Sunday, 26 October 2008

Selamat Hari Lahir Ayahanda, Sudah 61 Tahun Usiamu..


Tuan Guru Lahir Pada Hari Hartal

Oleh : Ustaz Zolkharnain Abidin, AJK DPP Pusat


SATU

20 Oktober 1947. Hari ini adalah hari hartal iaitu mogok ekonomi. Pada hari ini semua kedai, premis, pelabuhan, panggung wayang, di tutup. Semua pekerjanya mogok. Hari bersejarah dalam perjuangan rakyat menuntut kemerdekaan. Ia berlaku sepuluh tahun sebelum merdeka (klik gambar untuk besarkan).

Mogok ini bukan sekadar protes tetapi kebangkitan, perjuangan pengorbanan. Kebangkitan untuk mempertahan dan menghalau. Perjuangan untuk pembebasan. Pengorbanan untuk kedaulatan dan maruah bukan untuk kepentingan diri, keluarga, tetapi demi negara dan bangsa. Demi generasi dan warga. Mogok ini membuktikan kekuatan, kesepaduan dan kesediaan melawan sesiapa
sahaja terutamanya penjajah. (Baca SINI)

Bulan Disember 1946 di Melaka dalam kongres PKMM, Dr Burhanudin al-Helmy, Yang DiPertua PKMM mengungkapkan sajaknya yang terkenal (baca SINI):

Di atas robohan kota Melaka
Kita dirikan jiwa merdeka
Bersatu-padulah seluruh baka
Tuntut hak keadilan pusaka.

DUA

20 Oktober 1947, hari ini, Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Hj Abdul Hadi Awang diputrakan. Kini beliau adalah ketua bergelar Presiden kepada sebuah gerakan Islam tersohor. Diiringi kekuatan dan kelemahan, pujian dan kutukan, sanjungan dan tohmahan, senyuman dan tangisan, suka dan duka, hidupnya dipasrahkan kepada sebuah perjuangan yang diyakininya benar.

Tangisan kelahiran susuk ini diiringi perjuangan. Perjuangan rakyat. Tangisan itu seolah-olah satu perjanjian. Tunggu, suatu hari nanti perjuangan kalian akan ku teruskan. Kini janji itu dikotanya.

Baginya perjuangan ini bukan untuknya, atau keluarganya, atau koceknya, atau dunianya tetapi untuk kehidupan selanjutnya. Dia senang dengan jalannya. Dukanya adalah sukanya dan tangisannya adalah senyumannya.

Dengan langkah perwiranya, dengan ruh jihadnya, dengan lantang dakwahnya, dia menemui semua orang, samada orang itu suka atau benci kepadanya. Dia memimpin semua orang samada orang itu mahu dipimpin atau tidak.

Kalau orang itu sakit dialah doktornya, kalau orang itu tempang dialah tongkatnya, kalau orang itu jatuh dialah penopangnya.

Pujian ini tidak keterlaluan tetapi menyatakan hakikat. Pujian ini bukti kasih sayang. Pujian ini bukti ketaatan dan kesetiaan. Pujian ini tidak mengharap apa-apa. Pujian ini adalah doa dan harapan. Pujian ini adalah bukti penyertaan.

Teruskan langkahmu wahai tuan guru. Kami bersamamu. Kami tidak akan berkata seperti kata pengikut nabi Musa, "Pergilah kamu berjuang, kami akan duduk di sini menunggu hasilnya".

sumber : http://bongkarsauh.blogspot.com/


No comments: