Monday 10 November 2008

Kepentingan Usrah Dalam Tarbiyah dan Realiti Anggota..


Alhamdulillah, saya telah membaca artikel yang amat menarik dari Ketua Lajnah Tarbiyah Dewan Ulama’ Pas Pahang yang bertajuk Usrah, Madrasah Tarbiyyah Yang Paling Bertenaga di dalam blog beliau http://ustazmokhtar.blogspot.com/


Artikel tersebut adalah catatan beliau bagi memperkuatkan penekanan terhadap kepentingan usrah dan tarbiyah yang telah disampaikan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Presiden dan al-fadhil Timbalan Presiden dalam Konvensyen Tarbiyah Pas Pahang yang diadakan di KIAS Temin awal November baru-baru ini. Beliau juga memberi komentar berkenaan beberapa pandangan blogers dalam blog-blog mereka tentang pengisian kedua-dua pimpinan pada hari tersebut dan saya merasakan catatan santai saya sebelum ini berkenaan usrah juga termasuk dalam komentar tersebut.


Ulasan saya,


Jika komentar tersebut adalah merujuk kepada tulisan santai saya dalam blog ini yang bertajuk Antara Isi Penting Yang Menarik Dari Ayah Chik.., alhamdulillah dan ribuan penghargaan saya ucapkan. Kerdil dan bahagia rasanya diri apabila ada tokoh seperti beliau yang membaca dan membetulkan tulisan saya.


Bagi saya, Pas akan terus perkasa apabila budaya saling nasihat-menasihati dan tegur-menegur ini dapat diterima dengan saling berlapang dada di mana-mana peringkat ahli dan pimpinan sekali pun.


Dari sisi saya sendiri dengan tulisan santai tersebut, tidaklah bermaksud meremehkan kepentingan usrah. Alhamdulillah, semenjak saya bersama dengan jamaah ketika di Mesir lagi hingga ke hari ini, saya tidak pernah putus dari usrah. Saya dianggap oleh sesetengah rakan ketika belajar sebagai penggila usrah. Tahun 1 di Mesir sahaja saya mengikuti 2 usrah serentak, usrah tamhidi anak-anak Pahang dan usrah tamhidi Dewan Perwakilan Mahasiswa, Maahad Qiraat Al-Azhar. Hari ini, dengan amanah sebagai Pengerusi Lajnah Tarbiyah DPPNP ini, saya sedang memimpin usrah cawangan, usrah pemuda kawasan, usrah JKS, usrah professional dan usrah pelajar di beberapa buah institusi.


Sewaktu pulang dari Mesir berbekalkan sedikit pengalaman tarbiyah, saya bertekad dengan hati yang berkobar-kobar untuk meneruskan perjuangan bagi memperkasakan jamaah PAS pada memfokuskan diri dengan agenda tarbiyah dalaman jamaah. Itulah fokus kerja saya sekarang di samping turut mengembangkan usaha-usaha dakwah mengikut kemampuan yang saya rasa amat sedikit kalau nak dibandingkan dengan kepimpinan pemuda yang lain.


Saya tidak pernah pun bermimpi untuk memegang jawatan sebagai Pengerusi Lajnah Tarbiyah ini. Saya lebih berminat menjadi pembantu tegar dari menjadi ketua. Saya lebih suka menjadi sum-sum dalam tulang belakang yang menegakkan tubuh. Biarlah tubuh yang tampak tegak dan segak itu orang lain, cukuplah saya menjadi sum-sumnya. Tapi tuntutan semasa dan reality menempatkan saya di kedudukan ini. Sesekali rasa amat ghairah untuk membangunkan tarbiyah, sesekali rasa amat kerdil tatkala menyedari hakikat diri yang serba kekurangan. Namun, kerana amanah.. saya teruskan jua.


Catatan santai saya berkenaan usrah dalam artikel yang lepas ialah sedikit pandangan saya berkenaan ucapan TG Presiden tentang usrah. Berdasarkan pengalaman saya yang amat sedikit ini, saya sempat bertemu dengan ahli Pas yang pelbagai. Ada ahli yang komit dengan usrah dan komit dengan gerak kerja parti. Ada ahli yang komit dan minat dengan usrah tetapi agak culas dengan gerak kerja parti. Ada ahli yang komit dengan gerakkerja parti tetapi agak culas dengan usrah. Dan ada ahli yang culas kesemuanya, tetapi cakap berdegar-degar di kedai kopi.


Tarbiyah yang ideal, ialah apabila kita berjaya menggerakkan seluruh potensi ahli tersebut dengan seluruh mekanisme yang ada. Ahli yang kita cita-citakan ialah anggota parti yang komit dengan usrah, katibah atau mabit, tamrin, ijtima’ dan mukhayyam. Ahli yang memiliki nilai tambah melalui halaqah pengajian ilmu, daurah ilmiah, kursus kemahiran, latihan pengurusan dan kepimpinan dan lain-lain latihan yang diperlukan bersesuaian dengan Pas sebagai wadah siasah, dakwah dan tarbiyah.


Namun, tidak semua ahli tersebut memiliki kecenderungan yang setara. Ada yang minat sangat dengan usrah, tetapi tidak berminat dengan kursus latihan pengurusan. Ada yang minat sangat dengan majlis ilmu di surau dan masjid, tetapi payah untuk hadir usrah. Ada yang turun berbondong-bondong ke pertandingan futsal, tetapi sunyi ketika ijtima’. Ada yang suka berijtima’, tetapi tidak suka berdemonstrasi. Ada yang datang berkumpulan-kumpulan jika program rehlah tetapi seorang dua yang turun kalau namanya tamrin. Inilah kepelbagaian ahli kita.


Sebab itulah dalam tulisan artikel tersebut, saya merakamkan ucapan TG Presiden dalam konvensyen tersebut. Kita dari kalangan anggota tarbiyah semestinya terus berusaha melaksanakan aktiviti tarbiyah sesempurna dan semampu mungkin. Usrah mestilah diberi perhatian serius. Namun, janganlah mereka yang culas dengan usrah kita abaikan. Pelbagaikan mekanisme untuk membina mereka. Bagi golongan yang suka dengan kuliah maghrib tetapi culas usrah, kita jadikan pengisian kuliah dan sesi berborak selepasnya sebagai medan tarbiyah. Bagi golongan yang culas untuk hadir ijtima’ tetapi rajin turun main futsal, jadikanlah masa rehat selang riadhah tersebut sebagai ruang untuk menyampaikan ruh tarbiyah kepada mereka.


Ada pun bagi yang berminat dengan usrah, masih boleh diajak dengan usrah, ada kemahuan untuk berusrah, menjadi kewajipan kita untuk melaksanakannya dengan serius dan sebaik mungkin. Itulah maksud saya dari artikel tersebut, semoga tiada salah faham. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Ketua Lajnah Tarbiyah Dewan Ulama’ Pas Pahang kerana tarbiyah yang diberikan.. sudilah kiranya terus memberi komen kepada tulisan saya yang sangat memerlukan bimbingan dan tarbiyah dalam menyelusuri liku perjuangan ini..


No comments: