Wednesday 12 January 2011

Seorang Pemimpin Ulama'



Sebelum ini, aku sebenarnya tidak pernah bertemu dengan Tuan Guru Haji Hadi Awang. Tidak juga pernah berimpian untuk bertemu dengan beliau. Dan tidak juga selalu mengikuti perkembangan tentang beliau dan PAS secara langsung. Yang aku tahu, terdapat juga mereka-mereka yang mencemuh Tuan Guru Haji Hadi dalam pelbagai cara dan tentang pelbagai isu. Dalam entri ini aku nak berkongsi tentang bagaimana 'Diskusi: Politik Islam & PAS' dapat diadakan di Warwick University pada 29 Disember 2010.

Aku baru sahaja balik daripada FUIYO 2010, di Waddow Hall, Clithroe dan singgah di Manchester beberapa hari yang lepas pada 26 Disember. Dan aku berkesempatan untuk menyertai ucapan perasmian PRC (Pas Representative Council UK & Ireland) oleh Tuan Guru Haji Hadi di Manchester Conference Centre. Selesai ucapan itu, aku terfikir, bagus juga kalau dapat bawa Tuan Guru ke Warwick kerana daripada ucapannya di Manchester itu, aku rasa banyak ilmu yang beliau sampaikan. Lalu aku bertanyakan wakil beliau untuk menjemput Tuan Guru ke Warwick. Malam itu aku terima satu mesej, dikatakan Tuan Guru sudi untuk ke Warwick. Tetapi hanya boleh antara Selasa dan Rabu sahaja kerana Tuan Guru sudah mahu balik ke Malaysia pada hari Khamis untuk membantu kempen PAS di Pilihanraya Kecil Tenang.

Jadi, pendek kata aku setuju untuk mengaturkan diskusi bersama beliau pada hari Rabu, 29 Disember. Disebabkan masa yang singkat dan jemputan yang ad-hoc aku gagal untuk dapatkan bilik kuliah yang sesuai untuk diskusi tersebut. Kawan aku pesan, nak buat event untuk Tuan Guru biarlah elok sedikit. Beliau kan Presiden PAS, antara calon Perdana Menteri sekiranya PR (Pakatan Rakyat) menang PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang. Aku usaha untuk mendapatkan bilik, tetapi tidak berjaya kerana pejabat universiti tutup sempena tahun baru. Bilik-bilik kuliah lain pun sudah penuh kerana ada Jew Conference di sekitar Warwick University. Maka hanya dapat buat di Prayer Hall.

Berkaitan dengan promosi, sekadar promosi menggunakan Facebook sahaja. Buat poster dan tag beramai-ramai. Seterusnya bergantung kepada buah mulut rakan-rakan. Aku jangkakan dalam 30 orang yang akan hadir untuk ceramah ini. Lalu, satu kali itu aku menelefon wakil Tuan Guru dan berterus-terang, "Oleh kerana agak ad-hoc, saya hanya dapat Prayer Hall sebagai tempat. Tidak ada mic, LCD projektor dan sebagainya. Jemputan pula saya anggarkan dalam 30 orang." Lalu aku diberitahu, tidak mengapa, Tuan Guru tidak kisah. Kalau beberapa orang pun beliau tidak kisah. Lalu aku terfikir, betapa mudahnya untuk menjemput seorang ulama' untuk diskusi bersama pelajar. Bukan calang-calang orang pula tu, antara ulama' besar dunia.

Seterusnya aku bayangkan, kalaulah yang nak datang ni Menteri di kabinet Malaysia dan aku hanya dapat buat aktiviti itu di Prayer Hall; anggaran dalam 30 orang. Tidak boleh aku bayangkan apa kata menteri itu nanti. Sebab selalunya kalau aktiviti untuk menteri, mestilah 'grand', mesti ramai. Jika tidak ramai pun, buat di hotel atau bilik kuliah yang lebih sesuai dan sebagainya.

Kami di Warwick pun pernah diberitahu oleh seorang pemimpin organisasi Malaysia di UK yang beliau ingin anjurkan aktiviti di Warwick. Lalu kami membuatkan proposal, menyiapkan aturan aktiviti dan segalanya. Hanya ingin mendapatkan 'Yes' daripada pemimpin itu sahaja. Selepas menghantar proposal tersebut kepada beliau, beliau kata "I'll contact you guys later about this."

Lalu tunggu punya tunggu, sampai 10 minggu tidak ada berita langsung. Pelik. Yang nak buat aktiviti itu beliau sendiri. Siap proposal semuanya, hilang tanpa berita. Jadi disini aku boleh lihat dan buat kesimpulan sendiri, betapa berbezanya individu-individu berdasarkan dengan pegangan mereka. Ramai antara pemimpin yang apabila jadi pemimpin mereka merasakan mereka besar dan hebat walhal jika menurut Islam, memimpin itu adalah satu tanggungjawab dan bukannya kemegahan.

Aku cuma ingin berkongsi pengalaman menganjurkan sesi diskusi untuk Presiden PAS yang sangat merendah diri dan bersifat redha. Sebenarnya aku amat risau tentang aktiviti yang baru lepas ini. Aku risau takut ada yang tidak bersetuju dengan tempat program di Prayer Hall. Aku risau takut tidak ramai orang yang datang. Aku risau takut tidak habis tepat masanya. Tetapi Alhamdulillah, hampir 60 orang hadir dan 40 orang tonton secara langsung di Ustream. Diskusi habis tepat-tepat jam 9.30pm dan tiada masalah dengan tempat program. Alhamdulillah kerana semuanya mendapat kemudahan daripada Allah S.W.T.

InsyaAllah pada masa akan datang, lebih banyak aktiviti akan dibuat di Warwick. Mudah-mudahan mendapat kemudahan dan dapat dilaksanakan untuk manfaat semua.

Artikel iluvislam.com

Tuesday 4 January 2011

Yang di-Pertuan Agong Perintah Mengadap - Nik Abdul Aziz



KOTA BHARU, 4 Jan: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan, beliau dan pemimpin kanan PAS telah dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam satu majlis santapan malam di Istana Terengganu di Kuala Lumpur.

Menurutnya, titah Tuanku Mizan itu telah disampaikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika beliau mengunjunginya di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

"Atas dasar menghormati dan menjunjung titah Tuanku saya telah menghadiri majlis tersebut," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan beliau dengan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali di kediaman rasmi MB, JKR 10 hari ini.(gambar)

Bagaimanapun, katanya, "Adalah sangat tidak beretika dan tidak beradab bagi saya untuk menceritakan apa-apa yang menjadi perbualan semasa mengadap."

"Oleh itu, saya menyeru semua pihak sama ada media atau mana-mana individu supaya tidak membuat andaian yang tidak menentu dan berharap dapat menghentikan sebarang kenyataan yang tidak tepat demi menjaga kehormatan dan nama baik pihak istana," katanya.

Jangan kaitkan istana dengan politik

Sementara itu dalam sidang medianya (gambar bawah), Nik Abdul Aziz menyeru semua pihak sama ada media atau invidu supaya tidak mengaitkan istana dengan pergolakan politik negara.

Pada masa yang sama juga beliau turut mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang andaian berhubung pertemuannya dengan Yang Dipertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan baru-baru ini.

Ini kerana, katanya pertemuan itu hanyalah jemputan untuk majlis santapan malam bersama baginda sahaja.

Menurutnya, sebarang kenyataan tidak tepat itu perlu dihentikan segera demi menjaga kehormatan dan nama baik pihak Istana.

“Jangan sekali-kali mengaitkan istana dalam pertemuan baru-baru ini,”ujarnya ketika membaca kenyataan media sebentar tadi di JKR 10.

Hadir sama pada sidang media itu, Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agong, Datuk Mustapha Ali.

Menurutnya lagi, sewaktu beliau menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi membawa titah dari Yang Dipertuan Agong.

“Tuanku Sultan Mizan meminta saya mengadap baginda bersama-sama pemimpin termasuk Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi ke majlis santapan malam di Istana Terengganu, iaitu istana baginda di Kuala Lumpur.

“Atas dasar menghormati dan menjunjung titah tuanku, saya telah menghadiri majlis tersebut,”ujarnya lagi.

Tuan Guru Abdul Hadi Awang, pula berkata tidak timbul soal perbincangan kerajaan perpaduan atau sebagainya dalam pertemuan itu.

Menjawab soalan media beliau seterusnya berkata, majlis itu adalah undangan Yang Dipertuan Agong, tidak timbul langsung soal perbincangan dengan pemimpin Umno.

“Majlis tu adalah majlis Yang Dipertuan Agong, nak bincang dengan Perdana Menteri macamana?,”soalnya.

Kenyataan itu dibuat bagi menjawab pelbagai spekulasi ekoran pertemuan pemimpin tertinggi dua parti iaitu Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang dikatakan mengadakan pertemuan tertutup dengan dua pemimpin Umno iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya baru-baru ini.

Berikut adalah kenyataan penuh MB Kelantan itu.


Kenyataan Media

Tuan Guru Dato Bentara Setia Menteri Besar Kelantan

Merangkap al-Mursyidul Am PAS


Ekoran beberapa kenyataan yang mengelirukan berkaitan pertemuan saya dengan KDYMM Yang Dipertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan baru-baru ini, saya suka menjelaskan seperti mana berikut :


Sewaktu saya berada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, saya telah dikunjungi oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi yang membawa titah KDYMM Yang Dipertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan meminta saya mengadap baginda bersama-sama beberapa orang pemimpin termasuk Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ke majlis santapan malam di Istana Terengganu, yakni istana baginda di Kuala Lumpur. Atas dasar menghormati dan menjunjung titah Tuanku saya telah menghadiri majlis tersebut.


Adalah sangat tidak beretika dan tidak beradab bagi saya untuk menceritakan apa-apa yang menjadi perbualan semasa mengadap.


Oleh itu, saya menyeru semua pihak sama ada media atau mana-mana individu supaya tidak membuat andaian yang tidak menentu dan berharap dapat menghentikan sebarang kenyataan yang tidak tepat demi menjaga kehormatan dan nama baik pihak istana.


Terima kasih. Wassalam.


“MEMBANGUN BERSAMA ISLAM”


TUAN GURU HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,

MENTERI BESAR KELANTAN MERANGKAP AL-MURSYIDUL AM PAS.


p/s : Semoga Allah s.w.t. melindungi jamaah ini dari fitnah golongan yang tidak berakhlak, yang telah menyebarkan isu ini untuk menghilangkan rasa hormat kami kpd pimpinan tertinggi kami. Ya Allah, Engkau binasakan mereka yang berhasrat untuk menghina dan memperlekehkan pimpinan tertinggi kami...



Monday 3 January 2011

Cahaya Purnama Menyinari Alam (Dakwah Non Muslim)


Bukan Islam yakin dengan PAS

Penolong setiausaha Dapsy Kebangsaan (Pemuda/i DAP), Tey Kok Siew pula berkata, orang Melayu Islam harus meninggalkan Umno BN yang ternyata tidak mampu membela nasib mereka.

"Saya tahu Islam itu satu sahaja. Tapi kalau orang tanya saya, saya boleh terima Islam cara PAS atau Islam cara Umno,saya akan jawab saya terima Islam cara PAS.

"Saya dan kawan-kawan saya orang Cina yang bukan Islam boleh terima PAS, saya nak tanya orang-orang Melayu Islam terutamanya di Tenang, kamu tunggu apa lagi? Nak tunggu Umno berubah? Bila Umno akan berubah? Tunggu kucing bertanduk dulu.

"MCA boleh berubah tak? Boleh...tunggu pisang berbuah dua kali. Jadi kita tidak boleh percaya lagi pembohong-pembohong besar ini.

"Kita nak tanya orang Umno,kalau betul Umno jaga Melayu,kenapa sampai sekarang semakin ramai orang Melayu yang miskin?"soalnya yang juga Adun Bandar Hilir Melaka.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan DHPP Johor (Dewan Himpunan Penyokong Pas), Subramaniam memberi jaminan bahawa mereka akan membantu PAS sedaya mungkin untuk menawan Tenang.

"Saya berjanji Dewan Himpunan Penyokong PAS dengan rombongannya akan bertungkus lumus menggegarkan Tenang terutamanya kaum India.

Tambahnya, orang India sudah yakin bahawa hanya Islam yang dibawa PAS mampu memberikan kesejahteraan kepada negara.

"Saya seorang Hindu, dilahirkan sebagai seorang Hindu, hari ini pun saya masih Hindu, esok belum tahu...di hati saya, di dalam tanah yang bertuah ini, hanya Islam akan menjamin kesejahteraan semua.

"Sekarang masyarakat India tidak bimbang dengan parti PAS. Dulu mereka khuatir kerana mungkin mereka nampak PAS itu parti hanya untuk Islam dan mereka tidak faham kerana tidak terlibat dalam PAS.

"Tapi hari ini mereka faham hanya Islam sahaja boleh membanteras gejala sosial termasuk rasuah dan akan membawa Malaysia menyelamatkan maruah Malaysia," katanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub,setiausaha DPPP, Ahmad Sabki Yusuf, Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Pengerusi DHPP Johor,Nadarajan.


Sumber :

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30133:tenang-jangan-gentar-hadapi-umno-bn-&catid=1:utama&Itemid=50