Sunday, 1 February 2009

Presiden PAS dan rombongan pimpinan serah dana RM 250,000, tinjau penderitaan Gaza


Harakahdaily

Sat | Jan 31, 09 | 12:07:29 am


RAFAH, Mesir 31 Jan (Hrkh) - Bendahari PAS Dr Hatta Ramli memaklumkan kepada Penolong Pengarang Harakahdaily Azamin Amin melalui sistem pesanan ringkas (sms) bahawa Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan 20 anggota rombongan PAS telah berjaya menyampaikan sumbangan bantuan kemanusiaan PAS sejumlah RM250,000 untuk meringankan derita penduduk Gaza di Palestin.


Kata Dr. Hatta yang kini berada di sana, Ustaz Hadi dan rombongan termasuk sembilan ahli parlimen PAS mahu melihat sendiri kemusnahan yang dialami rakyat Palestin di samping menyumbangkan sedikit sebanyak bantuan kemanusiaan bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung umat Palestin akibat serangan Zionis.


Rombongan pimpinan PAS yang berlepas ke Mesir 28 Januari lalu telah selamat tiba di Rafah semalam dan dalam usaha menuju ke Gaza, Palestin.


"Rombongan Presiden PAS telah mendapat taklimat daripada Duta Malaysia di Mesir dan turut mendapat sokongan namun kerajaan Mesir tidak membenarkan kami memasuki Gaza, dan masih berada di Rafah," katanya melalui sms tersebut.


Sebelum itu katanya, mereka telah melawat Hospital Arish pada sebelah paginya untuk melihat mangsa serangan Israel ke atas Palestin."Ramai sukarelawan pelbagai bangsa kecewa kerana tidak dapat sumbang bakti di Gaza akibat peraturan ketat kerajaan Mesir,"katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.


Arish jauhnya 40 kilometer dari Rafah dan adalah bandar berhampiran dengan sempadan antara Mesir dengan Palestin. Di hospital itu katanya Tuan Guru Presiden PAS telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa serangan Zionis Isreal.


"Selain itu, Presiden dan rombongan dalam rangka lawatan menemui para pemimpin Ikhwan di Mesir, kemudian Damsyik, Beirut dan Amman seterusnya berjumpa dengan pemimpin Hamas sendiri.


"Objektif utama selain menyalurkan pelbagai jenis bantuan, Presiden dan pimpinan PAS mahu berbincang dan merangka bersama-sama pemimpin tersebut mekanisme dan tindakan terbaik bagi mengatasi kesengsaraan yang dihadapi penduduk Palestin khususnya Gaza disamping menilai sendiri kemusnahan yang dialami untuk tujuan bantuan seterusnya ," katanya.


Keesokannya (31 Januari, hari ini), rombongan pimpinan PAS itu akan berlepas ke Damsyik untuk menemui pemimpin tertinggi Hamas, Khalid Meshaal bagi meneliti langkah-langkah selanjutnya untuk rakyat Palestin khususnya melibatkan pembangunan semula Gaza dari segi modal insan, pendidikan dan ekonomi.


"Kami seterusnya akan melalui jalan darat ke Beirut menemui pemimpin gerakan Islam termasuk Hamas dan Fathi Yakan untuk berbincang masalahummah dan tindakan terdekat. Destinasi terakhir ialah Jordan untuk menemui pimpinan Ikhwan Muslimin dan untuk dapat taklimat tentang Tebing Barat.


"Jumlah sumbangan PAS sebanyak RM250,000 yang diterima daripada pelbagai pihak dan masyarakat prihatin di Malaysia telah berjaya kita sampaikan," katanya.


Selain beliau dan Presiden, ahli parlimen yang turut serta dalam rombongan ialah Salahuddin Ayub (Kubang Kerian dan Ketua Pemuda PAS), Dr. Dzulkifli Ahmad (Kuala Selangor), Dr. Lo' Lo' Ghazali (Tititwangsa), Dr. Mujahid Rawa (Parit Buntar),Mohd Nasir Zakaria (Padang Terap), Dr. Hayati Othman (Pendang), Roslan Shaharum (Bukit Gantang) dan beberapa akitivis yang lain.


"Terima kasih atas doa, sumbangan dan keprihatin orang ramai kepada rakyat Palestin dan semoga semangat perjuangan sentiasa disemarakkan dan doakan kami selamat kembali," kata Dr Hatta dalam sms ketujuh kepada Azamin lewat jam 10.00 malam semalam. - azm


Catatan dari Abu Amirah :


Alhamdulillah, bersyukurlah kita selaku ahli, pendokong dan penyokong PAS khususnya dan rakyat Malaysia amnya lantaran kita memiliki barisan pemimpin yang sangat prihatin dan bersungguh-sungguh membela nasib umat Islam di Gaza. Tidak silap lagi, inilah pemimpin alternative kepada pemimpin sekuler nasionalis yang ada jika kita ingin nasib umat Islam dan kemanusiaan di mana sahaja terbela.


Bayangkan jika satu ketika nanti Malaysia yang dipimpin oleh PAS bersama Indonesia yang dipimpin oleh PKS menerajui agenda Islam, keadilan dan kemanusiaan di asia tenggara bergabung dengan AKP-Saadat yang memimpin Turki (Syabas Erdogan!) dengan sokongan padu dari kerajaan Pakistan yang dipimpin oleh Jamaat Islami bergabung dengan kerajaan Mesir pimpinan Ikhwan Muslimin disamping sokongan yang tidak berbelah bagi oleh kerajaan Taliban di Afghanistan, Jamaah Islamiyyah di Lubnan beraksi di peringkat antarabangsa untuk secara serius membela dan membantu Hamas di Palestin…….


Mungkin ada orang yang berkata saya hanya bermimpi di siang hari. Tak apalah, sekurang-kurangnya saya memiliki impian dan merasa optimis dengan mimpi ini….… anda?


1 comment:

rantong said...

Sekadar ingat mengingatkan. Jangan lupa selalu berdoa untuk saudara kita di Palestin. Doa Qunut Nazilah

“Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuham, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”
Sumber: JAKIM
View Profile: Rantong