Friday 31 October 2008

PAS For All (2) ; Sikap Kita Terhadap Jamaah2 Islam... Satu Pandangan


Alhamdulillah, kita masih membincangkan topik PAS for all yang menjadi tajuk kepada ucapan dasar presiden dalam muktamar tahun ini. Maaf, sekiranya penulisan saya berkaitan topik-topik PAS for all ini agak tidak tersusun kerana ia bukan satu tulisan ilmiah, tapi sekadar catatan spontan apa yang terfikir di benak pemikiran saya. Kali ini saya ingin mengajak kita melihat tema tersebut dari sisi sikap dan pendekatan kita terhadap atau bersama jamah-jamah Islam atau kumpulan-kumpulan Islam yang sedia ada di dalam negara kita ini. Sebagai menghormati mereka, tidak perlu rasanya saya namakan satu persatu jamaah tersebut di sini.


Dahulunya, dalam pengisian tarbiyah, topik ini kita namakan sebagai – Fenomena Berbilang-Bilang Jamaah. Masih segar lagi di minda akan segala intipati perbahasan dan perbincangan topik tersebut yang mendatangkan hujjah-hujjah dan dalil dari golongan yang mengharuskan dan hujjah golongan yang tidak mengharuskan. Natijahnya, perbandingan dalil dan hujjah membawa kita kepada satu kesimpulan iaitu HARUS taadud jamaah dalam konteks saling bekerjasama, tiada pertembungan antara satu sama lain dan berbilang itu dalam konteks kepelbagaian medan operasi atau fokus kerja bukan berpecah dan berbalah antara satu sama lain.


Walau bagaimana pun, realiti yang berlaku di penghujung tahun 80 an dan awal 90 an menyaksikan pertembungan yang tidak sedikit di antara anak-anak gerakan Islam dari wadah yang pelbagai dan berbilang. Berlakunya tragedi saling luka-melukai, sakit-menyakiti, cela mencela, buruk-memburuk, berebut-rebut ahli dan saling mendabik dada bahawa wadah masing-masinglah yang terbaik atau paling menepati kebenaran.


Timbullah ucapan-ucapan seperti - jamah itu jamaah hizbi – jamaah itu tak ada tarbiyah – nak undi orang saja – berkompromi dengan sistem pilihanraya jahiliyyah - jamaah sana pula jamaah elit – dakwah memilih-milih - tidak memahami waqie’- taksub ikhwan - jamaah sini pula jamaah tak complete – hanya ajak orang sembahyang – jamaah ini pula jamaah dhirar – bekerjasama dengan jahiliyyah – dan pelbagai lagi cakap-cakap yang turut diiringi dengan usaha saling menyerang dan merangka strategik dalam menghadapi antara satu sama lain. Senario yang berlaku di era itu melahirkan barisan aktivitis-aktivis yang walaupun dari jamaah yang berbeda tetapi menyimpan nostalgia pahit yang sama yang tidak sedikit membekas di dalam jiwa mereka. Kesannya masih terbawa-bawa sehingga ke hari ini oleh sesetengahnya.


Dalam PAS sendiri, masih ada lagi suara-suara sumbang memperlekeh dan meremehkan di antara sesama kumpulan Islam ini walaupun dalam masa yang sama kita sudah bekerjasama dengan orang bukan Islam dari Kelab Penyokong PAS. Masih berbaki sebahagian kecilnya sikap prejudis melampau antara kader-kader gerakan Islam dari wadah yang pelbagai walaupun era ini adalah era tahalluf, era muqabalah dan muzakarah. PAS kini sudah diiktiraf oleh banyak pihak sebagai King Maker dalam percaturan politik negara. PAS sudah membuktikan ianya amat berjiwa besar sebagai merealisasikan tuntutan Rahmatan Lil A’lamin dengan menaungi Kelab Penyokong PAS dari kalangan bukan Islam, sudah berjabat tangan erat dengan PKR yang memiliki pelbagai latar belakang ahli termasuk bermazhab sosialis, sudah dekat dengan DAP yang pernah dan sebahagiannya masih anti-negara Islam dengan kefahaman mereka yang terhad, sudah mampu dengan dada terbuka menerima pelawaan UMNO/BN – selaku musuh tradisi perjuangan yang sohor kezalimannya untuk bermuqabalah atau muzakarah.


