Monday, 4 October 2010

Ijtimak Tarbawi Pemuda Pas Peringkat Kebangsaan 2010 - 2


2hb Oktober 2010, aktiviti bermula dengan qiamullail secara fardi (sendiri2) di kalangan peserta. Seterusnya Solat Subuh berjemaah yang diimamkan oleh Al-Fadhil Al-Ustazul Murabbi TG Haji Abdul Hadi Awang. Kehadiran peserta semakin ramai dan melimpah hingga ke luar masjid Rusila. Kuliah Subuh disampaikan oleh TG Haji Abdul Hadi dengan pengisian Tafsir surah Al-Hujurat bagi sesi yang pertama dari ayat 1-ayat 10 dan kemudiannya bersambung pada jam 11.00 pagi bagi sesi yang kedua sehingga zuhur dari ayat 11 hingga akhir surah.

Sebagaimana kita maklum, surah tersebut padat dengan petunjuk Allah s.w.t. kepada orang-orang yang beriman akan akhlak dan adab mereka sesama mukmin dan pimpinan. Kupasan yang sangat menarik dan hidup disampaikan oleh TG Haji Abdul Hadi Awang menjadikan mereka yang pernah mempelajari tafsir surah tersebut juga sangat terpegun dan tersentuh. Gaya penyampaian Tuan Guru yang bersungguh-sungguh, padat dengan ulasan asbab an-nuzul, tafsiran dari hadith2 Nabi s.a.w. dan dikembangkan dengan sirah nabawiyyah dalam keadaan hanya sekali sekala melihat kitab menggambarkan bahawa beliau telah hadham dengan tafsiran surah tersebut. Syarahannya lebih terperinci dan luas dari isi yang terdapat dalam buku tafsirnya yang dicetak dan dijual sepanjang ijtimak ini. Yang lebih membekas dalam hati para peserta ialah kupasan dan syarahnya sangat hidup dan contoh2 yang diberikan sangat realiti. Alhamdulillah, kami berjaya menamatkan pengajian kitab tersebut secara talaqqi dengan beliau. Sebelum ini, kami adalah anggotanya dalam jamaah Pas, pendokongnya dalam perjuangan Islam, murid umumnya dalam ceramah dan taujihat.. hari ini, kami telah menjadi murid khususnya dengan menamatkan pengajian secara talaqqi surah tersebut. Terima kasih Ayah Chik!

Selepas kuliah subuh (di antara Tafsir surah Al-Hujurat sesi 1 dan 2) lebih kurang jam 9 pagi, Peserta ijtimak diisi dengan pengisian penting bertajuk Pas dan Tarbiyah yang disampaikan oleh Al-Fadhil Al-Ustazul Murabbi Dato' Yahya Othman, mantah ahli Majlis Syura Ulamak, yang merupakan Murabbi Pas Pusat dan pengulas kepada pengisian beliau ialah Al-Fadhil Al-Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden Pas.

Ustaz Yahya Othman yang walaupun keuzuran, memilih untuk menyampaikan pesanan-pesanannya sambil berdiri walaupun urusetia telah menyediakan kerusi dan meja untuk beliau duduk. Beliau menyatakan perasaan sayang dan sangat bahagia lantaran dapat bersama-sama himpunan anak-anak muda Pas yang berkumpul atas nama Tarbiyah. Banyak pesanan-pesanan yang dititipkan beliau yang antara lainnya ;
  1. perlunya anak-anak muda menghidupkan dakwah di kalangan muslim dan non muslim untuk memindahkan manusia dari sekadar muslim kepada mukmin, seterusnya menjadi muhajir dan mujahid.
  2. hidup Nabi s.a.w. dipenuhi dengan perjuangan. Lebih kurang 52 peperangan berlaku di sepanjang hidup Nabi s.a.w., 27 darinya disertai oleh baginda s.a.w.
  3. dalam perjuangan perlunya ilmu dan faham (al-fahmu al-amiq) dan beramal dengan ilmu
  4. dalam perjuangan, para pejuang mesti menjadi qudwah atau teladan kepada sasaran dakwah
  5. membimbing masyarakat agar celik agama dengan memahamkan mereka akan intipati Al-Quran
  6. selalulah membaca kisah-kisah syabab (anak muda) dalam sejarah awal kegemilangan islam.
Pengisian beliau kemudiannya diulas oleh Ustaz Nasharuddin Mat Isa dengan ulasan yang sangat baik. Beliau menyimpulkan, untuk menjadi qudwah atau teladan dalam dakwah ;
  1. perlu kepada pemerkasaan ilmu, iman dan akhlak.
  2. asas kepada ilmu ialah makrifah ad-din iaitu celik agama
  3. ilmu agama yang dianggap keutamaan sekarang ini malah turut dipersetujui di kalangan pimpinan gerakan Islam yang turut hadir dalam pertemuan gerakan Islam di peringkat antarabangsa ialah ilmu berkaitan fiqh al-maqasid as-syariyyah.
  4. untuk melahirkan Jil Al-Quran Al-Farid (generasi Al-Quran Unik), hendaklah rutin membaca al-Quran, melihat terjemahannya, mempelajari tafsir Al-Quran, beramal dengan segala isinya serta istiqamah dengan tuntutan al-Quran.
Ustaz Nasharuddin Mat Isa juga menyatakan bahawa kita perlu merasa bangga lantaran bersama dengan perjuangan PAS. Beliau menceritakan bahawa, sebaik sahaja selepas muktamar Pas Pusat 2010 di Kelantan yang lepas, beliau ada pergi ke Syria dan berjumpa dengan pimpinan Hamas iaitu Saudara Khaleed Misy'al. Di awal-awal pertemuan tersebut, Khaleed Misy'al bertanya khabar tentang Ustaz Yahya Othman dan meminta Ustaz Nasharuddin Mat Isa menyampaikan salam beliau kepada Ustaz Yahya. Ini menggambarkan betapa eratnya hubungan mereka (Hamas-Ikhwan) dengan Ustaz Yahya Othman.

Seterusnya Ustaz Nasharuddin bertanyakan pendapat beliau (Khaleed Misy'al) tentang Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) yang telah ditubuhkan dalam Pas hasil dari satu kajian panjang dan dengan persetujuan beberapa orang tokoh gerakan Islam dan Ulamak dalam satu pertemuan di London (melibatkan TG Haji Abdul Hadi, Rashid Ganoushi Tunisia, Faizal Mawlawi Lubnan, Dr Yusof Al-Qardhawi dll). Khaleed Misy'al menyatakan, inilah kelebihan dan kehebatan PAS! Ustaz Nasharuddin mengatakan apalah sangat PAS jika nak dibandingkan dengan Ikhwan atau Jamaat Islami. Khaleed Misy'al menyatakan ANTUM WAAQIEYYUN - kalian sangat realistik. Pas baginya sebuah Harakah Islamiah yang sangat memahami dan bergerak berasaskan realiti semasa. Katanya, kalian mengkaji dalil, memahami realiti dan kalian bergerak berasaskan perkara tersebut. Dalam bab ini, PAS mendahului dan menjadi contoh kepada gerakan-gerakan Islam yang lain. Tambahnya lagi, isu ini (penglibatan non-muslim dalam harakah Islam) hangat dibincangkan di kalangan gerakan Islam di seluruh dunia dan Hamas akan belajar tentang perkara ini dari PAS!

Inilah kelebihan Parti Islam Se-Malaysia PAS. Kita tidak perlu berbangga dengan berapa banyak kitab Hasan Al-Banna yang dikhatam, merasa gah dengan berapa banyak buku haraki Syed Qutb atau Abul A'la Al-Maududi yang dihadham... kerana tarbiyah itu bukan semata-mata berbangga dengan kitab dan buku tetapi indikator tarbiyah ialah pada melahirkan jundi yang terus menerus memperbaiki diri dan ikhlas bekerja memenangkan Islam serta dirasai ramai akan sumbangannya kepada perkembangan dan pembelaan Islam!

Ijtimak Tarbawi Pemuda Pas Peringkat Kebangsaan 2010 - 1

Gambar sekitar pendaftaran peserta pada petang 1hb Oktober 2010. Kehadiran yang sangat memberangsangkan dari pemuda, nisa', muslimat dan siswa-siswi dari seluruh negara. Walau pun program hanya wajib kepada exco pemuda pas pusat, exco pemuda pas negeri dan kawasan, tetapi seluruh ahli pemuda, muslimat, nisa' dan siswa-siswi dijemput hadir dan dialu-alukan.

Pengisian bermula dengan Kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Naib Presiden Pas merangkap Ahli Majlis Syura Ulama' dan Pesuruhjaya Pas Pahang, Al-Fadhil Al-Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man. Para peserta yang tiba awal, padat memenuhi ruang solat utama masjid Rusila. Sebahagian dari peserta ada yang masih dalam perjalanan.

Selepas Isyak, bermulanya Majlis Perasmian yang dilangsungkan oleh Presiden Pas, Al-Fadhil Al-Ustazul Murabbi, TG Haji Abdul Hadi Awang. Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz, selaku Pengerusi Akademi Tarbiyah (AKTAR) DPPP menyampaikan ucapan alu-aluan. Murabbi muda ini adalah antara tenaga utama mendokong Ustaz Nasruddin Hasan Tantawi dalam memugar kembali agenda tarbiyah di kalangan pemuda PAS!

Ucapan perasmian disampaikan dengan penuh semangat oleh Al-Fadhil Al-Ustazul Murabbi TG Haji Abdul Hadi Awang. Tokoh Ulamak dan Murabbi yang lebih dikenali dengan panggilan Ayah Chik di kalangan anak muridnya ini sentiasa segar dan bersemangat bila membicarakan tentang kepentingan tarbiyah dalam perjuangan. Turut hadir semasa majlis perasmian ini ialah Al-Fadhil Al-Ustazul Murabbi, Dato' Yahya Othman selaku Murabbi Pas Pusat walau pun dalam keadaan sedikit uzur. Digagahinya juga demi kelangsungan tarbiyah generasi muda Pas!


Thursday, 26 August 2010

PEMAKLUMAN IJTIMAKTARBAWI DEWAN PEMUDA PAS




Penyertaan wajib kepada semua Exco DPPP , Exco DPP Negeri , Ajk DPP Kawasan dan ianya turut dibuka kepada mahasiswa\i dalam dan luar negara serta para pemudi [ akhawat ] dengan terlebih dahulu mendaftarkan diri ke pejabat Dewan Pemuda PAS Negeri atau direct kepada Sekteriat Dewan Pemuda PAS Pusat di pejabatnya . Insyaallah mekanisme pendaftaran secara online sedang disiapkan . [ Jika lambat , akhawat disarankan daftar segera ke pejabat DPP Negeri atau Pusat.

Tentatif

01 Oktober 2010 [ Jumaat ] ~ kandungan ~

04.00 pm - 06.30 pm : Pendaftaran Masuk
06.30 pm - 07.30 pm : Taklimat , al Ma'thuuraat & solat maghrib berjamaah
08.00 pm - Taujihat Tarbawi oleh :
Al Fadhil Tuan Guru Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

~ Solat Isyak dan Makan malam ~

10.15 pm : Majlis Perasmian oleh :
YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat [Al Mursyidul Am PAS] .

02 Oktober 2010 [ Sabtu ] ~ kandungan ~

Qiamulail dan Bicara Subuh

Tafsir Al Hujurat 1 [6.15 am] dan Tafsir Al Hujurat 2 [8.00 pm] oleh :
Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang [Presiden PAS]

Kertas 1 : PAS & Tarbiyah Islamiyyah oleh :
Al Fadhil Tuan Guru Dato' Yahya Othman

Ulasan 1 : Pengukuhan PAS melalui Tarbiyah oleh :
Al Fadhil Yb. Ust Nasharudin Mat Isa [ Timbalan Presiden PAS ]

Pidato Tarbawi 1 : Tarbiyah Jihadiyah dan Pilihanraya oleh :
Al Fadhil Ustaz Dato' Abu Bakar Chik

Forum Tarbawi 1 : Memupuk Budaya Tarbiyah dalam PAS oleh :
Yb. Hj Salahudin Ayub [ Naib Presiden PAS ]
Ustaz nasrudin bin Hj Hassan At Tantawi [ Ketua DPP Pusat ]
Ustazah Hajjah Nuridah binti Mohd Salleh [ Ketua DMP Pusat ]

Pidato Tarbawi 2 : Tarbiyah Jihadiyah dan Palestine oleh :
Wakil Gerakan Islam Luar Negara
Al Fadhil Tuan Guru Dato' Hj Harun Din [ Timbalan Mursyidul Am PAS ]
Yb. Dato Hj Mahfuz Omar . [ Naib Presiden PAS ]

03 Oktober 2010 [ Ahad ] ~ kandungan ~

Qiamulail dan solat fardhu berjamaah

Tafsir Al Hujurat 3 ~ khatam ~ [ 6.15 am ] oleh :
Yb Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang [ Presiden PAS ]

Kertas 2 : Tarbiyyah Al Harakiyyah oleh :
Al Fadhil Yb. Tuan Guru Dato' Hj Harun Taib [ Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat ]

Ulasan 2 : Mengukuh Amal Jamaei oleh :
Al Fadhil Ustaz Idris Hj Ahmad

Forum Tarbawi 2 : Tarbiyyah dan Dewan Pemuda PAS oleh :
Al Fadhil Ustaz Hj Zulkifli Ismail [ DUP ]
Al Fadhil Ustaz Azman Syafawi Abd Rani [ DPP Pusat ]
Al Fadhil Ustaz Hj Ahmad Yahya [ DPP Kedah ]

Ikrar Ijtima' : Pengarah Ijtima'

Penutup [ 12.30 pm ] oleh : Yb Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS

Pemakluman Rumah Terbuka & Himpunan Anak Muda Perantauan DPPNP

Tahniah Ustaz Nasarudin Tantawi dan DPPP!


Nikah Khitbah Satu Alternatif

Permudahkan Nikah Cegah Penzinaan

1. Sedang pelbagai pihak seperti buntu mencari penyelesaian kepada barah sosial yang menjurus kepada pergaulan dan seks bebas [ zina ] serta rogol dan buang bayi berleluasa pada hari ini , Dewan Pemuda PAS menyarankan satu program atau projek besar iaitu " Taysir az Ziwaj " dilaksanakan , khasnya oleh pihak berwajib.

2. Taysir Az Ziwaj ialah " Permudahkan Proses Perkahwinan " terutama kepada anak - anak muda yang tidak berkemampuan dari segi material untuk mendirikan rumahtangga tetapi dalam masa yang sama mempunyai keinginan yang tinggi untuk hidup berpasangan .

3. Islam adalah agama yang penuh dengan rahmah dan berkah. Ia diutuskan oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan [ nafsu ] syahwah dan sebagainya tetapi Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul , benar dan baik .

4. Gejala seks bebas [ zina ] dan rogol adalah angkara nafsu yang tidak terkawal dan ia disalurkan secara tidak betul , tidak benar dan membawa keburukan kepada diri dan orang lain . Sedang Islam menggalakkan perkahwinan [ aqad nikah ] agar hati manusia tenteram dan tenang serta nafsu dapat dikawal . Ini membawa kebaikan kepada semua ummat manusia .ala

Firman Allah swt yang bermaksud :

dan kahwinkanlah orang - orang bujang [ lelaki dan perempuan ] dari kalangan kamu dan orang - orang yang soleh dari hamba - hamba kamu , lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin , Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah swt Maha Luas rahmat dan kurniaNya lagi Maha Mengetahui .

An Nuur : Ayat 32

5. Perkahwinan yang digalakkan oleh Islam ini sewajarnya dipermudahkan prosesnya agar generasi muda negara tidak liar dan kemaruk nafsu lalu terjebak dalam kancah seks bebas [ zina ]. Memudahkan prosesnya boleh dilakukan oleh pihak berwajib [kerajaan] seperti [ sekadar menyebut beberapa contoh ] :

  • Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin
  • Memberi insentif sebagai galakan berkahwin
  • Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan
  • Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma
  • Menganjurkan perkahwinan beramai - ramai yang menjimatkan
  • Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan
  • Merendahkan hantaran perkahwinan
6. Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ini ialah Nikah Khitbah atau dalam bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagai Nikah Gantung . Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang mempunyai 5 rukunnya iaitu :

  • Suami
  • Isteri
  • Wali
  • Saksi
  • Aqad [ Ijab Qabul ]
cuma bezanya ialah pasangan pengantin [ suami isteri ] tidak tinggal serumah dalam tempoh - tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti [sekadar menyebut beberapa contoh] :

  • Masih menuntut di kolej atau uniersiti
  • Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah
  • Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga
justeru itu , buat tempoh tertentu pasangan suami isteri yang telah dinikahkan itu tinggal berasingan [ atas persetujuan bersama kedua - dua pihak ] dan barangkali tinggal bersama keluarga masing sehinggalah mereka merasakan segala halangan diatas telah selesai dan mereka benar - benar bersedia mengharungi kehidupan berumahtangga yang besar tanggungjawabnya.

7. Kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang - undang negara . Andai dalam tempoh itu mereka bertemu , keluar makan , dating , study bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks , maka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram .

8. Andai berlaku kehamilan , maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab [ keturunan ] . Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah .

9. Kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata - ratanya adalah ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari pasangan terbabit. Malah mereka juga takut untuk kembali kepangkuan keluarga justeru mereka mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan terlarang . Ia memalukan keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama . Akhirnya , jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara .

10. Sebenarnya Nikah Khitbah ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab . Menurut amalan tersebut , sewaktu majlis pertunangan , ia dilangsungkan sekali dengan majlis aqad nikah [ halflun nikah ] tetapi mempelai tidak boleh tinggal sekali [serumah] sehingga berlangsungnya pula majlis perkahwinan [haflul Qiran] . Terkadang tempoh itu [ antara pertunangan dan perkahwinan menjangkau tahun lamanya.]

11. Dalam masyarakat Melayu , amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan nama Nikah Gantung . Ia pernah di kaji oleh beberapa Anthropologist seperti Paletz , Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan Nikah Gantung sebagai "Suspended Marriage Contract" iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara .

12. Malah menurut Abdul Jalil Borhan , perkara yang berkaitan dengan Nikah Gantung terdapat dalam seksyen 112 [dalam bahagian 5] enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.

Perbahasan Hukum

13. Salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian para alim ulama' ialah Perkahwinan Rasulullah saw dengan Aishah rha. menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim , Rasulullah saw telah mengahwini Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun . Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah , maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang dipersetujui.

14. Apabila pasangan pengantin [ nikah gantung ] bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi , maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin [ jima' \ bersetubuh ] . Apa yang timbul ialah perbahasan dari segi nafkah zahir [ material ] . Berkait perkara ini , kita mempunyai beberapa pandangan :

a] Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini [ nafkah zahir ] wajib dengan berlakunya aqad , maka selepas sahaja aqad nikah , suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya .

b] Pandangan Jumhur ulama' iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat - syarat tertentu seperti isteri menyerahkan diri kepada suami [ berpindah ke tempat suami ] , boleh melakukan istimta' [ mengambil keseronokan] , jima' [ bersetubuh ] , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya .

15. Nikah khitbah dapat disimpulkan bahawa : bebanan nafkah itu tidak diwajibkan ke atas suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum berlaku . Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama , maka tiada halangan dari segi hukum syara' kerana mereka adalah suami isteri yang sah. Demikian juga andai berlaku kehamilan maka bayi itu sah dan mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa yang sah. Tidak perlulah mereka melarikan diri , buang bayi dan menggugurkan bayi atau membunuhnya .

16. Tegasnya saya sebutkan disini , terutama kepada pihak berkuasa agama , ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat termasuk anak - anak muda agar mereka kembali kepada cara hidup Islam . Walaupun nikah gantung ini kelihatan seperti baru dalam negara kita bagi sesetengah pihak , tetapi ia lebih baik dari kita membiarkan anak - anak gadis dan teruna kita berpeleseran , bergaul bebas lalu akhirnya mereka terjebak dalam kancah seks bebas dan penzinaan yang memalukan . Bukan sahaja maruah keluarga dan agama tercalar , murka Allah swt itulah yang paling ditakuti .

sumber - http://episodeperjuangan.blogspot.com


Komentar Abu Amirah :

Tahniah Ustaz Din Tantawi dan DPPP atas lontaran idea ini. Sudah lama ustaz2 kita menerangkan dalam kuliah-kuliah dan ceramah ttg keperluan MEMUDAHKAN nikah kepada generasi muda hari ini yang sangat mudah untuk akses perkara-perkara maksiat seawal usia, tetapi sangat sukar utk berkahwin dengan sistem dan adat masyarakat yang sedia ada.. Tahniah sekali lagi!

Monday, 21 June 2010

Kami Yang Berbahagia Dgn Sebuah Pertemuan


Bagi mereka yang telah sebatikan diri dengan perjuangan islam, bernafas dengan nafas perjuangan, mengikat diri dengan amanah dakwah dan tarbiyah, bersama dalam sebuah jamaah, menghadiri pertemuan tahunan seperti muktamar yang lepas adalah sesuatu yang sangat membahagiakan.

Amat membahagiakan apabila boleh melihat qiyadah dan murobbi walau dari sayup mata memandang. Lebih membahagiakan apabila hari-hari yang dilalui sepanjang bermuktamar itu berpeluang mendengar bait-bait bicara perjuangan yang mengalir keluar dari mulut para qiyadah. Sejuk terasa hati, mengalir membasahi jiwa...

Saya tidak berpeluang menjadi perwakilan pada tahun ini, samada perwakilan pemuda atau kawasan lantaran sedikit silap faham maklumat. Tetapi bersyukur kerana dapat menghadiri muktamar seawal 9hb hinggalah berakhir pada 13hb dengan ucapan penangguhan dan pergulungan Tuan Guru Dato' Seri Presiden yang sangat menakjubkan, menggetarkan nurani..

Selain dari pameran yang diadakan, bazar jualan yang menarik dan pelbagai, muktamar ini mempertemukan kembali di antara sahabat handai seperjuangan ketika menuntut ilmu di peringkat IPT dulu. Nostalgia berusrah, bertamrin, bermukhayyam, berijtimak dan lain-lainnya ketika di alam kampus dulu mengiringi setiap pertemuan itu. Bahagia..sangat membahagiakan..

Saya kira, ramai yang bertahan hingga ke akhir muktamar antara lainnya ialah untuk bersama-sama mendengar kata-kata penggulungan dan penangguhan oleh Al-Imam Al-Qaid Al-Murabbi Tuan Guru Dato' Seri Presiden. Penantian itu sesungguhnya tidak sia-sia. Seperti biasa di setiap penghujungan muktamar tahunan, TG Dato' Seri Presiden tidak menghampakan ahli dengan menyampaikan bait-bait perjuangan dengan penuh semangat, motivasi, hikmah dan sendat dengan ilmu pengetahuan. Mutiara wahyu memancar dari lidahnya.. mengalir, menyirami, menyejuk dan menyegarkan hati-hati kami anak-anaknya.

Di celahan semangat itu, sesekali hati terasa sebak.. terharu dengan kekentalan semangat, ketabahan hati, kebesaran jiwa dan keluasan minda dan idea Tuan Guru Presiden. Sedang kami anak-anaknya masih jauh terasa ketinggalan. Terima kasih Ayah Chik, kami akan teruskan legasi perjungan ini.. walau pun masih bertatih dalam meneladanimu...

Takbir! Allahu Akbar!!!

Monday, 10 May 2010

Pamplet Risalah At-Tarbiyah (1)

Assalamualaikum wrt wbt

Di bawah ni saya sertakan salinan softcopy pamplet Risalah At-Tarbiyah (1) yang telah diedarkan kepada para perwakilan muktamar dan pemerhati pada 9hb Mei 2010 semalam, sekiranya Akademi Tarbiyah & Kepimpinan Pemuda Kawasan-Kawasan nak cetak dan edaran di peringkat masing-masing...


Sedikit catatan menarik dalam mesyuarat agung DPPNP semalam antaranya ialah... kata-kata dari Pengerusi Tetap... "Semoga perhimpunan kita ini dirahmati Allah s.w.t.. kita seronok bertemu di dunia dan mudah-mudahan kita akan juga nantinya seronok bertemu di akhirat.. kalau kita berjumpa macam ni di akhirat nanti, saya nak terus jadi Pengerusi Tetap.."

Kata-kata yang nampak lucu dan sinis, tetapi inilah gambaran keyakinan dan kesebatian akhirat di dalam jiwa mereka yang benar-benar berjuang... sekian.