Berani atau dangkal?
Takut atau bijak?
Ini adalah antara beberapa persoalan yang menjadi dilemma kepada setengah sahabat-sahabat yang memiliki fikrah perjuangan bersama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tetapi memegang jawatan di dalam kerajaan samada pada posisi yang strategik untuk kepentingan dakwah atau pun tidak. Sebahagian dari mereka ini sangat-sangat ingin memberi khidmat dan memanfaatkan ilmu, kemahiran dan kepakaran yang mereka miliki kepada parti. Tetapi, dalam masa yang sama mereka terpaksa menghadapi beberapa sindiran berikut ;
1. Ada yang nak berjuang tapi takut. Nama pun pakai nama samaran. Abu Ali, Ibn Ahmad dan macam-macam lagi.
2. Heh! Nak berjuang sangat, tapi takut nama keluar Harakah! Kalau takut tak payah berjuang dengan Pas lah!
3. Takut sangat gambar keluar dalam blog Pas.. kalau takut tak payah jadi pemuda PAS!
4. Kenapa takut sangat kena buang kerja? Bukan majikan yang beri makan, bagi rezeki! Allah yang Maha Pemberi Rezeki!
Itulah sebahagian di antara sindiran lali yang kerap juga keluar dari mulut penggerak malah pemimpin PAS di peringkat bawahan (peringkat atasan rasanya lebih terbuka). Saya tidak salahkan mereka 100% kerana mungkin sahaja sindiran ini berlaku lantaran rasa lenguh dan letihnya mereka bekerja untuk memenangkan Islam sedang mereka melihat ramai sahabat-sahabat yang bekerja di institusi kerajaan yang memiliki kepandaian dan kemahiran yang lebih dari mereka tidak melibatkan diri atau pasif dengan gerak kerja jamaah. Tetapi perlukah tanggapan tersebut dibiarkan berterusan atau sindiran yang hanya menjauhkan itu dibiarkan begitu sahaja? Apa manfaatnya kepada perjuangan??? Inilah topic utama catatan saya kali ini.
Untuk memudahkan perbincangan ini, marilah kita menilai beberapa perkara berikut.
1) Apa untungnya kita meminta sahabat-sahabat yang bekerja kerajaan menonjolkan diri dan identity mereka sebagai petugas rasmi parti jika mereka tetap boleh menyumbang dan memainkan peranan secara efektif dengan merahsiakan identity tersebut?
2) Dalam ucapan pimpinan parti samada di peringkat nasional atau negeri berulang kali menyatakan bahawa kita mestilah menukar budaya kerja dan cara fikir kita untuk lebih bergerak maju. Di antaranya ialah kita mesti lebih menitik beratkan soal isi atau content dari sekadar kulit, luaran atau symbol . Kita tidak mahu gah di luar tapi isinya kosong. Mana yang lebih utama, kerjanya kah atau namanya?
3) Dalam pembahagian focus kerja yang ditetapkan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat, focus kerja unit dalam pemuda dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu focus politik, focus kemasyarakatan dan focus pembangunan sumber manusia. Lajnah dan jabatan dibahagikan kepada 3 kelompok kerja focus tersebut. Saya bersetuju jika sahabat yang berada di posisi kerja politik seperti memegang jawatan ketua pemuda, setiausaha, ketua penerangan atau seumpamanya, identiti mereka dipublisiti-kan kerana focus kerja mereka menuntut perkara tersebut. Tetapi apa untungnya posisi pembangunan sumber manusia seperti Jabatan Kerajaan & Swasta, Lajnah Pembangunan Remaja, Jabatan Pembangunan Mahasiswa, Lajnah Tarbiyah atau sebagainya dipublisiti-kan juga?
4) Sindiran kononnya golongan yang “menyorok “ ini sebagai penakut sebenarnya datang dari orang yang tidak bijak. Bukankah sifat Nabi s.a.w. itu “bijaksana”. Bijaknya Nabi s.a.w itu boleh dilihat di dalam peristiwa persembunyian Baginda bersama Abu Bakar di dalam gua Thur, program pembinaan sumber manusia yang rahsia di rumah Al-Arqam Ibn Abi Al-Arqam, perjanjian Hudaibiyah dan lain-lain lagi.
Apabila Nabi s.a.w. bersama Abu Bakar r.a. mengambil strategik berhijrah secara bersembunyi di gua thur, takutkah Nabi s.a.w.? Wal’iyazu bilLah. Mana mungkin Nabi s.a.w. yang sempurna imannya boleh berasa takut menghadapi tentangan musuh. Tapi mengapa mereka hijrah sunyi-sunyian?
Apabila Nabi s.a.w. mengadakan pertemuan secara rahsia dan tersorok di rumah Al-Arqam Ibn Abi AL-Arqam, adakah Nabi s.a.w. tidak berani melakukannya secara terang-terangan? Wal’iyazu bilLah dari tohmahan seperti itu.