Jika sebesar itulah jiwa dan keterbukaan PAS kepada setiap golongan, lapisan dan peringkat manusia, mengapa perlu ada lagi prejudis melampau sesama anggota gerakan Islam semata-mata disebabkan wadah atau kapal perjuangannya berbeza?


Cukuplah! Marilah kita menikmati kelapangan dada ini. Marilah kita saling tolong menolong dalam perkara yang disepakati dan bertolak ansur atas perkara yang diperselisihkan. Betul, saya bersetuju perlunya ada sikap hazar atau berhati-hati di antara satu sama lain. Sikap hazar perlu dalam semua keadaan demi memastikan tiadanya berulang perbalahan dan pertembungan. Berhati-hati perlu agar tiada timbulnya jamaah dalam jamaah, poket dalam poket tetapi biarlah berpada-pada. Jamaah Islam sepatutnya berperanan untuk merealisasikan tuntutan Islam sebagai Rahmatan lil Alamin, menyatu padukan sesama muslim dengan simpulan tali aqidah dan melebarkan kasih sayang (rahmat) sesama manusia di bawah naungan hukum dan nilai-nilai Islam. Jamaah Islam sepatutnya meletakkan wehdatul qulub (kesatuan hati sesama muslim) sebagai keutamaan. Kerja kita ialah menyatukan bukan memecahkan, menjinakkan bukan meliarkan, mendekatkan bukan menjauhkan. Kita tidak semestinya perlu bersetuju dengan berbilang-bilang wadah tersebut, tetapi realitinya ialah ia telah pun berlaku dan kebanyakan kumpulan-kumpulan tersebut telah pun bertapak kukuh di tanahair kita ini. Tidak perlu rasa terancam, jika kita yakin jalan yang telah kita pilih.


Lebih baik kita menukar ancaman tersebut menjadi peluang. Mari kita sama-sama melihat sisi positif yang dimiliki oleh semua wadah dan kumpulan. Carilah titik persamaan. Saya teringat kepada kata-kata indah yang saya dengari sendiri dari ceramah seorang Ulama tafsir di Mesir ketika menuntut di sana iaitu As-Sheikh Abdullah Sahhatah yang mafhumnya – ”Sekiranya mazhab syiah itu digelar syiah semata-mata kerena kecintaannya kepada Rasulullah s.a.w. dan ahli bait, kitalah syiah. Kiranya kumpulan salafi itu disebut salafi semata-mata kerana mereka ingin berpegang teguh (mutamassikun) dengan Al-Quran dan As-Sunnah serta memelihara agama dari penyelewengan selainnya, maka kitalah salafi. Sekiranya golongan sufi itu dipanggil sufi kerana semata usaha mereka yang bersungguh-sungguh membersihkan jiwa agar hampir dengan Allah s.w.t, kitalah sufi. Kita adalah kesemua kebaikan yang mereka miliki....”.


Maaf, kata-kata tersebut mungkin ada tertambah atau terkurang dari ucapan asal tetapi itulah mafhum seingat saya dari satu rangkap ucapannya dalam ceramah tersebut. Perbezaan kita dengan mereka (kumpulan-kumpukan ini) tidak sepatutnya menjadikan mata hati kita buta dari sisi kebaikan yang mereka miliki.


Semoga revolusi minda dan sikap ini akan menyeluruh di kalangan ahli PAS khususnya saff pemuda. Kita wajar berubah seiring perubahan masa dan persekitaran demi kebaikan Islam dan jamaah agar kita tidak tertinggal gerabak. Semoga strategi dakwah dan pendekatan siasah kita tidak tertinggal jauh dari keperluan dan tuntutan zaman atau realiti selagi ia tidak menggugah prinsip perjuangan. Kita juga berharap agar teman-teman kita dari kumpulan atau wadah yang lain, dapat sama-sama memelihara keharmonian ini.


Setakat ini alhamdulillah, Tuan Guru Dato’ Seri Presiden mengakui di dalam ucapan-ucapannya bahawa kita penggerak Islam di Malaysia bersyukur kerana jamaah-jamaah Islam di Malaysia walaupun berbilang-bilang wadah, namun dalam soal politik kebanyakan mereka bersama PAS dan mereka tidak menubuhkan parti Islam yang lain seperti jamaah-jamaah Islam di negara-negara umat Islam yang lain seperti Indonesia dan sebagainya. Mari kita bersama mempertahankan nikmat perpaduan sesama gerakan islam ini. Ayuh, mari kita realisasikan slogan PAS For All!


No comments: