Thursday, 23 October 2008

Kefahaman yang betul kepada hakikat tarbiyah

Assalamualaikum wrt wbt

Rasanya perlu untuk ana perjelaskan sedikit tentang tarbiyah di kesempatan ini. Mungkin timbul beberapa persoalan berkaitan dengan Manual Tarbiyah Teras Pemuda PAS Pahang atau ringkasannya MANTAP yang telah Lajnah Tarbiyah DPPNP edarkan ke kawasan-kawasan. Antaranya ialah:

  1. Adakah tarbiyah mencukupi selama 3 hingga 6 tahun seperti di dalam manual tersebut?
  2. Apakah tarbiyah semata-mata menumpukan aspek pembangunan mental (ilmu) semata-mata? mana tarbiyah jasadiyyah (sukan, kawad dsb)? mana tarbiyah idariyyah (kemahiran pengurusan pejabat)? mana? mana?

Adakah tarbiyah mencukupi selama 3 hingga 6 tahun seperti di dalam manual tersebut?

Jawapannya, tarbiyah adalah usaha yang berterusan. Sebab itu kita jelaskan di dalam manual tersebut bahawa ia berfungsi sebagai kayu ukur atau standart tarbiyah teras atau asas bagi pemuda PAS. Sekiranya setiap pemuda PAS Pahang dapat mengikuti program dan jadual yang ditetapkan, bermakna pemuda telah melepasi satu manhaj teras atau asas kepada tarbiyah tersebut, dan akan dikurniakan pengiktirafan berbentuk sijil.

Adapun selepas dari itu, pemuda yang melepasi peringkat tarbiyah teras ini tetap berkewajipan mengikuti program-program tarbiyah semasa yang di adakan samaada oleh lajnah tarbiyah DPPNP, lajnah tarbiyah Perhubungan Negeri, lajnah tarbiyah Dewan Ulama Negeri atau lajnah tarbiyah kawasan-kawasan di samping fokus terhadap kerja islam di peringkat masing-masing.

Setidak-tidaknya kita telah ada satu standart atau kayu ukur bahawa ini adalah ahli yang telah melalui tarbiyah teras dan ini adalah ahli yang belum melaluinya...

Apakah tarbiyah semata-mata menumpukan aspek pembangunan mental (ilmu) semata-mata? mana tarbiyah jasadiyyah (sukan, kawad dsb)? mana tarbiyah idariyyah (kemahiran pengurusan pejabat)? mana? mana?

Satu perkara yang mesti difahami oleh semua pemuda PAS Pahang ialah, tarbiyah adalah satu usaha yang besar dan maha penting yang semestinya menjadi tanggungjawab semua pihak, malah organisasi pemuda itu sendiri. Tarbiyah yang menyeluruh adalah tarbiyah yang meliputi usaha memperkasakan potensi manusiawi meliputi rohani, jasmani, mental dan emosi. Tarbiyah mestilah melibatkan kemahiran politik (tarbiyah siasiyyah), pengurusan organisasi (tarbiyah idariyyah), kemahiran berjamaah (tarbiyah harakiyyah), aktiviti pembersihan jiwa (tarbiyah ruhiyyah), program kesihatan (tarbiyah jasadiyyah), program kebajikan dan kemasyarakatan (tarbiyah ijtimaiyyah) dan lain-lain. Ini adalah tugas sebuah organisasi, bukan tugas satu lajnah. Ianya melibatkan seluruh AJK dan exco pemuda di semua peringkat.

Dalam konteks berorganisasi, di sana ada perkara yang disebut sebagai pembahagian tugas dan fokus kerja. Lajnah Tarbiyah mengfokuskan kepada pembangunan fikrah dan ruhiyyah di samping mengambil kira riadhah dan kemahiran pelbagai di dalam program-program yang dijalankan. Namun, fokus membangunkan kemahiran politik adalah kerja Lajnah Pilihanraya atau Politik. Fokus membangunkan fizikal dan kesihatan ialah kerja Lajnah Kebudayaan, Kesenian & Sukan. Fokus kemahiran kebajikan dan kerja-kerja kemasyarakatan adalah fokus Lajnah Kebajikan, Unit Amal dan sebagainya.

Sebab itulah pengisian manhaj tarbiyah pemuda PAS Pahang (MANTAP) yang dikeluarkan oleh Lajnah Tarbiyah DPPNP banyak mengfokuskan kepada pembinaan fikrah (mental atau intelektual) dan ruhiyyah (rohani atau spiritual) dengan harapan besar, agar setiap lajnah memainkan peranannya untuk sama-sama membantu mentarbiyah ahli mengikut skop masing-masing dalam rangka melahirkan pejuang pemuda PAS yang berilmu, memiliki kemahiran pelbagai dan berkualiti!

KALAU ADA ORANG BERANGGAPAN INI HANYALAH SATU KHAYALAN INDAH… SAYA TETAP BERTEGAS MENGATAKAN BAHAWA, INILAH KEPERCAYAAN DAN KEYAKINAN KAMI!... TARBIYAH MAHA PENTING DEMI MELAHIRKAN PEJUANG BERKUALITI BAGI MENDOKONG SEBUAH KEMENANGAN!!!

No comments: