Thursday, 19 March 2009

Demonstrasi ; Di Antara Medium Dakwah, Siasah, Tarbiyah & Tazkiyah Yang Efektif


Demonstrasi Membantah PPMSI


Alhamdulillah, ramai dari kalangan pemuda PAS Pahang yang menyertai demonstrasi membantah Pengajaran dan Pembelajaran Matematik & Sains Dalam Bahasa Inggeris atau singkatannya PPMSI yang diadakan pada 7hb Mac 2009 bersamaan hari Sabtu yang bermula di Masjid Negara dan seterusnya sekitar perjalanan ke Istana Negara baru-baru ini. Tulisan saya pada kali ini bukan bertujuan untuk membentangkan hujjah dan fakta mengapa kita bersama-sama pelbagai golongan membantah PPMSI tersebut kerana isu ini boleh diibaratkan sudah terang lagi bersuluh. Banyak tulisan-tulisan, pandangan-pandangan dan ucapan-ucapan yang menjelaskan perkara tersebut dalam media-media alternative, bukan sahaja disampaikan oleh tokoh-tokoh politik, malah juga pakar-pakar bahasa, golongan pendidik, sasterawan Negara, seniman dan lain-lainnya. Apa yang ingin saya catatkan kali ini adalah berkenaan DEMONSTRASI itu sendiri. Terlebih dahulu saya meminta maaf lantaran agak terlewat menulis berkenaan topic ini, lantaran kesihatan yang sering terganggu kebelakangan ini menjejaskan komitmen untuk menulisnya.

Persepsi Terhadap Demonstrasi

Mungkin ada sesetengah orang yang berpendapat, demonstrasi adalah perbuatan sia-sia dan tidak bermanfaat. Bagi mereka, demonstrasi tidak mampu mengubah apa-apa serta hanya mencetuskan huru-hara. Pedulikanlah pandangan dangkal tersebut kerana bagi kita, ‘kemanisan hanya dikecapi oleh orang yang berjuang’. Tulisan saya pada kali ini akan cuba mendatangkan bukti dan hujjah bagaimana demonstrasi pada realiti perjuangan hari ini dan dalam konteks perjuangan di Malaysia adalah salah satu dari medium tarbiyah dan tazkiyah di samping sebagai medium dakwah dan siasah yang efektif.

Demonstrasi Sebagai Medium Dakwah & Siasah

Dari sudut DAKWAH dan SIASAH, kita sedia maklum bagaimana demonstrasi sangat membantu dalam menyampaikan sesuatu isu yang dibangkitkan samada kepada masyarakat di dalam Negara dan masyarakat antarabangsa. Bayangkan, bagaimana usaha untuk menyampai dan mengembangkan Islam yang sebenar lagi syumul sebelum ini dikekang dari pelbagai sudut. Kita tidak mungkin lupa kepada kezaliman UMNO/BN sebagai Firaun bangsa ini yang telah menarik bantuan perkapita kepada sekolah-sekolah agama rakyat (SAR) sehingga membawa kepada penutupan sebahagian dari SAR tersebut. Demikianlah kita tidak boleh lupa bagaimana dulunya para Ulama dan pendakwah digam, surau dan masjid dikawal dengan mengeluarkan pelbagai pekeliling serta dilantik AJK bukan dari kalangan pilihan ahli qaryah, surau-surau di palang, tazkirah taraweh di bulan Ramadhan dilarang, akhbar dan majalah alternative disekat, ceramah-ceramah politik Islam tidak diberikan permit malah terus menerus diganggu walaupun diadakan di dalam permis sendiri dan pelbagai lagi usaha untuk menghalang rakyat dan masyarakat awam dari mendapat maklumat dan kefahaman yang sebenar kepada hakikat Islam sebagai satu system hidup yang menyeluruh dan dinamik.

Segala sekatan dan kekangan ini berlaku di dalam Negara yang mendakwa menjunjung system demokrasi berpelembagaan. Atas asas dan reality inilah, PAS meletakkan strategi untuk memperjuangkan isu ketulenan demokrasi sebagai membuka jalan kepada segala sekatan dan halangan tadi. Kita percaya, sekiranya ruang demokrasi dijalankan secara telus, dengan makna setiap rakyat diberi hak kebebasan untuk berhimpun secara aman, berpesatuan, berpolitik, bebas memiliki media cetak dan elektronik mereka sendiri dan sebagainya ia akan lebih menguntungkan dakwah Islam. Namun, hak ini juga dinafikan. Bagaimana untuk menyampaikan maklumat berkenaan kepentingan mengembalikan ketulenan demokrasi kepada rakyat amnya dalam keadaan segala medium tadi semakin disempitkan? DEMONSTRASI adalah jawapannya. Kesan dari demonstrasi BERSIH sebagai contoh, bukan sahaja membuka mata rakyat terhadap kezaliman UMNO/BN malah menyedarkan masyarakat antarabangsa bahawa demokrasi di Malaysia adalah sangat corot dan ketinggalan. Situasi ini sedikit sebanyak memberi tekanan kepada kerajaan UMNO/BN dan menyuntik kesedaran yang tidak sedikit kepada rakyat dipelbagai peringkat sehingga membawa kepada TSUNAMI POLITIK pada PRU Mac 2008 yang membawa kepada perubahan iklim politik dalam Negara kita. Hari ini, negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat (PR) membuka ruang yang seluas-luasnya untuk perkembangan gerakan dakwah dan amal islami. Inilah kesan yang tidak boleh dianggap remeh dan kecil dari sebuah DEMONSTRASI kepada ruang dakwah dan siasah.

Demonstrasi Sebagai Aktiviti Tarbiyah

Sekarang mari kita lihat sumbangan DEMONSTRASI kepada sektor TARBIYAH. Pertamanya, membariskan demonstrasi sebagai salah satu medium tarbiyah bukan bermaksud kita menafikan kepentingan USRAH, MABIT, IJTIMAK, QIAM, TAMRIN, HALAQAH ILMU, DAURAH dan sebagainya sebagai medium tarbiyah yang penting. Perkara tersebut sangat kita sedia maklum. Sudah berulang kali kita membangkitkan di dalam pertemuan-pertemuan kita terhadap kepentingan dan keutamana segala aktiviti tersebut kepada jamaah atau parti kita. Namun, janganlah pula kita memandang remeh terhadap DEMONSTRASI. Dari sudut TARBIYAH, aktiviti demonstrasi sangat membantu kepada pengukuhan beberapa perkara disiplin asas dalam gerakan Islam. Antaranya ialah, menyuburkan prinsip WALA’ dan TAAT kepada arahan kepimpinan. Bukankah kita diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. agar dengar dan taat kepada pimpinan samada pada perkara yang kita suka atau tidak? Demonstrasi memang tidak menyenangkan, tetapi ketika inilah kita mengasah sifat DENGAR dan TAAT.

Demikianlah juga DEMONSTRASI melatih jiwa JIHAD dan PENGORBANAN. Jihad melawan hawa nafsu yang sentiasa memilih kesenangan dan kerehatan serta berkorban wang, masa dan tenaga yang tidak sedikit. Pengalaman kita dalam demonstrasi termasuklah demo membantah PPMSI ini, bukan sahaja menguatkan UKHUWWAH dari kalangan rakan serombongan dan sejemaah, malah melahirkan sifat TA’AWUN (tolong-menolong) di antara satu sama lain di kalangan peserta demonstrasi khususnya ketika menghadapi provokasi dan tindakan biadap pihak berkuasa (binatang ternak atau al-an’am kerana ada otak tapi tak berakal, ada hati tapi tak berperasaan). Kita saling bantu membantu berkongsi air mineral dan garam ketika berusaha meneuteralkan asid tembakan bom asap dan water conan, melindungi orang tua, kanak-kanak dan kaum wanita kita, saling tegur menegur agar semua mampu mengawal perasaan serta tidak bertindak ganas dan sebagainya. Kita lansung tidak berniat untuk melakukan keganasan. Kita datang tanpa membawa apa-apa senjata melainkan sekeping hati yang disaluti kesedaran bahawa harus ada orang yang berani berkorban demi sebuah masa depan yang lebih baik bagi generasi akan datang. Walaupun yang dikorbankan itu hanyalah segumpal SIFAT PENAKUT.

Samada demo BERSIH mahupun Bantahan PPMSI, kita berhimpun bukan untuk keuntungan peribadi sesiapa. Kita berhimpun untuk kebaikan Islam dan generasi masa hadapan. Kita tidak mahu, anak cucu kita mewarisi kebobrokan hidup samada dalam sector politik, ekonomi, social, pendidikan mahupun akal budi lantaran kecelakaan sesetengah pemimpin dan penguasa yang gila kuasa dan bernafsu buas. Perjuangan kita adalah untuk kebaikan generasi anak-anak masa depan termasuklah anak-anak polis dan FRU yang menghalang dan menyerang kita dengan ganas dan kasar. Biarlah, sejarah masa depan akan membenarkan tindakan kita pada hari ini

Demonstrasi Sebagai Wasilah Tazkiyah

Dari aspek TAZKIYAH, demostrasi adalah medan membersihkan SIFAT MAZMUMAH iaitu PERASAAN TAKUT yang melampau kepada makhluq. Secara TEORInya, kita telah mempelajari dan memahami di dalam liqa’-liqa tarbawi samada usrah, tamrin dan sebagainya bahawa – tiada ketakutan kepada makhluk melebihi ketakutan kita kepada Allah – kita faham bahawa Allah s.w.t. adalah Ad-Dhaar dan An-Naafi’ iaitu Yang Memberi Mudharat dan memberi Manfaat. Tiada manfaat dan mudharat yang berlaku tanpa seizinNya. Kita tahu bahawa keberanian tidak akan memudharatkan kita tanpa seizinNya dan ketakutan tidak menjamin selamatnya kita dari ketetapanNya. Orang yang berperang tidak semestinya mati dan orang yang enggan berperang, tidak semestinya selamat dari mati. Inilah keyakinan kita secara teorinya yang kita perolehi dari perbincangan dan resolusi di dalam usrah, tetapi adakah ia benar-benar membersihkan jiwa kita dari perasaan TAKUT yang melampau tersebut?

Sebagai contoh, sifat KEDEKUT tidak akan terus hilang dari diri kita dengan semata-mata kita hadham membincangkan nas berkaitan kebaikan infak dan keburukan kedekut secara teori. Ia hanya akan hilang apabila aktiviti infak itu dibudayakan secara praktikal. Demikianlah juga sifat PENAKUT. Ia juga memerlukan aktiviti secara praktikal. Inilah yang diajar oleh Allah s.w.t. kepada kaum yang penakut seperti yang dirakamkan di dalam surah Al-Baqarah ayat 243-244 :

“Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang ke luar dari kampung halaman mereka, sedang mereka beribu-ribu (jumlahnya) karena takut mati; maka Allah berfirman kepada mereka: "Matilah kamu, kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah mempunyai karunia terhadap manusia tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.

Dan berperanglah kamu sekalian di jalan Allah, dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Allah s.w.t. mematikan mereka setelah mereka melarikan diri dari kerana takutkan mati untuk memahamkan mereka bahawa mati bukan kerana musuh atau wabak penyakit, tetapi berlaku kerana ajal yang telah ditetapkan Allah. Apabila sampai ajalnya, tanpa musuh dan penyakit pun kamu tetap akan mati. Untuk membuang perasaan takut itu, Allah s.w.t. memerintahkan dengan suruhan berperang kerana berperang adalah medan praktikal untuk membuktikan keberanian kita dalam perjuangan.

Tarbiyah & Jihad Adalah Gerak Kerja Seiring

Di sana juga mungkin ada orang yang berpendapat, dalam sirah Rasulullah s.a.w., Baginda membina (tarbiyah dalaman jiwa) terlebih dahulu selama 12 tahun dalam fatrah (tempoh) Makkah kemudian barulah diturunkan perintah jihad ketika di Madinah. Oleh itu, sebelum bertempur dengan musuh, kita kena bina jiwa anggota semantap-mantapnya terlebih dahulu. Saya boleh bersetuju dengan pendapat tersebut dari sudut – anggota mesti di bina jiwa mereka semantap-mantapnya. Tetapi saya tidak bersetuju jika proses pembinaan tersebut menjadikan kita menangguh tuntutan jihad dan gerak kerja mendepani halangan dan musuh di jalan dakwah. Sirah tidak wajar di lihat secara rigid dan beku. Sekiranya kita berhujjahkan dengan hujjah tersebut, bagaimana dengan sahabat yang memeluk Islam ketika jihad telah disyariatkan? Adakah sirah menunjukkan bahawa apabila datangnya perintah jihad maka Nabi s.a.w hanya mengarahkan sahabat yang telah dibina selama 12 tahun di Makkah sahaja yang perlu keluar berperang sementara sahabat yang baru tidak perlu? Bukankah ke semua sahabat diperintahkan dan digalakkan berjihad tidak kira lama mahu pun baru memeluk Islam? Adakah kita ingin berhujjah dengan menggunakan sirah secara rigid bagi membenarkan orang Islam boleh tidak solat selama 10 tahun kerana mesti dibina jiwa dan keimanannya terlebih dahulu dalam tempoh tersebut?

Tarbiyah dan tazkiyah adalah proses berterusan. Medan tarbiyah dan tazkiyah ada berbentuk teori dan ada berbentuk amali. Kedua-duanya perlu digerakkan secara seimbang.

Kesimpulannya, DEMONSTRASI atas isu yang bersesuaian dengan matlamat Islam, dalam konteks suasana dan reality di Malaysia sangat relevan sebagai medium tazkiyah, tarbiyah, dakwah dan siasah kepada anggota jamaah Islam khasnya Parti Islam Se-Malaysia (PAS)


2 comments:

Dr Halimah Ali said...

Salam Ziarah dan Jihad,

Terima kasih dan JZKKK untuk artikel

di atas.

Abu Amirah As-Salimbari said...

Wassalamualaikum wrt wbt

Terima kasih YB Dr,

wah, pusattarbiyah di lawati tokoh..