Monday 3 November 2008

Antara Isi Penting Yang Menarik Dari Ayah Chik..


Assalamualaikum wrt wbt

Terkasima saya dan teman-teman dengan pengisian Ayahanda Dato’ Seri Tuaan Guru Presiden (Ayah Chik) dalam Konvensyen Tarbiyah PAS Pahang di Kompleks Imam As-Syafie (KIAS) Temin, Jerantut hari ini (2hb Nov 2008). Banyak mutiara-mutiara bernilai yang diberikan sebagai perkongsian bersama. Antara isi penting yang menarik yang ingin saya ajak teman-teman semua berkongsi ialah ;


”Kita jamaah yang dianggotai oleh semua golongan dan setiap peringkat sebagaimana jamaah umat Islam di masa Nabi s.a.w. yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat. Ada kaki maksiat yang nak bersama tarbiyah Nabi tetapi minta agar dibenarkan ia berzina.. ada juga arab kampungan kencing di dalam masjid.. tetapi Nabi s.a.w. tidak menolak atau mengkesampingkan mereka.. Di sinilah pentingnya memahami waqie' (realiti).


Usrah hanya satu dari mekanisme tarbiyah tetapi tarbiyah tidak terbatas hanya dengan usrah semata-mata. Bukan semua orang sesuai dengan mekanisme usrah. Ada ahli yang tertarik dan terbentuk iltizam dengan ceramah umum, ada yang boleh ditarbiyah melalui kuliah pengajian, ada yang memada dengan program ijtima’, ada yang cenderung dengan aktiviti-aktiviti yang lain.Yang penting dari apa pun dan bagaimana pun corak mekanisme itu ialah terhasilnya anggota yang memiliki – ukhuwwah yang mendalam – fikrah yang seragam – iltizam dengan gerak kerja jamaah...”


Ada betulnya pandangan tersebut. Pandangan ini bukan meremehkan usrah, tetapi membuka pemikiran kita yang terkadang terlalu sempit dan rigid dengan hanya usrah-lah satu-satunya wasilah dalam tarbiyah


Rasulullah s.a.w. sendiri memulakan usaha dakwah dengan ceramah kelompok terbuka memanggil kaum kerabat dan sahabat handai terdekat. Apabila ditentang oleh Abu Lahab dan konco-konconya barulah mekanisme bertukar kepada unit-unit kecil usrah di rumah Al-Arqam Ibnu Abi Al-Arqam. Kemudian semakin berkembang dan semakin kuat tekanan. Mencuba strategik menarik sokongan daripada penduduk Taif tetapi ditolak. Kemudian menjalankan usaha merayu sokongan dari khemah ke khemah tetamu luar negeri yang datang di musim haji, sehingga berjaya menarik beberapa sokongan.


Baginda kemudiannya mengadakan baiah dengan anggota baru dari penduduk Yathrib tersebut serta mengirimkan untuk mereka naqib di antaranya ialah Mus’ab Bin Umair. Apabila dakwah berkembang di Madinah, baginda berhijrah dan mengembangkan keanggotaan dengan aktiviti tarbiyah melalui program keluarga angkat antara muhajirin dengan ansar, halaqah-halaqah ilmu di masjid di samping aktiviti ruhiyyah dan amali jihad pada musim-musim peperangan. Menggerakkan program tarbiyah di masjid adalah pilihan Rasulullah s.a.w. berdasarkan banyaknya galakan dan tuntutan untuk mengimarahkan masjid dengan solat, majlis ilmu dan lain-lain wasilah tarbiyah. Perkara tersebut tidak berlaku di fatrah Makkiyyyah lantaran tentangan dan halangan kuat dari pemimpin musyrikin Makkah.


Senario ini menggambarkan bahawa wasilah (pendekatan) boleh dipelbagaikan, cuma tidak mengabaikan objektif yang perlu dicapai dari mekanisme tersebut. Apa pendapat anda? komenlah sikit...


yang ikhlas,


abu amirah