nik Mat

Tergerak hati saya untuk memberikan ulasan berkenaan kenyataan Timbalan Presiden UMNO ketika berkempen di Galas, semalam. Seperti yang disiarkan di bawah ajuk TPM BIDAS ’FATWA’ IKUT SUKA PAS di muka 3, akhbar Utusan Malaysia, 28 Oktober 2010, Tan Sri Muhyiddin Yasin dilaporkan menyebut :

''Perangai mereka macam biasalah, apa yang mereka buat 'halal' yang kita 'haram', yang dia (buat) masuk syurga, yang kita masuk neraka. Dari segi konteks kerjasama dengan masyarakat apa bezanya antara DAP dan MCA,"

Nampaknya pilihanraya kecil N.45 Dun Galas sekali lagi menjadi medan UMNO untuk menghentam PAS khususnya berkenaan kerjasama PAS dengan DAP. Nampak sangat kemarahan UMNO apabila PAS menjalinkan hubungan kerjasama dengan DAP. Gerun benar UMNO apabila PAS yang dijadikan hantu untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina rupa-rupanya sudah boleh didekati dan tidak lagi digeruni.

Perbezaan kerjasama antara UMNO dan MCA serta MIC dalam Barisan Nasional dengan kerjasama PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat amat jelas sekali. Bagaikan langit dengan bumi. Hairannya, penjelasan demi penjelasan telah diberikan. Namun, apabila telinga disumbat dan mata ditutup, tidak ada gunanya segala penjelasan yang diberikan. Pada hemat saya, pemimpin UMNO sudah tenggelam dalam keghairahan untuk memburu kemenangan di Galas, hingga lupa tinggi rendahnya lantai tempat berpijak.

Beberapa hari lepas, orang yang sama telah mencadangkan supaya Sejarah menjadi mata pelajaran yang wajib lulus dalam SPM mulai tahun 2013, saya ingin menambah bahawa al-Quran sendiri tidak pernah meninggalkan aspek sejarah dalam penceritaannya. Bermula dengan sejarah penciptaan manusia seterusnya sejarah dakwah para nabi dan juga sejarah kehancuran umat-umat terdahulu, al-Quran mahukan kita belajar dari sejarah. Justeru, PAS sendiri tidak pernah lupa untuk berguru dengan sejarah.

Bukankah sejarah mencatit bagaimana PAS telah diajak masuk bergabung ke dalam Barisan Nasional oleh Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia pada tahun 1973? Dengan hati yang ikhlas, PAS pada masa itu menyambut huluran tangan perpaduan tanpa menyedari musibah yang akan dihadapi. Rupanya Barisan Nasional hanyalah merupakan perangkap bagi PAS. PAS bergabung dengan UMNO membentuk Barisan Nasional demi perpaduan, namun hasilnya PAS di Kelantan khususnya telah berpecah kepada empat :- PAS, Bebas Bersatu, Hamim dan Berjasa. PAS hampir-hampir ranap akibat perpecahan tersebut. Seterusnya peristiwa PAS ditendang daripada Barisan Nasional dan akhirnya kehilangan kerajaan di Kelantan pada tahun 1978. Apa hasilnya kerjasama PAS dengan UMNO? Tangan UMNO yang terkapai-kapai kelemasan dipegang erat oleh PAS, lalu PAS pula ditendang supaya lemas keseorangan.

Dengan DAP yang dikatakan chauvinis Cina, PAS tidak dikhianati. Jika Timbalan Perdana Menteri bertanya, apa bezanya kerjama dalam Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat? Jawapannya, kerjasama PAS dengan DAP dalam Pakatan Rakyat tidak pernah menjejaskan prinsip PAS sebagai sebuah gerakan Islam. PAS masih dengan agenda Islamnya bahkan kami di Kelantan setiap tahun meraikan Hari Hudud. Islam tidak pernah diketepikan di dalam perjuangan PAS. Bahkan DAP sendiri pernah keluar daripada Barisan Alternatif apabila tidak dapat menerima agenda Islam yang dibawa oleh PAS. Secara umumnya, pemimpin DAP tidak anti Islam dan hari ini beransur-ansur mengenali Islam. Sekurang-kurangnya Islam sudah tidak digeruni oleh non muslim sebagaimana yang UMNO mahukan. Pemimpin DAP sekurang-kurangnya ada yang sudah boleh memetik ayat-ayat al-Quran untuk rujukan, pemimpin UMNO pula semakin menjauhi al-Quran. Ingin saya bertanya, apa ruginya Islam apabila DAP mula berjinak-jinak dengan Islam?

Sayang sekali, UMNO masih berfikir dengan kerangka perjuangan Melayu yang sempit. Melayu pun tidak terbela, Islam pun tidak terjaga. Umpama lebai malang, ke hilir pun berlapar, ke hulu pun tidak kenyang. Kononnya, bila Melayu dan Islam ialah perkara yang sama. Jika demikian, kenapa UMNO membenarkan isteri Perdana Menteri sendiri menjadi penaung Islamic Fashion Festival? Pada saat umat Islam yang prihatin di seluruh Malaysia bangun menentang program maksiat yang dibuat atas nama Islam ini, di mana pula ’keris’ pemimpin UMNO? Tersimpan dalam sarungkah atau hanya menjadi hiasan di dinding? Manakala hari ini apabila pentadbiran kerajaan UMNO/Barisan Nasional bercadang untuk menjadikan Malaysia sebuah hub pusat hiburan malam kononnya bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP), di pagar mana pula disangkut agenda Melayu Islam ala UMNO?

Hakikatnya, UMNO yang memperalatkan Islam. Bila tersepit, Islam juga yang dicari. Bukankah salah seorang Naib Presiden UMNO sendiri sewaktu Perhimpunan Agung UMNO yang lepas mencadangkan supaya UMNO menjadikan masjid sebagai tempat untuk mendaftar pengundi baru? Hairan saya, tidakkan bagi UMNO politik tidak boleh dibawa ke masjid? Hari ini, bila tersepit UMNO sendiri mula menggadaikan prinsip? Bukankah saya dihentam begitu teruk kerana kononnya ingin berpolitik di atas masjid? Nampaknya, selepas bangunan UMNO di Kota Bharu sudah terjual, UMNO sendiri sudah ingin menjual prinsipnya pula..

Nasihat saya, kembalilah kepada Islam. Tinggalkanlah pemikiran sekular yang tidak akan sampai ke akhirat. Sangatlah jauh berbeza pemikiran seorang mukmin dan seorang pendukung sekular. Orang-orang Mukmin melihat jauh ke akhirat berbeza dengan orang-orang sekular melihat hanya setakat dunia sahaja. Umpama seorang anak yang berumur dua tiga tahun bila bersama ibunya ke pasar. Anak kecil itu hanya berfikir untuk membeli belon dan alat-alat permainan yang boleh menyeronokkan. Berbeza dengan pemikiran si ibu yang berfikir lebih jauh, pemikiran ibu berkisar kepentingan sekeluarga, apakah lauk pauk atau makanan yang perlu dibawa pulang untuk kesiapan rumah nanti. Itulah perumpamaan pemikiran sekular yang hanya terhenti setakat di dunia, ia tidak lebih umpama seorang anak kecil yang hanya berfikir untuk alatan permainannya semata-mata.

Wednesday 27 October 2010

Siapa Pengkhianat Melayu?


UMNO sebenarnya penghakis hak orang Melayu dalam tempoh 50 tahun lebih memerintah Malaysia, buktinya :

1. Melemahkan institusi raja-raja Melayu yang menjadi simbol ketuanan Melayu dengan meminda perlembagaan menghadkan kuasa Raja-Raja Melayu di era 90-an dahulu.

2. Melemahkan sistem kehakiman negara dengan wujud campur tangan dalam sistem kehakiman.

3. Menarik balik royalti rakyat petroleum rakyat Terengganu yang majoriti rakyatnya orang Melayu.

4. Memperkenalkan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI); menghapuskan bahasa Melayu dan tulisan jawi.

5. Menarik peruntukan geran kepada Sekolah Agama Rakyat, tempat belajar agama anak-anak Melayu.

6. Memperkenalkan meritrokrasi; mengurangkan peluang belajar anak-anak Melayu.

7. Memperkenalkan PTPTN dan mengurangkan biasiswa kepada anak-anak Melayu sedangkan di dalam perlembagaan jelas memperuntukkannya.

8. Persempadanan semula pilihan raya pada 2002; mengurangkan kawasan majoriti orang Melayu. Akhirnya bilangan parlimen majoriti tidak bertambah.

9. Menafikan hak royalti rakyat Kelantan yang majoriti Melayu.

10. Memperkenalkan Islam Hadhari yang mengelirukan orang Islam dan bukan Islam.

11. Menyenaraiawamkan syarikat TH Plantation yang dahulunya dimiliki 100% oleh Tabung Haji dan dimiliki oleh orang Melayu. Tetapi sekarang orang bukan Melayu boleh memiliki saham TH Plantation.

12. Menggabungkan syarikat-syarikat konglomerat orang Melayu iaitu; Sime Darby, Guthrie dan Golden Hope, dan sekaligus mengurangkan peluang orang Melayu daripada tiga syarikat kepada satu syarikat sahaja.

13. Memetik kenyataan Mufti Perak, Dato' Harussani Zakarian 250 ribu orang Melayu murtad. Semua ini adalah di bawah pemerintahan kerajaan Umno.

14. Mewujudkan Wilayah Iskandar yang menjadi zon bebas, maka orang-orang Singapura boleh masuk secara bebas ke sana. Tanah orang melayu semakin kecil saiznya.

15. Krisis Menteri Besar di Perlis dan Terengganu apabila Umno sendiri yang menentang keputusan Sultan di negeri berkenaan.

16. Membubarkan Kementerian Pembangunan Usahawan yang menjadi sumber bantuan usahawan-usahawan Melayu.

17. Memperkenalkan liberalisasi ekonomi, maka sekaligus menghapuskan Dasar Ekonomi Baru yang tujuannya membantu ekonomi orang-orang Melayu Bumiputra.

18. Mendedahkan pelaburan wang Tabung Haji satu ketika lalu dalam dengan syarikat Judi Pan Sweep, seperti yang didedahkan dalam buku Exco Kerajaan Kelantan, Dato' Paduka Husam Musa.

19. Enggan membayar royalti minyak kepada kerajaan Kelantan sejak tahun 2004.

20. Mengkhianati amanah rakyat dengan merampas kerajaan negeri Perak dari tangan Pakatan Rakyat dengan cara yang tidak bermoral pada Februari 2009.


Tuesday 26 October 2010

Kertas Kerja Tarbiyah (3) Majlis Nuqaba' Pemuda Kebangsaan


KERTAS KERJA DASAR

TAHAALUF SIASI

Sebelum membaca artikel ini, anda perlu tahu;

1 ) Kedudukan tahaaluf siasi di dalam Islam.

2 ) Bagaimana tahaaluf siasi berlaku di peringkat awal sejarah Islam.

3 ) Tahaaluf siasi adalah satu konsep siasah syar’ieyah yang bertujuan menjayakan matlamat dakwah

4 ) Kefahaman yang jelas mengenai tahaaluf siasi akan memudahkan kerja – kerja dakwah.

Muqaddimah

Dalam merencanakan amal Islami terkini dalam konteks politik, perlu untuk kita meneliti beberapa petunjuk daripada sunnah Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam yang telah meninggalkan kerangka kerja siasah (politik) yang terunggul. Antara beberapa khazanah beharga tersebut adalah konsep Tahaaluf Siasi ataupun kerjasama politik yang baginda lakukan sepanjang kerja kepimpinan dan dakwah Baginda SAW.

Tahaluf ialah perjanjian persefahaman bagi berkerja sama dan bantu - membantu untuk membina kerajaan dan pemerintahan berasaskan Islam serta digunakan untuk tujuan dakwah jangka panjang.

Contoh – contoh Tahaluf Di Zaman RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam

  1. Persefahaman yang berlaku di kalangan sesama umat Islam seperti yang dilakukan oleh Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam dengan Aus dan Khazraj yang membawa kepada penyatuan umat di bawah panji Islam dan tertegaknya negara Islam.
  2. Hal ini juga berlaku dengan kumpulan bukan Islam seperti persefahaman dengan Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib yang berlaku sebelum hijrah dan persefahaman dengan kabilah Khaza’ah selepas “Perjanjian Hudaibiyah”.
  3. Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam mengiktiraf hilf al-fudhul yang berlaku pada zaman jahiliyah apabila terbentuk satu persefahaman menentang kezaliman. Perkara ini terjadi setelah seorang lelaki dari kabilah Zubaid dizalimi oleh Aas bin Wa’il, lalu dia meminta pertolongan. Akan tetapi tidak ada yang sanggup untuk menolongnya, lalu beberapa orang daripada bangsawan Makkah yang bersimpati dengannya telah mengadakan persefahaman di rumah Abdullah bin Jad’an untuk menentang kezaliman tersebut.

Berhubung dengan peristiwa ini, terdapat sebuah hadis daripada Talhah bin ‘Abdullah bin ‘Auf, bahawa Rasulullah bersabda yang maksudnya:

“Sesungguhnya aku telah menyaksikan di rumah Abdullah bin Jad’an satu pakatan yang aku amat suka kepadanya seperti sayang kepada unta merah (barang yang sangat berharga), kalau aku diajak kepadanya di zaman silam nescaya aku akan menyahutnya.”

( Riwayat Ibnu Ishaq )

4. Sistem Himayah ( jaminan keselamatan ) adalah suatu konsep tolong menolong atas dasar perkauman dan kekeluargaan yang diamalkan di zaman jahiliyah yang turut digunakan oleh RasuluLlah sebelum penghijrahannya ke Madinah. Ia juga suatu konsep perlindungan oleh golongan kuat dan berada kepada golongan yang lemah. Adalah menjadi kebangaan bagi mereka sekiranya dapat melindungi yang lemah walaupun berlainan agama. Himayah adalah salah satu konsep tahaluf untuk kemaslahatan umat Islam jika memerlukan[1].

Oleh itu, tahaluf telah menjadi suatu perkara yang pernah berlaku dalam perjalanan Harakah Islamiyah menurut keperluan dan cabaran yang berlaku pada zaman masing-masing. Perlaksanaannya pada satu – satu zaman memerlukan satu kajian yang mendalam dan perlu dibincangkan dengan teliti agar langkah yang diambil tidak bercanggah dengan prinsip Islam yang mesti ditegaskan dalam semua keadaan.

Tahaluf Dan Konsep Tadrij Marhaliy ( berperingkat )

Usaha PAS berkerja sama dengan badan atau parti politik lain dalam hal perjuangan siasah adalah merupakan suatu matlamat dakwah jangka masa panjang. Menganggap PAS ingin mengambil kesempatan dan meninggalkan ‘rakan’ seperjuangan selepas mendapat kerusi , adalah tanggapan yang salah.

PAS adalah satu jamaah yang berdakwah kepada sesiapa sahaja , samada kawan mahupun lawan. Dalam menyebarkan dakwah PAS menuruti konsep pemeringkatan (graduality) yang ditinggalkan oleh Al Imam As Syahid Hassan al Banna.

Tahap Pertama[2] : Takrif ( pengenalan ) tentang matlamat dan wasilah jamaah serta idea perubahan Islam yang diseru oleh Ikhwan Muslimin.

Tahap Kedua : Takwin ( pembentukan ) dengan memilih unsur-unsur yang dapat membentuk kepuasan dengan berkerja serta mendidik unsur-unsur tersebut dengan didikan rohani, akal dan fizikal bagi mengembalikan kehidupan Islam dan negara Islam.

Tahap ketiga : Tanfiz ( perlaksanaan ) iaitu langkah berkerja atau praktikal bagi dakwah Ikhwan Muslimin.

Setiap tahap memerlukan masa, kesabaran dan ketabahan. Amukan nafsu dan sikap terburu-buru harus dielakkan kerana ia hanya membinasakan diri dan orang sekeliling.

Bagi golongan yang tergesa-gesa ini, Imam Hassan al-Banna berkata;

“Wahai Ikhwan Muslimin, terutamanya mereka yang bersemangat dan tergesa-gesa di kalangan kamu… Jalan kamu ini telah pun dilakarkan perancangan-perancangannya dan diletakkan batas-batasnya. Aku tidak akan menyalahi batas-batas tersebut yang telah memberi keyakinan kepadaku bahawa ia adalah jalan yang paling selamat untuk sampai ke destinasinya.

Benar, boleh jadi ia adalah jalan yang panjang namun di sana tiada lagi jalan selainnya. Kelakian hanya lahir dengan kesabaran, tabah, serius dan amalan yang berterusan. Barang siapa di kalangan kamu hendak mempercepatkan buah sebelum ia masak atau bunga sebelum ia mekar, maka aku tidak bersamanya dalam keadaan ini biar apapun keadaaannya. Adalah lebih baik baginya berundur diri dari dakwah ini dan menyertai dakwah-dakwah yang lain.

Barangsiapa yang bersabar bersamaku sehingga bercambahnya benih, tumbuhnya pokok, masaknya buah dan sampai ketikanya untuk dipetik maka pahalanya adalah urusan Allah. Kami dan ia tidak akan terlepas ganjaran orang-orang yang baik sama ada kemenangan dan ketuanan atau syahid dan kebahagiaan.

Wahai Ikhwan Muslimin: Pakaikan gelojakan emosi kamu dengan ladam pertimbangan akal, sinarilah akal kamu dengan nyalaan emosi, janganlah kamu cenderung berlebihan nescaya kamu akan menjadikannya tergantung tanpa bertali. Janganlah kamu menyalahi aturan alam kerana ia pasti akan menang ( mengalahkan kamu ) sebaliknya atasilah emosi kamu dan gunakannya serta ubah gelombangnya. Gunalah kedua-duanya ( emosi dan akal ), nantilah saat - saat kemenangan sesungguhnya ia tidak jauh dari kamu.

Pengalaman dahulu dan sekarang membuktikan bahawa tiada kebaikan melainkan jalan kamu, tiada hasil melainkan bersama perancangan kamu dan tiada kebenaran melainkan dalam apa yang kamu lakukan. Janganlah kamu leka dengan kesungguhan kamu dan janganlah kamu memperjudikan riak-riak kemenangan kamu.”

Hukum Tahaluf [3]

Tahaluf diizinkan oleh syariat berdasarkan kepada syarat-syaratnya. Untuk memahami syarat-syaratnya, hendaklah dikaji perbezaan di antara tahaluf yang dilangsungkan oleh Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam dan tahaaluf yang ditolaknya.

Syarat - Syarat Tahaluf

1. Membawa maslahah dan tidak mengikat sehingga menjejaskan prinsip

Dalil-dalilnya ialah:

a) Hubungan Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam dengan keluarganya dari kalangan Bani Hasyim dan Bani Abdul Muttalib, khasnya Abu Talib. Walaupun mereka tidak menganut Islam, tetapi mereka mempertahankan Rasulullah s.a.w. sehingga sanggup berkorban apa sahaja.

Tetapi pernah Abu Talib membuat satu kenyataan seolah-olah supaya Rasulullah bertolak - ansur dalam perkara prinsip, lalu dengan tegasnya Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Wahai bapa kesayanganku, demi Allah, kalau mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku agar aku meninggalkan urusan ini (menegakkan Islam), nescaya aku tidak akan meninggalkannya sehinggalah Allah memberi kemenangan kepada agamaNya atau aku mati kerananya.”

Akhirnya Abu Talib dan keluarganya kecuali Abu Lahab, mengambil keputusan untuk mempertahankan Baginda sallaLlahu alaihi wasallam.

Dalam persepakatan Pakatan Rakyat, kita dibenarkan untuk menolong jentera parti yang berjanji setia dengan PAS apabila keadaan memerlukan dan tiada calon PAS di kawasan tersebut. Namun begitu kita dilarang daripada meninggalkan jamaah dan menyertai gerakan atau parti tersebut yang berlainan ideologi dengan PAS.

Hal ini perlu dijelaskan kepada ahli PAS akar umbi agar tahaluf tidak menjadi punca perpecahan amilin dan petugas PAS diperingkat Kawasan dan Cawangan.

2. Menentang kezaliman, penyelewengan dan keruntuhan moral

Apabila isu dan gejala buruk tersebut merupakan perkara-perkara yang dirasai kesan dan akibat buruknya kepada semua golongan, termasuk golongan bukan Islam, maka boleh diadakan persefahaman dalam perkara ini.

Contohnya, berkerjasama dengan NGO dan mana-mana parti lain di dalam usaha mendesak pembebasan tahanan ISA dan sebagainya, kerana Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam turut mengiktiraf hilf al-fudhul yang bertujuan membela mereka yang dizalimi.

Baginda juga mengakui pakatan dan persefahaman golongan yang menentang perjanjian pemulauan ke atas keluarga Rasulullah dan para sahabat walaupun mereka tidaklah sampai ke peringkat mengakui kedaulatan Islam.

Dalam hal ini PAS boleh bekerjasama dengan pelbagai pihak atau mana-mana gerakan yang berusaha menetang kemungkaran era baru seperti IFC, Islam Liberal serta pelbagai kebejatan aqidah dan sosial. Ahli PAS perlu memasukkan dakwah secara lembut dan berterusan kepada golongan ini agar mereka menerima dakwah PAS.

3. Mengakui kepimpinan Islam dan tidak menjejaskan matlamat perjuangan

Seringkali berlaku apabila diadakan kerjasama politik, ada pihak yang menetang kepimpinan adil cara Islam serta mengambil kesempatan pula untuk merosakkan ideologi dan aqidah tulen para petugas PAS. Hal ini perlu dielakkan kerana setiap individu Islam yang menjadi amilin PAS adalah manusia terpimpin dan tidak pragmatisme dalam memutuskan tindakan.

Dalilnya:

a) Rasulullah s.a.w. telah menangguhkan tahaluf dengan Bani Syaiban apabila mereka tidak bersedia untuk bersama-sama menegakkan negara Islam dan mempertahankannya. Hal ini terjadi apabila Bani Syaiban menyatakan ketidaksanggupan untuk berhadapan dengan kerajaan Parsi tetapi hanya sanggup menghadapi kabilah Arab sahaja.

b) Rasulullah membatalkan cadangan untuk bertahaluf dengan Bani ‘Amir apabila mereka mahu berkongsi jawatan kepimpinan negara tanpa menerima Islam.

4. Tidak berwala’ kepada musuh dan tidak redha dengan pegangan mereka

Perihal wala’ adalah perkara tunjang yang menjustifikasikan dan mengesahkan amal Islami kita dalam PAS. Lantaran itu piawaian wala’ telah ditetapkan oleh Allah SWT serta oleh Rasulullah.

Firman Allah s.w.t., maksudnya:

“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan ( larangan ) yang demikian maka tiadalah ia ( mendapat perlindungan ) daripada Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripad sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka ( yang kafir itu ). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat - ingat terhadap kekuasaan diriNya ( menyeksa kamu ). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.”

Surah Ali ‘Imran: 28

Memilih calon bukan PAS yang berjuang menentang kezaliman dan kemungkaran lebih besar adalah suatu yang WAJIB demi menyekat kezaliman walaupun calon tersebut bukan Islam atau muslim yang tidak berpegang dengan Islam secara menyeluruh.

Berwala’ maknanya menjadikan seseorang sebagai pemimpin, teman yang akrab, pelindung atau penolong. Keadaan takut adalah darurat. Kerjasama adalah untuk kemaslahatan dan kebaikan Islam umumnya, bukan meredhai mereka sebagai pemimpin. Hal ini kerana Kepimpinan Islam hanya sah sekiranya menuruti seluruh sistem Islam dalam pentadbiran mahupun kepimpinan.

Muwada’ah

Di sana terdapat satu persefahaman yang diadakan secara sementara waktu ( bertempoh ) dengan golongan yang bermusuh kerana maslahah. Persefahaman ini dinamakan muwada’ah dan ada juga ulama’ meletakkannya dalam perkara hadanah ( gencatan senjata ).

Disebut dalam “Syarah Muhazzab” ( karangan al Imam al Nawawi ), di antara maslahahnya ialah mengharapkan mereka masuk Islam, mereka akan membayar jizyah atau menolong untuk memerangi golongan lain.

Akan tetapi para ulama’ bertelingkah dalam menentukan tempoh masanya. Ada yang menghadkan setakat empat bulan sahaja dan ada juga yang mengharuskan menurut maslahah ( di antaranya ialah orang-orang Islam masih berada dalam keadaan lemah ). Adapun jika tiada apa-apa maslahat atau mudaratnya lebih banyak daripada maslahah, maka ia tidak diharuskan.

Hari ini PAS boleh bekerjasama dengan pihak lain selama mana mereka bersedia secara jujur ingin bersama seperti dalam isu Palestin, isu rasuah dan sebagainya. Akan tetapi muwada’ah ini hanya sah dalam isu kerjasama itu sahaja dan bukannya selama-lamanya selagimana mereka masih memegang ideologi sekular atau menetang Islam.

Kategori Tahaluf

Tahaluf dapat dibahagikan menurut keadaan berikut:

1. Dalam peringkat membentuk kerajaan hendaklah dengan syarat:

a) Kepimpinan mestilah di tangan orang Islam

b) Mengiktiraf negara Islam

c) Menerima perlembagaan Islam dan syariatnya

2. Tahaluf tanpa membentuk negara:

a) Kerana maslahah untuk menghadapi musuh yang lebih besar

b) Masalah bersama untuk menentang kezaliman, penyelewengan, membebaskan orang-orang tahanan dan sebagainya.

c) Berlindung sementara ketika lemah.

d) Tidak terikat dengan syarat yang bercanggah dengan Islam dan kepentingan Harakah Islamiyah.

Beberapa Pemerhatian

Dalam situasi sekarang, hendaklah diberi perhatian kepada beberapa perkara yang boleh menjejaskan maslahah, di antaranya ialah seperti berikut:

1. Matlamat menegakkan negara Islam adalah sangat penting dalam strategi yang diambil oleh Harakah Islamiyah. Oleh itu, jangan terikat dengan janji yang akan menghalangnya atau syarat-syarat yang akan mengikat.

2. Mengutamakan persefahaman dengan kumpulan-kumpulan Islam yang berpengaruh dan yang mempunyai titik pertemuan dengan perkara prinsip yang boleh dipercayai, bukannya yang lemah dan tidak berperanan. Kemudian itu, dengan kumpulan-kumpulan yang bukan Islam.

3. Kita sedang berhadapan dengan masyarakat yang cetek pemahamannya terhadap Islam, di mana mereka tidak mengetahui perbezaan Islam dengn idealogi-ideologi moden. Oleh itu, golongan Islam hendaklah mempunyai syakhsiyah yang kuat dan dapat membezakan mereka dengan parti-parti lain serta perlu diberi kefahaman kepada mereka tentang perbezaan di antara Islam dan idelogi-ideologi moden. Kalau tidak, tahaluf dengan kumpulan bukan Islam lebih memberikan kesan negatif.

4. Persefahaman dengan kumpulan-kumpulan bukan Islam tidak berpanjangan, samada mereka akan menerima Islam atau pertarungan akan berlaku juga pada akhirnya. Oleh itu, hendaklah membuat ikatan-ikatan yang longgar yang tidak akan membelenggu kita di belakang hari.

5. Di sana akan keluar kenyataan-kenyataan bersama yang perlu dipertimbangkan dengan tegas dari segi prinsip kita kerana kenyataan-kenyataan itu bukan sahaja perlu mengikut selera kita, tetapi perlu juga menurut selera mereka.

6. Berwaspada terhadap tipu daya mereka dengan bergantung kepada Allah s.w.t dan kebijaksanaan kurniaanNya.

Penutup

Konsep tahaluf perlu disebar luaskan di kalangan pemimpin dan petugas PAS di peringkat akar umbi demi mengelakkan salah faham terhadap konsep dan wala’. Jelasnya PAS adalah jamaah harakah yang berjuang atas nama Islam dan bukannya atas nama kemanusiaan semata-mata. Ketaatan kepada pemimpin PAS adalah atas dasar berada pada dasar yang sama iaitu memartabatkan syariah dan aqidah Islam.

Tahaluf adalah medium ke arah kemenangan Islam dan bukannya punca perpecahan dan kehilangan petugas PAS dalam setiap peringkat.

Nota Hujung.

[1] Lihat Fiqh Al Harakah (jilid 1) karangan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Dewan Pustaka Fajar

[2] lihat Fiqh Siasah Menurut Hassan Al Banna karangan Dr. Muhammad Abdul Qadir Abu Faris (halaman 47-49)

[3] Buku Himpunan Kertas Kerja Daurah Tadribiyyah PAS Pusat.

Selepas membaca artikel ini, saudara telah memahami;

1 ) Tahaaluf siasi adalah satu konsep dan polisi dalam siasah syar’ieyah yang bermatlamat menjayakan usaha dakwah Islam kepada seluruh umat manusia.

2 ) Tahaaluf siasi telah mula dilaksanakan oleh RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam di peringkat awal dakwah Islam. Justeru rujukan melaksanakannya hendaklah bertepatan dan terikat dengan sunnahnya.

3 ) Tahaaluf siasi adalah strategi dakwah yang bersifat tadarruj dan marhaliy ( beransur – ansur dan berperingkat ) yang menuntut kesabaran dan tidak gopoh.

4 ) Ahli PAS hendaklah memahami konsep tahaluf siasi serta syarat – syaratnya dengan baik demi mengelak perselisihan yang tidak perlu sesama sendiri disebabkan kefahaman yang cetek.

5 ) Sentiasa berwaspada dengan tipu daya musuh Islam yang sentiasa memburu kelalaian pihak kita.

Panel:

1 ) Ustaz Hj Nasrudin bin Hassan Tantawi

2 ) Ustaz Hj Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz

4 ) Ustaz Hj Riduan bin Mohd Nor

5 ) Ustaz Hj Nik Mahadi bin Nik Mahmood

6 ) Ustaz Hj Mohd Asri bin Mat Daud

7 ) Ustaz Hj Zulqarnain bin Hassan

8 ) Ustaz Hj Syed Abdul Kadir bin Syed Hussin al Joofre