Monday, 8 February 2010

Keputusan Jawatankuasa Disiplin Perlu Di Taati - Nasharudin

Berikut adalah temuramah ringkas pihak ANN bersama YB Ust Nasharudin Mat Isa di KLIA sejurus sebelum beliau berangkat ke Doha, Qatar.

nasha-klia

ANN : Selepas Jawatankuasa Disiplin PAS membuat keputusan dengan memberi amaran kepada Pesuruhjaya Pas Selangor, YB Dato Dr. Hasan Ali dan menggantung jawatan parti selama 6 bulan kepada Yang DiPertua PAS Shah Alam, YB Khalid Samad, kedengaran suara-suara dikalangan blogger, ahli dan pimpinan PAS sendiri yang tidak berpuashati terhadap hukuman tersebut,lebih-lebih lagi dikalangan pengikut dan rakan-rakan YB Khalid Samad. Bagaimana YB melihat perkembangan tersebut?

YB Nasharudin : Selepas keputusan keluar masih terdapat respon-respon yang seolah-olah mempertikaikan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Disiplin tersebut. Saya ingin memberikan nasihat dan pandangan di sini. Pertamanya, keputusan jawatankuasa disiplin itu adalah keputusan yang dibuat secara kolektif oleh jawatankuasa bukan oleh individu, bukannya oleh pengerusi jawatankuasa disiplin dan sudah tentulah selepas menerima bahan-bahan bukti yang sewajarnya dan selepas mengadakan perbincangan dan juga selepas mengadakan soal jawab bersama mereka yang terlibat, keputusan tersebut telah dibuat.

Isunya saya lihat ada beberapa kenyataan termasuk kenyataan yang keluar daripada pimpinan Dewan Pemuda yang merupakan salah seorang ahli jawatankuasa pemuda yang mempertikaikan keputusan tersebut.

Ini adalah sebuah jamaah Islam, sebuah gerakan Islam, sebuah parti Islam yang mempunyai disiplinnya sendiri. Disiplin itu adalah disiplin untuk kita mentaati keputusan parti. Memang parti tidak pernah menyekat seseorang untuk memberikan pandangan, pendapat dan sebagainya, tetapi pandangan dan pendapat itu mestilah dalam kerangka jamaah itu sendiri, dalam kerangka Islam,dalam kerangka adab dan akhlak Islam.

Saya melihat mempertikaikan kenyataan/keputusan jawatankuasa disiplin ini adalah sedikit keterlaluan kerana saya sebutkan tadi keputusan itu dibuat secara kolektif dan bagi saya keputusan ini bukan sekadar perlu dihormati tetapi perlu ditaati keputusan tersebut kerana itu mewakili parti dan ianya telah dibuat dengan penilitian dengan bahan bukti dengan temubual dengan mereka yang berkenaan dan bukan sesuatu yang dihasilkan oleh individu-individu tertentu di dalam jawatankuasa tersebut.

Jadi disiplin ini adalah disiplin yang perlu kita fahamkan kepada seluruh ahli bahawa sebuah jamaah Islam, kita perlu akur kerana ianya bukan melanggar syarak tetapi cuba melaksanakan tuntutan syarak itu dan kalau terus menerus mempertikaikan keputusan-keputusan parti dan juga keputusan jawatankuasa disiplin ini akan menimbulkan suasana yang tidak sihat di dalam parti dan boleh membawa kepada keretakan yang akan memberikan kesan yang negative kepada parti kita.

Saranan saya adalah sepertimana juga yang telah disebut oleh Yang Berbahagia Setiausaha Agong dan pengerusi Jawatankuasa Disiplin. Sebagai Timbalan Presiden, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberikan peringatan kepada ahli-ahli kita bahawa keputusan parti dan dalam konteks ini yang diwakilkan kepada jawatankuasa disiplin, harus ditaati dan tidak perlu dibuat ulasan-ulasan yang boleh menimbulkan spekulasi yang berbagai tentang keadaan di dalam parti kita. Kalau ada permasalahan yang tidak puas hati, bawa ke dalam parti. Kita punya mekanisma tertentu di dalam parti yang boleh kita bangkitkan sesuatu isu ataupun menyelesaikan sesuatu isu bukan untuk dibawa urusan rumahtangga ini kepada media luar untuk diketahui oleh seluruh dunia.

Mungkin ramai orang yang pandai menulis, yang pandai berikan pandangan/pendapat, tetapi sekali lagi mestilah di dalam kerangka yang telah ditetapkan oleh parti sendiri.

ANN : Perlukah tindakan dikenakan terhadap ahli jawatankuasa dewan pemuda yang mengeluarkan kenyatan terbuka mempertikaikan keputusan jawatankuasa disiplin tersebut?

YB Nasharudin : Saya difahamkan Dewan Pemuda sudahpun membuat satu perbincangan khabarnya kebarangkalian tindakan yang diambil ke atas exco yang berkenaan. Bagi saya Dewan Pemuda harus firm disini, harus bertegas dalam konteks ini kerana ianya melibatkan keseluruhan dewan itu dan juga keseluruhan parti. Jadi, mereka harus bertegas untuk tindakan yang sewajarnya dikira perlu untuk diambil bagi memastikan ianya tidak menjadi satu kanser yang akan merebak di dalam parti.

------------------------------------------------------------

Perpaduan Adalah Tuntutan Al-Quran

ANN : Seperti yang dilaporkan oleh media sebelum ini, YB pernah menyeru supaya umat Islam bersatu termasuk dalam isu kalimah Allah. Bagaimana YB melihat keperluan untuk umat Islam bersatu?

YB Nasharudin : Al-Wehdah atau bersatu ini bukan pandangan saya. Penyatuan saff dikalangan orang Islam itu sendiri adalah arahan Islam itu sendiri, arahan Al-Qur'an dan arahan Rasulillah SAW. Sudah tertentulah bersandarkan kepada arahan itu dalam apa sahaja isu yang berkaitan dengan keperluan umat Islam khasnya di Malaysia ini untuk bersatu. Ini adalah satu tuntutan yang tidak boleh dipandang remeh. Jadi bila saya sarankan isu tersebut yang dimainkan atau dikeluarkan didalam media telah ditafsir dengan pelbagai tafsiran. Saya masih berpegang kepada prinsip bahawa itu adalah arahan Al-Qur'an, itu adalah arahan syara' yang mahu melihat umat Islam ini berada dalam satu saff dan sudah tertentulah suasana-suasana yang ada sekarang ini dengan banyak sekali isu yang berkaitan dengan Islam dan umat Islam maka ianya adalah satu keperluan yang lebih lagi mendesak kepada umat Islam untuk mewujudkan perpaduan dan penyatuan.

Disana disini kita mendengar kepada keperluan dialog bila timbul isu hal yang berkaitan dengan agama. Kita lihat banyak sekali kenyataan kepada keperluan perbincangan antara agama dan berbagai-bagai lagi yang kita dengar. Kalau diantara agama itupun diajak dan dipanggil kepada meja perbincangan, sudah tentulah bagi sama-sama Islam, keperluan itu menjadi lebih wajib sebab isu-isu yang ada sekarang ini melibatkan Islam, melibatkan aqidah, melibatkan wajah Islam, melibatkan syari'ah, melibatkan ummah, melibatkan identiti Islam.

Terlampau banyak isunya yang memerlukan untuk kita duduk semeja dan berbincang. Paling tidak pun, berbincang dan apa jua keputusannya nanti, kita tunggu kepada hasil perbincangan itu. Tapi kalau berbincang pun sudah ada kekangannya saya melihat akan tercabar sedikitlah umat Islam untuk terus berada dalam keadaan yang kukuh atau menjadi model kepada orang lain.

---------------------------------------------------------------------------

Pergolakan Dalaman Pakatan Rakyat Kesan Agenda Peribadi

ANN : Bagaimana YB melihat pergolakan yang berlaku mutakhir ini seperti di Pulau Pinang yang melibatkan parti komponen Pakatan Rakyat di antara PKR dan DAP. Tidakkah pergolakan seperti itu akan memberi imej negatif terhadap Pakatan Rakyat dan akan turut menjejaskan imej PAS sebagai rakan kongsi Pakatan Rakyat?

YB Nasharudin : Pergolakan inter party dan intra party sedang berlaku sekarang dan sudah tertentulah sebagai sebuah organisasi besar kita tidak akan dapat mengelak daripada pergolakan daripada terus berlaku. Tapi saya melihat pergolakan-pergolakan yang sedang berlaku ini sedang pula diambil kesempatannya oleh pihak tertentu untuk dijadikan medan mungkin untuk membawa agenda-agenda masing, mempopularitikan diri masing-masing dan sebagainya.

Sekali lagi saya sebut, kita dalam organisasi parti, dan setiap parti itu mempunyai mekanisme tersendiri. Begitu juga dengan Pakatan Rakyat mempunyai mekanisme tersendiri untuk sepatutnya membincangkan perbezaan pandangan dan pendapat. Rasa ketidakpuasan hati ini memang berlaku bila kita duduk dibawah, bila kita terlibat dengan gerak kerja diperingkat akar umbi, kita mendengar pelbagai rungutan dan pelbagai masalah yang timbul. Tetapi, sekali lagi kita mempunyai mekanisme parti sepatutnya digunakan untuk membawa dan menyelesaikan isu ini. Sudah tentulah PAS sebagai salah satu daripada rakan didalam pakatan tersebut akan terkena palitnya dengan perbalahan-perbalahan yang timbul ini dimana kebarangkalian mungkin persepi orang kerana mutakhir ini ramai sekali orang menyebut pasal persepsi.

Persepsi masyarakat terhadap pakatan itu sudah mula banyak tanda-tanda soal yang kalau tidak kita akan baiki segera ianya akan menambahkan lagi tanda-tanda soal itu. Sampailah kepada pilihanraya umum yang akan datang perkara ini tidak akan dijawab dan tidak diselesaikan maka pandangan peribadi saya melihat bahawa bukan sahaja untuk menang lebih besar, mungkin untuk mempertahankan kemenangan yang ada juga satu perkara yang perlu kita lipatgandakan usaha bagi memastikan apa yang telah kita capai ini tidak menjadi kurang daripada pencapaian kita dalam 2008.

http://www.ann.com.my/index.php?option=com_content&view=article&id=267:suwardi&catid=25:nasional&Itemid=2

No comments: