Assalamualaikum wrt wbt
Ada orang yang berpendapat bahawa muktamar PAS baru-baru ini sebenarnya tidak menyelesaikan perbezaan dan isu besar yang berlaku dan tersebar di kalangan ahli (sila rujuk - http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=2209). Masih ada suara-suara di kalangan perwakilan antaranya dari Shah Alam, Dewan Muslimat, Perwakilan Kelantan dan sebagainya yang masih menyentuh tentang tidak boleh langsung berbuat baik, bermuzakarah atau berbincang dengan UMNO dan dalam masa yang sama tidak bersetuju (menolak?) idea kerajaan perpaduan yang dilontarkan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
Jiwa sedikit terasa damai apabila mendengar ucapan penutup Tuan Guru Presiden, ucapan Dato’ Mahfoz Omar, ucapan Ketua Dewan Ulama’ dan ucapan Ketua Dewan Pemuda yang baru. Saya menilai di sepanjang muktamar, ada perwakilan memuji idea kerajaan perpaduan di samping dalam masa yang sama berusaha menafikan berlakunya perpecahan di kalangan ulama dan professional. Kumpulan Ulama sebenarnya tidak langsung meremehkan peranan profesional dan begitu juga profesional tidak melekehkan ulamak.
Secara ringkasnya, inilah yang saya faham dan simpulkan dari Muktamar kita baru-baru ini :
1. Kita akan terus bersama dan berusaha memperkasa Pakatan Rakyat (PR)sebagai hasil ijtihad kita ketika ini demi kepentingan Islam.
2. Kita akan berusaha menguatkan pelaksanaan, amalan dan nilai-nilai Islam dalam negeri-negeri Pakatan Rakyat sesuai dengan identiti kita sebagai Parti dan Jamaah Islam.
4. Kita akan terus mengasak UMNO/BN yang kini semakin lemah sehingga ia terus pupus bersama kezaliman dan penyelewengannya.
5. Kita akan terus melebarluaskan usaha dakwah samada dengan jalan muzakarah, muqabalah dan sebagainya dengan sesiapa sahaja sama ada individu, badan kerajaan, NGO atau partai politik di dalam mahu pun di luar negara hatta dengan UMNO atau mana-mana komponen BN sekali pun.
6. PAS tidak boleh menutup ruang kepada mana-mana pihak, sebaliknya terbuka untuk menerima sesiapa sahaja demi kemanfaatan Islam dan kesejahteraan insan.
7. Muqabalah atau muzakarah tersebut tidak sesekali membawa maksud kita akan bergabung dengan UMNO atau BN. Kebencian dan permusuhan kita dengan UMNO, tidak sepatutnya menjadikan kita menutup terus ruang untuk melebarkan ruang dakwah kita kepada mereka.
8. Idea Kerajaan Perpaduan adalah lontaran pandangan Dato’ Seri Tuan Guru Presiden yang futuristik. Kerajaan Perpaduan bukan dan tidak sesekali bermaksud Kerajaan Campuran PAS dan BN. Idea ini perlu diperhalusi dan diperincikan.
9. PAS tidak pernah membezakan atau mengkategorikan ahli kepada ulamak, profesional atau aktivitis. Kesemua golongan ini adalah sebaris dalam perjuangan PAS. Setiap mereka berjasa dan banyak memberi sumbangan kepada PAS.
10. Kesemua ahli dan pimpinan PAS hendaklah mentarbiyah diri dengan adab dan akhlak berjamaah. Akhlak ahli dengan pimpinan, akhlak sesama pimpinan dan sesama ahli. Anggota PAS hendaklah menanamkan sikap berbaik sangka, menjauhi tuduh menuduh, memelihara kerahsiaan, tidak menyebarkan isu rumahtangga dalaman jamaah kepada pihak luar dan tidak cepat membuat kenyataan media dan terbuka tanpa dirujuk terlebih dahulu kepada anggota atau pimpinan yang terbabit.
11. PAS menafikan sama sekali wujudnya team erdogan atau pun pro muzakarah di dalam PAS. Kewujudan pembahagian team ini adalah mainan sensasi pihak media serta fitnah liar yang disebarkan oleh musuh dari luar.
12. PAS wajib memperkasakan kembali penghayatan ukhuwwah di kalangan anggota dan di kalangan sesama pimpinan bagi mempertahankan jatidiri dari serangan musuh-musuh yang ingin memecahbelahkan kesatuan PAS yang dicemburui mereka sekian lama.
Bagaimana jawapan yang sepatutnya saya berikan apabila ada ahli di peringkat bawahan bertanya ;
“MACAMANA SAYA INGIN MEMPERPETEGUHKAN PERASAAN HORMAT DAN SAYANG SAYA KEPADA SELURUH KEPIMPINAN YANG ADA JIKA DI SEPANJANG MUKTAMAR SAYA MELIHAT SENDIRI PERTEMBUNGAN DAN PERSELISIHAN DI KALANGAN PIMPINAN YANG SEPATUTNYA DI LEVEL MEREKA, MAMPU MENGURUS PERBEZAAN TERSEBUT SESAMA SENDIRI DENGAN BAIK…”
Entahlah, saya juga bingung memikirkannya….. Semoga Allah memelihara perjuangan ini, dan membersihkannya dari mana-mana individu atau golongan yang tidak ikhlas!
No comments:
Post a Comment