Friday 31 October 2008

PAS For All (1) ; Peranan Agensi-Agensi Tarbiyah... Satu Pandangan


Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-A’raf ayat 158, mafhumnya ;

Katakanlah: "Wahai manusia sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu semuanya, iaitu Allah yang mempunyai kerajaan langit dan bumi; tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, yang menghidupkan dan mematikan, maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang ummi yang beriman kepada Allah dan kepada kalimat-kalimat-Nya (kitab-kitab-Nya) dan ikutilah dia, supaya kamu mendapat petunjuk."


PAS For All adalah maudhuk atau tema pilihan PAS yang sangat menarik. Ia bertepatan dengan Islam for all atau Islam Rahmatan lil ’Alamin. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Anbiya’ ayat 107 yang mafhumnya ; "Tiada kami utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat buat seluruh alam"


Slogan dan tema seindah ini tidak akan membawa erti tanpa dukungan sepenuhnya oleh setiap dewan, lajnah, agensi, pimpinan dan anggota jamaah di setiap peringkat keanggotaan. Sebagai jamaah SIASAH, DAKWAH dan TARBIYAH, setiap agensi yang wujud dalam jamaah berkewajipan untuk menggerakkan "sudut" yang mereka terlibat secara berfokus padanya. Kumpulan fokus siasah sebagai contoh, mestilah merealisasikan –PAS For All- dalam kerangka politik samada memperkukuhkan kerjasama sesama anggota pakatan dan mempertingkatkan usaha muqabalah dengan semua pihak yang terlibat demi keuntungan siasah parti atau jamaah. Agensi siasah dalam parti seperti Lajnah Politik, Lajnah Penerangan, Lajnah Antarabangsa, Lajnah Perpaduan Nasional, Lajnah dan lain-lainnya hendaklah mempertingkatkan usaha-usaha siasah yang terkini lagi proaktif untuk merealisasikan slogan tersebut.


Agensi-agensi fokus dakwah dan tarbiyah pula hendaklah memainkan peranan yang seiring dengan siasah untuk benar-benar melaksanakan tuntutan Islam sebagai rahmat buat seluruh alam. Usaha ini memerlukan keseluruhan agensi-agensi tarbiyah dan dakwah dalam jamaah memainkan peranan secara maksimum. Apabila saya menyebut agensi-agensi dakwah dan tarbiyah, ia membawa maksud bukan hanya tugas Lajnah Tarbiyah semata-mata. Ia juga tugas setiap lajnah yang memainkan peranan khusus dan berfokus kepada usaha-usaha dakwah dan tarbiyah seperti Jabatan Pasti, Lajnah Pembangunan Remaja, Jabatan Pembangunan Mahasiswa, Jabatan Kerajaan & Swasta dan lain-lainnya.


Baiklah, mari saya mudahkan perbincangan kita. PAS For All bermaksud PAS untuk semua. Secara ringkasnya ia bererti, usaha untuk membawa fikrah perjuangan PAS iaitu Islam yang syumul (menyeluruh) dan rahmat buat seluruh alam ke ribaan setiap golongan manusia dari semua peringkat mencakupi muslim, non muslim, melayu, non melayu, golongan agama, golongan anti agama, profesional, buruh am, teknokrat, nelayan, saintis, petani, ahli falsafah, budayawan, karyawan, artis, ahli akademik, orang tua, anak muda, kaum ibu, kaum bapa, kanak-kanak, remaja dan lain-lain lagi yang tidak disebutkan di sini. Pendek kata, untuk semua golongan manusia malah juga untuk kesejahteraan alam sejagat.


Persoalannya ialah, adakah kader dan agensi-agensi PAS telah bersedia memainkan peranan tersebut? Mari kita lihat platform biasa yang dimasuki oleh kader-kader jamaah. Kebanyakkan aktiviti PAS di adakan di markas atau premis parti. Ini sudah tentu terhad kepada pendokong dan penyokong tegar PAS. Penyokong dan ahli PAS yang penakut pun ramai yang tidak mendekati premis parti apatah lagi orang awam. Walau bagaimana pun, realiti ini mungkin mengalami sedikit perubahan di sesetengah tempat selepas pilihanraya ke 12 Mac lalu.


Platform kedua bagi penggerak PAS biasanya ialah masjid dan surau. Namun berapa peratuskan anggota masyarakat yang mengunjungi masjid dan surau dari keseluruhan penduduk di sesetengah kampung atau mukim tersebut? 20%? Anggaplah 20%. Bagaimana dengan 80 peratus lagi? Bolehkah PAS mendekati mereka dengan lambang dan logo parti? Sebahagian dari 80% itu mungkin penyokong PAS yang tidak selesa dibelenggu oleh imej parti yang dianggap menjarakkan hubungan mereka dengan ahli masyarakat yang lain. Sebahagiannya mungkin ahli UMNO yang bukan pendokong UMNO tegar pun dan tidak bermusuh dengan orang PAS kecuali masa-masa pilihanraya sahaja. Sebahagian besar ialah non-partisan, orang awam, anak-anak muda belia, penjawat awam berjawatan tinggi dan lain-lain lagi. Bagaimana dengan usaha mendekati 80 peratus ini?


PAS sebagai organisasi, mungkin tidak berada di setiap golongan, kumpulan dan peringkat masyarakat tersebut. Tapi ahli, pendokong dan penyokong PAS berada di mana-mana. Inilah peranan agensi-agensi tarbiyah jamaah untuk merealisasikan slogan PAS For All. Agensi-agensi tarbiyah PAS mesti berusaha membina ahli dari pelbagai peringkat dan lapisan untuk memainkan peranan tersebut. Ahli-ahli dan penyokong PAS yang pelbagai ini hendaklah didekati, dicari, dikumpul dan dibina fikrah (mental), ruh (spiritual) dan seluruh potensi yang mereka ada. Ahli-ahli ini mesti dimantapkan tasawwur Islam mereka, diperkasa jiwa mereka dengan aktiviti ruhiyyah serta dilatih dengan ilmu-ilmu kemahiran pengurusan dan uslub dakwah.


Hasil sumber manusia yang dibina ini tidak semestinya sentiasa "lepak" di markas-markas parti tanpa apa-apa gerak kerja yang efektif (jangan salah faham, saya tidak maksudkan banyak duduk di markas tu salah. Tapi yang salah ialah duduk tanpa apa-apa gerak kerja yang efektif dalam masa yang sama saya tidak menafikan sumbangan dan gerakkerja efektif teman-teman yang kerap beroperasi di markas). Sumber manusia yang telah dibina ini mungkin seorang guru sekolah, tetapi guru yang bergerak secara maksimum dalam memainkan peranan memahamkan anak-anak murid mereka dengan Islam dan perjuangan Islam samada secara lansung atau tidak, secara ucapan maupun teladan.


Ia juga mungkin seorang pegawai tinggi kerajaan, yang memainkan peranan secara maksimum di agensi tempat kerjanya dengan aktiviti-aktiviti keinsanan dan kefahaman Islam yang menyeluruh di kalangan seluruh warga kerjanya. Ia juga mungkin seorang dekan fakulti di sebuah universiti yang boleh memainkan banyak peranan dalam mencorak fikrah tenaga kerja akademik, non akademik dan para siswa/i di bawah tadbirannya. Ia mungkin ahli jamaah yang memegang jawatan tinggi dalam institusi agama negeri, pegawai-pegawai felda, para pensyarah IPT, CEO syarikat besar atau sederhana, kerajaan atau swasta, NGO atau sesiapa sahaja dengan syarat ia dibina dan ditarbiyah oleh agensi-agensi tarbiyah parti tadi. Mereka tetap memiliki rangkaian hubungan dengan jamaah dan membantu memperkenalkan Islam yang syumul kepada semua golongan, peringkat dan kumpulan yang sukar ditembusi oleh organisasi parti dengan lambang dan logo.


Sering kali golongan ini dianggap sebagai pekerja "belakang tabir" golongan yang "part time" kepada jamaah dan tidak kurang juga suara-suara nakal yang melabel mereka dengan penakut dan sebagainya. Skop tugas dan fokus kerja tadi menjadikan mereka sukar untuk dilekatkan dengan logo dan lambang parti, tetapi usaha mereka amat penting untuk menyebarkan Islam sebagai tajuk dakwah PAS kepada golongan yang pelbagai. Ini mungkin memerlukan revolusi sikap di kalangan sesetengah ahli PAS.


Untuk mendekati golongan ini (pelajar sekolah, mahasiswa universiti, pegawai tinggi kerajaan, golongan berkepentingan, anak muda belia dll), gerak kerja yang kreatif dan berbeza pendekatannya dengan dua situasi rutin PAS tadi (premis parti dan masjid) harus diusahakan. Ia mesti dilakukan bersungguh-sungguh demi merealisasikan slogan PAS For All sehinggalah senario negara kita berubah kepada persekitaran yang lebih demokratik dengan para pelajar sekolah, mahasiswa universiti, pegawai kerajaan, media massa dan elektronik, serta seluruh rakyat memiliki kebebasan untuk berpolitik, berpesatuan, berhimpun, bercakap, mengkritik dan bebas untuk berbeza. Sekiranya itu berlaku, insyaAllah PAS dan Islam sebagai dasar perjuangannya akan lebih mudah diterima ramai. Inilah keyakinan kita....


Al-Faqir ilaa afwi Rabbih,

Abu Amirah


No comments: