Saturday, 4 July 2009

Pedoman Ilahi Dalam Manhaj Tarbiyah Samawi


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تُطِيعُوا فَرِيقًا مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ يَرُدُّوكُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ كَافِرِينَ (100) وَكَيْفَ تَكْفُرُونَ وَأَنْتُمْ تُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ آيَاتُ اللَّهِ وَفِيكُمْ رَسُولُهُ ۗ وَمَنْ يَعْتَصِمْ بِاللَّهِ فَقَدْ هُدِيَ إِلَىٰ صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ (101) يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ (102) وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ (103) وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (104) وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ ۚ وَأُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ (105)

100. Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.

101. Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran) dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad s.a.w)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya dia telah beroleh petunjuk hidayat ke jalan yang betul (lurus).

102. Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

103. Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya.

104. Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

105. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah) dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar. [Aali Imran]

Beberapa Pengajaran Ringkas Ayat-Ayat Di Atas

1. Asbab An-Nuzul kepada ayat-ayat di atas adalah berikutan PERBALAHAN yang semakin membesar di kalangan umat Islam selaku anggota jamaah Nabi s.a.w. dari kalangan Aus dan Khazraj hasil dari perancangan jahat Yahudi-Nasrani yang cemburu melihat PERPADUAN ERAT di kalangan mereka hasil dari tarbiyah Nabi s.a.w.

HARI INI, perancangan jahat UMNO - Media Murahan – Perisik Upahan memecah belahkan kesatuan PAS melalui blog-blog, media cetak dan elektronik milik mereka

2. Antara modal yang digunakan sebagai umpan oleh Yahudi ialah memperbesarkan sedikit perbezaan kelompok, puak atau kecenderungan yang ada di kalangan mereka. Seperti di zaman sebelum datang Islam dahulu, mana yang lebih hebat antara moyang Aus atau moyang Khazraj.

HARI INI, mereka cuba pecahkan Jamaah PAS dengan wujudkan kelompok Profesional-Ulamak, Erdogan-Erbakan, Pro Muqabalah-Anti Muqabalah, Pro UG - anti UG dan sebagainya.

3. Yang menyedihkan ialah apabila anggota jamaah Nabi s.a.w. itu turut menari mengikut rentak musuh tersebut (rujuk ayat 100).Sikap mereka seolah-olah mereka tidak pernah disampaikan Al-Quran dan tidak ada Rasul yang mentarbiyah merekA (rujuk ayat 101)

HARI INI, turut menyedihkan ialah apabila anggota jamaah PAS itu turut menari mengikut rentak musuh yang ingin memecahbelahkan mereka. Sikap mereka seolah-olah mereka tidak pernah ditarbiyah dengan tarbiyah PAS dan tidak ada Murabbi atau Naqib yang membimbing mereka.

4. Punca permasalahan timbul apabila mereka cenderung untuk berpecah dan suka memanjangkan perbalahan sedangkan perpecahan dan perbalahan adalah saudara kepada kekufuran. Dalam ayat-ayat tersebut Allah s.w.t. mengumpamakan perpecahan yang berlaku seperti kembali kepada kekufuran (jahiliyyah).

HARI INI, permasalahan seperti sukar ditamatkan kerana masih ada individu tertentu yang masih menyentuh isu yang telah ditutup dan masih memperbesarkan perkara yang telah bersetuju didiamkan. Sehingga Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim terpaksa memberi amaran tindakan tatatertib akan dikenakan jika ada lagi yang menyentuh itu tersebut.

5. Dalam ayat 101, 102 dan 103 berulang kali Allah s.w.t. memerintahkan kita agar bersungguh-sungguh kembali kepada identity dan ketulenan Islam yang bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah dan jangan berpecah belah. Jangan terikut-ikut dengan tabiat musuh yang suka berbalah dan berpecah belah.

HARI INI, kita juga perlu kembali kepada identity dan ketulenan kita sebagai sebuah Jamaah dan Parti Islam. Kita berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Jangan terperangkap dengan identity yang lain. Kita bukan Sosialis walaupun ada di antara ajaran sosialis yang kena dengan Islam. Kita bukan Demokrat walaupun demokrasi itu ada nilai yang dekat dengan Islam dan begitulah selainnya. Apabila kita mengakui bahawa kebebasan bersuara itu adalah bersesuaian dengan Islam, tidak bermakna kita boleh bebas bercakap apa sahaja. Kebebasan tidak mutlak dalam Islam. Bila kita menyokong hak asasi manusia kerana sama dengan prinsip tiada paksaan dalam agama, tidak membawa maksud kita setuju untuk orang murtad. Bila kita bersetuju boleh mengkritik dan menegur pemimpin bukan bermaksud kita boleh membelakangkan akhlak menegur dan mengkritik yang diajar di dalam Islam.

6. Ayat 104 adalah ayat beramal, berdakwah, beramar makruf nahi mungkar, berjuang dan berpolitik. Ayat ini sering dibaca oleh kita bagi menegaskan soal kewajipan bekerja secara berjamaah (ummat) dalam menegakkan Islam. Tetapi kita sering lupa kepada ayat-ayat sebelumnya yang menjadi prinsip asas dalam menggerakkan usaha perjuangan tersebut. Seiring perjuangan dakwah dan siasah yang dituntut secara berjamaah, jangan mengabaikan proses tarbiyah bagi memastikan anggota benar-benar berpegang teguh dengan Islam dan bersungguh-sungguh memelihara Ukhuwwah.

HARI INI, dalam keghairahan kita berjihad, berdakwah dan berpolitik, mengapa kita meremehkan soal ketulenan identity dan ukhuwwah. Mengapa masih ada di kalangan kita yang mengatakan bahawa.. betullah ayat tu ayat Al-Quran, tapi… Dalam keghairahan kita menjaga hati penyokong kita dalam politik, tergamak kita menyindir, memperlekeh dan melukakan hati sahabat sesama jamaah dengan kita. Bukankah menyakiti dan melukakan hati mereka sama seperti menyakiti dan melukakan hati kita sendiri? Bukankah itu tuntutan ukhuwwah? Ataukah kita hanya beranggapan pemimpin kita hanyalah sebagai pemimpin politik semata-mata? Di mana nilai ukhuwwah persaudaraan???

7. Penekanan kepada berpegang teguh dengan ketulenan sumber memerlukan kita menghormati mereka yang ahli dan pakar dalam perkara tersebut. Ada orang yang menyangka mereka betul apabila mengkritik dan menyindir pemimpin secara terbuka di depan ramai atau dalam kenyataan media atau di dalam blog masing-masing. Menyebut dan menyentuh secara terang-terangan nama pemimpin yang mereka kritik dengan hujjah, ada sahabat yang mengkritik Saidina Umar dengan pedang – wahai Umar, jika engkau menyeleweng, pedang inilah yang akan meluruskanmu.

Hujjah tersebut diambil pengajarannya secara salah. Pengajarannya bukan bermaksud boleh mengkritik secara terang-terangan kepada pemimpin. Tetapi pengajarannya yang sebenar ialah keterbukaan jiwa seorang pemimpin yang menangani sikap ahli yang pelbagai tahapnya. Kalau semata-mata kerana Umar tidak marah, sikap lelaki tersebut boleh dianggap betul, maka lelaki badwi yang kencing dalam masjid di zaman Nabi pun boleh dianggap betul dan contoh kerana Nabi s.a.w. tidak membenarkan sahabat memukulnya lantaran ia kencing di dalam masjid.Kaedah mengkritik dan menegur pemimpin yang diajar oleh Nabi s.a.w. di dalam hadis-hadis bab menasihati Imarah atau pemimpin ialah – memegang tangannya dan membawa pemimpin tersebut bersendirian dan menegurnya. Dengan syarat pemimpin tersebut tidak melakukan KUFRAN BAWWAH – kekufuran yang terang-terangan.

Akal yang logik pun boleh menerima akhlak menegur seumpama ini. Bayangkan dalam konteks jamaah yang kecil iaitu institusi keluarga. Elokkah seorang isteri sebagai anggota keluarga yang dipimpin oleh seorang suami mengkritik dan menyindir suaminya di depan anak-anak atau di depan orang ramai? Bukankah dalam pendidikan anak-anak, demi menjaga kehormatan dan kewibawaan seorang suami dan ayah, maka si isteri sebaiknya menegurnya ketika mereka berdua-duaan? Demikian juga bukankah sangat beradab apabila ayah selaku Ulul Amri dalam konteks keluarga yang melakukan kesilapan ditegur oleh anak secara berdepan dan senyap-senyap. Elokkah seorang anak menegur dan mengklritik ayahnya di depan orang ramai apatah lagi menegur ayahnya di dalam media atau blog terbuka???

8. Pengajaran yang terakhir. Jika penyelesaian yang diarahkan oleh Allah s.w.t. dalam menghadapi kemelut perbalahan di kalangan sesama anggota jamaah Nabi s.a.w. ialah dengan suruhan berpegang teguh kepada ketulenan sumber dan memperkasakan ikatan ukhuwwah, maka demikianlah juga jalan yang mesti ditempoh oleh kita pada HARI INI. Mekanisme yang perlu diperkasa di setiap peringkat parti ialah TARBIYAH. Semua pimpinan dalam parti samada di peringkat pusat, negeri, kawasan dan cawangan mesti diwajibkan mengikut silibus dan manhaj tarbiyah kita. Semua ahli PAS (yang katanya hampir mencecah sejuta) mesti diusahakan agar semua mereka tidak terkecuali melalui proses tarbiyah mengikut silibus dan manhaj PAS walau pun setinggi mana kedudukan mereka. Ahli-ahli PAS dari kalangan bekas JIM, ABIM, Arqam, Tabligh, UMNO, Sosialis dan apa pun aliran silamnya mestilah mengikuti tarbiyah PAS dan menyerap bersama PAS sebagai sebuah Jamaah Islam bukan sekadar sebagai Parti Politik.


No comments: