Monday 21 June 2010

Kami Yang Berbahagia Dgn Sebuah Pertemuan


Bagi mereka yang telah sebatikan diri dengan perjuangan islam, bernafas dengan nafas perjuangan, mengikat diri dengan amanah dakwah dan tarbiyah, bersama dalam sebuah jamaah, menghadiri pertemuan tahunan seperti muktamar yang lepas adalah sesuatu yang sangat membahagiakan.

Amat membahagiakan apabila boleh melihat qiyadah dan murobbi walau dari sayup mata memandang. Lebih membahagiakan apabila hari-hari yang dilalui sepanjang bermuktamar itu berpeluang mendengar bait-bait bicara perjuangan yang mengalir keluar dari mulut para qiyadah. Sejuk terasa hati, mengalir membasahi jiwa...

Saya tidak berpeluang menjadi perwakilan pada tahun ini, samada perwakilan pemuda atau kawasan lantaran sedikit silap faham maklumat. Tetapi bersyukur kerana dapat menghadiri muktamar seawal 9hb hinggalah berakhir pada 13hb dengan ucapan penangguhan dan pergulungan Tuan Guru Dato' Seri Presiden yang sangat menakjubkan, menggetarkan nurani..

Selain dari pameran yang diadakan, bazar jualan yang menarik dan pelbagai, muktamar ini mempertemukan kembali di antara sahabat handai seperjuangan ketika menuntut ilmu di peringkat IPT dulu. Nostalgia berusrah, bertamrin, bermukhayyam, berijtimak dan lain-lainnya ketika di alam kampus dulu mengiringi setiap pertemuan itu. Bahagia..sangat membahagiakan..

Saya kira, ramai yang bertahan hingga ke akhir muktamar antara lainnya ialah untuk bersama-sama mendengar kata-kata penggulungan dan penangguhan oleh Al-Imam Al-Qaid Al-Murabbi Tuan Guru Dato' Seri Presiden. Penantian itu sesungguhnya tidak sia-sia. Seperti biasa di setiap penghujungan muktamar tahunan, TG Dato' Seri Presiden tidak menghampakan ahli dengan menyampaikan bait-bait perjuangan dengan penuh semangat, motivasi, hikmah dan sendat dengan ilmu pengetahuan. Mutiara wahyu memancar dari lidahnya.. mengalir, menyirami, menyejuk dan menyegarkan hati-hati kami anak-anaknya.

Di celahan semangat itu, sesekali hati terasa sebak.. terharu dengan kekentalan semangat, ketabahan hati, kebesaran jiwa dan keluasan minda dan idea Tuan Guru Presiden. Sedang kami anak-anaknya masih jauh terasa ketinggalan. Terima kasih Ayah Chik, kami akan teruskan legasi perjungan ini.. walau pun masih bertatih dalam meneladanimu...

Takbir! Allahu Akbar!!!