Apabila Nabi s.a.w. bersetuju dengan perjanjian Hudaybiyah yang zahirnya tampak seperti mengalah dan menguntungkan Kafir Quraish, maka Nabi s.a.w. takut untuk berdepan dan bertempur? Sudah barang pasti tidak!
Inilah yang mungkin kurang difahami sebaiknya oleh sahabat-sahabat kita yang sangat bersemangat di dalam pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
5) Manakah yang lebih penting, sekadar gah melaung-laungkan diri sebagai Pemuda PAS atau menunaikan kerja yang diamanahkan secara efektif walaupun tidak dikenali?
Saya tidak bertujuan meremehkan sumbangan sahabat-sahabat yang bergiat langsung atau fulltime dengan parti. Mereka adalah insan mulia dan terpilih. Allah akan mengganjari komitmen mereka dengan parti. Kadang-kadang kita juga merasa cemburu dengan kesungguhan mereka dalam amal, jihad dan pengorbanan. Tulisan saya ini bertujuan membuka pemikiran setengah dari sahabat kita yang terkadang terlepas mulut atau cepat memandang lekeh kepada sumbangan orang lain, sementelah diri mereka hebat dalam perjuangan.
Kehebatan tidak diukur dengan terkenalnya kita. Inilah antara masalah pengukuran dalam jamaah kita. Penilaian hebat atau pun tidak, diukur berdasarkan popularity, kerap masuk akhbar, nama terpampang dan pandai berpidato. Betul, politik adalah syiar dan persepsi. Tetapi syiar dan persepsi bukanlah segala-galanya. Bendera yang banyak terpasang di sesuatu kawasan tidak semestinya menandakan kekuatan gerakkerja dan kualiti ahli parti di sesuatu tempat. Kita wajar mengambil kira soal solat jamaah, masjid dan surau yang hidup, majlis ilmu yang aktif, aktiviti pembinaan diri dan keluarga yang berjalan selari dengan gerakkerja pendaftaran pemilih, penculaan, memperbaharui pelan lokaliti dan lain-lain sebagai ukuran. Bukan semata-mata banyaknya ceramah umum dan ramainya bendera.
Kita berharap, tidak ada lagi suara-suara yang walaupun bersemangat, bisa mengguriskan hati sahabat-sahabat kita yang bekerja di institusi kerajaan. Mereka bukan tidak yakin dengan rezeki dari Allah s.w.t. Mereka sangat yakin. Tetapi apa untungnya mereka mengorbankan kerjaya mereka tanpa apa-apa sebab? Sengaja membiarkan diri dikenakan tindakan, diugut atau dibuang kerja atas alasan yang sangat remeh-temeh seperti nama terpapar dalam harakah atau web blog atau gambar ketika berprogram parti terpampang dalam internet, sedangkan perkara tersebut boleh dielak? Kalau ingin mengorbankan kerjaya mereka, biarlah atas alasan yang lebih bermanfaat. Contohnya, dengan terpampang nama dan gambarnya di khalayak ramai sebagai penggerak PAS, menatijahkan menang satu negeri kepada PAS. Kalau begitu, saya pun sanggup! Jika tidak, mengapa sengaja cari susah???
Sementelah lagi, bukan semua sahabat yang bekerja kerajaan itu sayang kepada kerjaya mereka semata-mata kerana bergaji lumayan.. tetapi disebabkan kerjaya tersebut sebahagiannya adalah posisi yang sangat strategik untuk dakwah dan medan yang subur untuk menyampaikan fikrah perjuangan Islam yang tidak dapat dicapai oleh sahabat pejuang yang membawa identiti sebagai petugas parti secara terang-terangan...
Berstrategi bukan bererti penakut sebagaimana berani bukanlah membuta tuli… Sama-samalah kita menggiatkan usaha memenangkan Islam di posisi mana sekali pun tanpa saling mengguriskan antara satu sama lain…
(Saya juga tidak menafikan, ada segelintir sahabat yang bekerja kerajaan, ditimpa perasaan takut yang melampau sehingga menjejaskan tanggungjawab mereka yang sepatutnya untuk dakwah dan jamaah)
1 comment:
Tuan,
Perlu difahami bahawa dalam suasana kerajaan demokrasi feudal ini, para pejuang perlu berfikir secara strategik dan matang.
Tiada gunanya tinggalkan satu ruang dakwah untuk pergi satu lagi ruang- ada kekosongan. Adakah aktivis PAS yang tidak kerja kerajaan akan pergi ke pejabat2 kerajaan untuk dakwahkan islam dan bukan islam di sana berkaitan islam.
Inilah tugas pekerja/pemuda PAS yang kerja dengan kerajaan DAN mereka perlu dilatih untuk bedakwah di tempat kerja mereka. Latih cara kritik, hentam, provokasi asalkan boleh jauyakn misi dakewah ini.
Post a Comment