Thursday 23 October 2008

Manual Tarbiyah Teras Pemuda PAS Pahang (MANTAP) - 3

5. MEMAHAMI BEBERAPA ISTILAH

5.1. USRAH - Usrah di dalam bahasa arab bermaksud keluarga. Usrah dalam pengertian kita ialah satu perjumpaan khusus yang diadakan secara tertutup, dihadiri oleh penyokong dan ahli sahaja dengan bilangan hadirin yang kecil dan terhad. Ahli usrah adalah mengikut peringkat kefahaman tertentu dengan silibus tertentu di setiap peringkat.

5.2. MADRASAH - Madrasah di dalam bahasa arab bermakna sekolah. Madrasah yang dimaksudkan dalam manual tarbiyah ini ialah satu program pengisian fikrah dengan tajuk yang tertentu yang diadakan secara tertutup dan khusus kepada penyokong dan ahli sahaja. Ia juga boleh dikategorikan sebagai usrah gabungan pemuda.

5.3. TAMRIN - Tamrin di dalam bahasa arab bermakna latihan. Tamrin dalam manhaj tarbiyah kita ialah satu program yang melibatkan ahli pada satu-satu peringkat yang diadakan untuk menghadam dan mencernakan isi kandungan pengisian usrah disamping menguji dan memantapkan pencapaian ahli menerusi kuliah dasar, latihan amali dan modul-modul yang bersesuaian.

5.4. IJTIMA’ - Ijtima’ ialah program perhimpunan yang dianjurkan secara tetap seperti Ijtima’ Eidilfitri atau sempena tertentu seperti Ijtima’ Tarbawi yang menghimpunkan semua ahli pada semua peringkat (ta’rif, takwin dan tanfiz) samada melibatkan pengisian atau tidak.

5.5. KATIBAH - Katibah di dalam bahasa arab bermakna batalion. Katibah dalam manhaj tarbiyah kita ialah satu program menghimpunkan beberapa usrah dengan beberapa usrah yang lain sebagai pasukan jamaah untuk mempersiapkan diri dengan bekalan tambahan bermuatkan perjuangan, ketahanan dan kesabaran. Pengisian program tertumpu kepada tarbiyah ruhiyyah, pelembutan jiwa, muhasabah, motivasi jihad disamping membiasakan fizikal dengan ibadah fardhu dan sunat Program ini juga kadang-kadang dinamakan program Mabit (bermalam).

5.6. MUKHAYYAM - Mukhayyam atau jambori merupakan program perkhemahan bermalam yang melibatkan ahli parti yang biasanya diadakan di pulau, pantai, hutan, gunung dan sebagainya yang memakan tempoh masa dua hingga tiga hari atau lebih. Program ini bertujuan untuk melatih dan membiasakan ahli dengan latihan fizikal, kemahiran hidup menempuh kesusahan disamping aktiviti yang menyemai ukhuwwah di kalangan peserta.

5.7. LIQA’ FIKRI - Liqa’ Fikri merupakan program pertemuan yang menghimpunkan sejumlah golongan tertentu seperti para pimpinan, ulama’, ahli akademik, para nuqaba’, penceramah dan sebagainya untuk mengkaji dan membahaskan sesuatu persoalan atau tema ilmiah.

5.8. TARAQQUH - Tafaqquh juga boleh disebut sebagai majlis ta’lim atau majlis ilmu. Ia merupakan program pengajian ilmu-ilmu Islam dalam bentuk kuliah pengajian samada tertutup atau terbuka di markaz atau masjid yang mesti dihadiri oleh ahli jamaah untuk menambah dan memantapkan pengetahuan serta kefahaman Islam mereka.

5.9. DAURAH - Daurah dalam manhaj kita ialah program kursus atau seminar kefahaman dan latihan kemahiran yang diadakan sebagai nilai tambah kepada program tarbiyah sedia ada untuk meningkatkan kefahaman Islam dan isu semasa serta melatih kemahiran anggota khususnya bakal kepimpinan atau pelapis kepimpinan

No comments: